Setelah sekian lama, para karyawan bebas akhirnya dapat menarik nafas lega apabila pengumuman kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif diumumkan kelmarin.
Walaupun dilihat mampu memperkasakan ekosistem industri seni tempatan, ramai memberikan respons yang pelbagai memandangkan garis panduan yang diberikan tidak lengkap dan jelas.
Menurut Penerbit Feisk Productions, Iskander Azizuddin, pengumuman itu membuatkan penggiat seni tersenyum gembira kerana ia sangat dinanti-nantikan selepas sekian lama terkurung dan tidak dapat berkarya.
“Ramai yang gembira dengan perkhabaran ini. Cuma, kami perlukan SOP yang lebih jelas dan teliti agar tidak menyulitkan proses penggambaran. Sebagai sebuah produksi indie berbajet rendah, kami perlu pertimbangkan banyak perkara agar dapat membuat anggaran kos.
“Kami tidak mampu menghentikan penggambaran separuh jalan atau tunda sebab ia memerlukan kos tambahan,” kata Iskander.

Sementara itu, Mary Grace Liew, Pengasas Foreground Pictures pula mengakui berita itu memberi sinar kepada dirinya dan semua penggiat seni namun SOP yang lebih terperinci perlu disediakan agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.
"Kami faham ramai tak sabar tetapi kami perlu pastikan semua boleh berjalan dengan lancar dan selamat sebelum sebarang kerja penggambaran dijalankan," katanya.
Di samping itu, persembahan langsung muzik dan pameran seni juga dibenarkan dengan kapasiti terhad.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa virus COVID-19 akan ada di sini dan perlulah cari alternatif lain untuk teruskan kehidupan. Vaksinasi tidak bermakna kita kebal terhadap virus ini.
“Jadi, sebagai penganjur kami perlu menambah lebih banyak SOP bagi memastikan persembahan muzik secara langsung selamat bukan sahaja untuk pengunjung tetapi pemuzik dan kru.
"Buat masa ini mungkin masih belum sesuai untuk menganjurkan konsert fizikal secara total. Oleh itu, kami lebih ke arah mengadakan konsert hybrid (secara dalam talian dan secara langsung).
“Tambahan lagi, bagi Anugerah Lagu Indie pula, kami masih dalam perbincangan tetapi yang pasti ia akan disiarkan online apa-apa pun," jelas Mohamed Hairul Ekzan, Ketua Operasi stesen radio Rakita 107.9.

Pengasas Atas Angin, Arif Imran (Bam) berkata, tidak adil untuk mengehadkan bilangan penonton sedangkan banyak tempat seperti pusat beli-belah, air terjun dan pantai dibuka tanpa sebarang kawalan.
“Dengan 30 peratus kapasiti, ia tidak akan memberi pulangan modal. Justeru itu, lebih baik buat konsert secara atas talian sahaja.
“Persembahan atas talian bukan sekadar norma baharu kerana impaknya lebih daripada itu. Ia seperti kapsul masa dan dokumentari untuk industri muzik. Dalam 10 tahun akan datang kita masih boleh lihat dan menjenguk balik apa yang kita buat.
“Sebagai penganjur kami perlu bertenang dan merancang dengan betul agar tak ditutup lagi sebab kita antara sektor yang senang ditutup. Sekarang, bukan sahaja melibatkan ekonomi tetapi kehidupan orang.
“Jadi, kita perlu tambah baik banyak lagi SOP dan bukan ikut buta-buta sahaja dengan apa yang sedia ada. Selain vaksinasi, cadangan lain adalah mewajibkan ujian calitan bagi setiap pengunjung untuk mengelakkan sebarang risiko.
“Dengan khabar gembira yang diberikan kerajaan ini, kami bakal tampil dengan pameran khas bertajuk ‘Creation’ oleh Ilse Noor bulan depan yang sudah ditunda beberapa kali. Buat masa ini, kami sangat optimistik dengan pameran yang akan diadakan nanti,” ujar Suryani Alias, Pengasas Cult Gallery. - Getaran, 10 September 2021
Semua Gambar: Feisk Productions, Foreground Pictures, Atas Angin dan Cult Gallery
