web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


"Hanya 45 Minit Dari Subang, Jom Ke Pulau Pangkor" - Saarani

Penerbangan SKS Airways akan menambahkan lagi kemeriahan dan kegemilangan pelancongan di Pulau Pangkor dengan tidak perlu menggunakan lebuh raya mahu pun beratur di jeti feri sedia ada.

Jelajah Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Jan 2022 6:45PM

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bergambar sebaik pesawat SKS Airways Kl 8357 mendarat di Lapangan Terbang Pangkor hari ini.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kewujudan penerbangan ke Pulau Pangkor dari Lapangan Terbang Subang yang hanya memerlukan kira-kira 45 minit masa perjalanan berbanding tiga jam pemanduan, bakal meningkatkan lagi jumlah pelancong dan pengunjung ke destinasi popular tersebut tidak lama lagi.

Tanpa memberikan sebarang sasaran (peningkatan), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pilihan terbaharu itu akan menambahkan lagi kemeriahan dan kegemilangan pelancongan di Pulau Pangkor dengan tidak perlu menggunakan lebuh raya mahu pun beratur di jeti feri sedia ada.

“Bayangkan, jika ada satu penerbangan setiap hari dan ditambah, pastinya bilangan pengunjung ke Pulau Pangkor akan bertambah.

“Saya yakin melalui usaha pelbagai pihak termasuklah syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan SKS Airways, ini akan turut memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media selepas menyambut penerbangan tersebut dari Subang ke Pangkor di Lapangan Terbang Pulau Pangkor semalam. 

 Saarani (dua, kiri) menandatangani plak pada gimik perasmian Sambutan Penerbangan 'SKS Airways Subang-Pangkor' di Lapangan Terbang Pangkor.
Saarani (dua, kiri) menandatangani plak pada gimik perasmian Sambutan Penerbangan 'SKS Airways Subang-Pangkor' di Lapangan Terbang Pangkor.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Mohd Zolkafly Harun, Pengarah SKS Airways, Datuk Fahrul Rohman Ahmad dan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Saarani berkata, berdasarkan laporan yang Jabatan Laut Negeri Perak, jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor telah mencatatkan peningkatan bermula pada bulan Oktober 2021 iaitu seramai 52,487 orang kepada 95,514 pada bulan November dan terus meningkat kepada 134,808 pada bulan Disember. 

“Peningkatan ini adalah melalui kemasukan pelancong daripada seluruh negara yang direkodkan memasuki Pulau Pangkor dalam tempoh fasa ketiga dan keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Ini memberi keyakinan bahawa industri pelancongan khususnya di Pulau Pangkor tetap utuh sekali gus memacu pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

Jelasnya, perkembangan positif ini menunjukkan betapa jaringan kerjasama yang erat daripada semua pihak tidak kira agensi swasta mahupun kerajaan, mampu memberi sinergi yang sangat baik dalam mengukuhkan reputasi negeri Perak sebagai antara hub sektor pelancongan utama di Malaysia.

Dalam pada itu, Saarani sewaktu ucapan perasmian berkata kerajaan negeri telah merancang beberapa projek penyediaan infrastruktur untuk memastikan kelangsungan industri pelancongan selain bertujuan meningkatkan tahap keselesaan pelancong khasnya di Pulau Pangkor.

Penerbangan sulung pesawat SKS Airways KI 6357 selamat mendarat di Lapangan Terbang Pangkor semalam.
Penerbangan sulung pesawat SKS Airways KI 6357 selamat mendarat di Lapangan Terbang Pangkor semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa projek telah disiapkan termasuk pembinaan struktur ruang menunggu di kawasan Jeti Pangkor, pembinaan tandas dan surau di Teluk Nipah, serta kerja-kerja pembangunan Kampung Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor.

“Selain itu, beberapa projek infrastruktur lain sedang dalam pembinaan termasuk cadangan membina dan menyiapkan ruang perniagaan bazar di Teluk Nipah, pembinaan sebuah Arena Square, ruang perniagaan dan restoran terapung di Teluk Baharu, Pulau Pangkor. InsyaAllah kedua-dua projek ini dijangka siap pada tahun hadapan.

“Kesemua projek ini diharap dapat mempersiapkan Pulau Pangkor bagi menerima jumlah pelancong yang lebih besar pada masa depan. Tourism Perak menerima kira-kira 100 penganjuran acara daripada pelbagai pihak untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini dan ia telah disenaraikan dalam kalendar acara negeri,” katanya.

SKS Airways menawarkan penerbangan sulung dari Subang ke Pulau Pangkor secara rasminya mulai esok yang dijangka membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke negeri Perak khususnya ke Pulau Pangkor.

Tiket penerbangan dijual bermula harga RM160 sehala, akan menggunakan pesawat jenis Twin Otter Turboprop yang boleh membawa 19 individu termasuk kru, dengan kekerapan penerbangan sehari sekali dan akan ditambah jika menerima permintaan tinggi.

Fahrul Rohman berkata, Pulau Pangkor dipilih kerana ia merupakan salah satu destinasi pilihan popular di Semenanjung Malaysia dengan status pulau bebas cukai sebagai satu bonus tambahan untuk pelancongan domestik. - Bernama

Gambar: Zulfadhli Zulkarnain, Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 tahun yang lalu

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

2

Semasa 2 tahun yang lalu

Cukai Perkhidmatan: Tiada Kenaikan Tambang Feri, Penginapan Di Marina Island

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Gangguan Bekalan Air Di Pangkor Pulih Sepenuhnya, Sedia Terima Pelancong - MB

4

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Anjing Lumpuh Perlu Bantuan

Sorotan

1

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

2

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

3

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

4

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

5

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

6

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

Disyorkan untuk anda

Jelajah 1 hari yang lalu

Pasar Bisik Kuala Muda, Tradisi Dagangan Yang Masih 'Berbisik' Di Tengah Arus Moden