Menghampiri pencapaian separuh abadnya, Bonia dengan bangganya memperkenalkan logo baharu dan koleksi Monogram La Luna bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-48.
Koleksi ini diilhamkan daripada fasa perubahan bulan dan sejarah panjang Bonia yang mengutamakan warisan, ketukangan dan unsur kontemporari di dalam industri fesyen tempatan.

Pasukan kreatif Bonia telah menggabungkan seni bina Itali yang mereka lihat semasa lawatan bersama pengasas Bonia ke negara republik itu.
Gabungan elemen-elemen tersebut telah mewujudkan huruf ‘B’ yang membentuk seperti bulan sabit. Ia satu simbol bagi penjenamaan semula Bonia ini.

Simbol infiniti juga terbentuk melalui penciptaan monogram terbaharu tersebut. Ia menceritakan tentang akar warisan Bonia dan semangat juang fesyennya yang tidak terhenti.
Dengan tema fasa-fasa bulan mengambang, seorang jurugambar Perancis terkenal, Antoine Renault dilantik bagi mempotretkan kempen koleksi ini.

Menjayakan kempen ini adalah dua selebriti tempatan terkenal, Scha Alyahya dan Dini Schatzmann serta pelakon Indonesia, Caitlin Halderman.
Monogram La Luna menampilkan koleksi istimewa seperti tas tangan edisi terhad, La Luna Sonia serta rangkaian aksesori wanita dan kasut lelaki.

Sempena kempen ini juga, Bonia telah mengadakan pameran La Luna di Mid Valley bagi memberi orang ramai merasai sendiri pengalaman ‘La Luna’ yang sebenar! – Getaran, 18 Ogos 2022