Sering mengangkat isu-isu sosial dan hak asasi manusia di Malaysia, penganjuran FreedomFilmFest 2022 (FFF 2022) pada tahun ini akan memaparkan perspektif kritis dan rencam berkenaan tema Pandemik Dua Darjat yang kerap diabaikan di dalam wacana arus perdana.
Dianjurkan Pertubuhan Perfileman Sosial (Freedom Film Network atau FFF), FreedomFilmFest 2022 diadakan semula secara fizikal bertempat di PJ LIVE Arts, Petaling Jaya bermula 9 hingga 17 September ini.
Sebanyak 34 filem yang bertemakan isu sosial dari serata dunia yang dihasilkan sejurus sebelum dan semasa pandemik akan ditayangkan di festival ini nanti.

Pengarah projek FFF 2022, Anna Har berkata, kepelbagaian kisah yang dipaparkan di FFF tahun ini mencerminkan situasi negara dan dunia pada satu detik yang sangat sukar serta karya-karya ini adalah sebahagian daripada sejarah rakyat.
“Ini adalah satu peluang untuk mengimbas kembali apa yang telah berlaku kepada kita dan cabaran-cabaran yang masih di hadapan kita,” katanya.
Sejajar dengan reputasi FFF untuk memberi suara kepada golongan rentan dan marginal, pesta tahun ini akan memaparkan 12 karya Malaysia dokongan FFF yang dihasilkan ketika pandemik.
Ini termasuk empat filem yang dihasilkan melalui dana khas FFF 2021 dan 2022. Karya-karya tersebut adalah:
.jpg)
Grey Scale - Sebuah karya daripada penyelidik perancangan bandar Evelyn Teh. Ia mengisahkan rintangan yang dihadapi makciknya yang berumur 79 tahun dan hidup keseorangan di sebuah kawasan perumahan yang mengalami proses gentrifikasi. Hidupnya bertambah sukar ketika pandemik dan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
Di dalam Fafa - Perjuangan yang Tak DiDendang – Hasil karya pelukis grafik dan animasi Amirul Ramthan yang bergabung tenaga bersama rakannya Fafa, seorang pelukis ilustrasi.
Dalam karya ini, mereka menceritakan tentang beban yang ditanggung penghidap gangguan mental disebabkan stigma masyarakat – sebuah isu yang dialami ribuan rakyat Malaysia.
Di Sini Cita-Cita - Wartawan Rahmah Pauzi kembali ke sekolah menengahnya untuk merekodkan bagaimana guru-guru veteran institusi itu menempuh berbagai rintangan bagi membantu anak-anak murid mereka yang tidak mampu belajar daripada rumah ketika pandemik memaksa sekolah ditutup.
Can’t Run, Can’t Hide – Dihasilkan pembikin filem Umashankari Yomarakuro. Krisis kesihatan dan alam sekitar yang merosakkan suasana nyaman dan hijau daerah Kuala Langat disebabkan pembangunan industri berat menjadi subjek utama karya filem mini.
Ia turut mengenengahkan sekumpulan penduduk Kuala Langat yang tidak letih dalam menyuarakan isu ini kepada pihak berwajib kerana khuatir tragedi akan menimpa.
FFF 2022 juga turut mengangkat filem-filem yang dihasilkan beberapa komuniti tertentu. Misalnya tiga karya daripada pembikin filem wanita muda Orang Asli yang mengandungi perspektif dan suara mereka mengenai subjek identiti dan budaya – ‘Selai Kayu Yek’, ‘Klinik Ku Hutan’ dan ‘Rahsia Rimba’.
Ketiga-tiga filem ini telah ditayangkan di beberapa pesta filem dunia termasuk Native Spirit Festival (UK), Chuncheon International Film Festival (Korea Selatan) dan Asinabka Film & Media Art Festival (Kanada).

Filem pembuka tirai FFF 2022 adalah ‘In the Same Breath’ karya Nanfu Wang yang telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa, manakala filem penutup tirai adalah ‘Sorry We Missed You’ oleh pembikin filem politik terulung Britain, Ken Loach.
Seperti tradisi pesta FFF yang lepas, setiap tayangan akan disusuli dengan diskusi bersama pembikin filem atau mereka yang arif tentang isu yang diketengahkan.
Peserta tayangan akan dihidangkan dengan kisah tabir dan kupasan mendalam isu-isu yang dibincangkan serta berpeluang merancang strategi bagi menyokong perjuangan karya-karya tersebut.
Beberapa ‘masterclass’ bersama pengkarya bertaraf antarabangsa ditawarkan kepada pembikin filem dan mereka yang berminat untuk menghasilkan karya tentang isu sosial dan hak asasi.
Antara subjek yang diajar termasuk cara penceritaan kreatif untuk dokumentari, penghasilan filem daripada sebuah siasatan dan bagaimana menggunakan bahan arkib di dalam filem.
Tenaga pengajar sesi-sesi ini pernah berkhidmat dengan organisasi penghasilan dokumentari peringkat antarabangsa seperti Doc Society, Al Jazeera dan Sundance Institute Documentary Film Programme. – Getaran, 23 Ogos 2022