Kalau sudah berkumpul seisi keluarga terutamanya di bulan Syawal, pasti kita akan tercari-cari rancangan yang sesuai untuk ditonton bersama. Kerap kali rancangan bergenre romantik komedi akan menjadi pilihan. Sebuah filem bertajuk Bunga dan Kayu dengan genre ini baru sahaja ditayangkan menerusi Astro First semalam.
Bila difikir-fikir, inilah kali pertama MK K-Clique dilihat membawakan watak seorang lelaki romantik yang mana sangatlah berbeza dengan imejnya sebagai seorang penyanyi rap. Tambahan pula, dia diberikan keistimewaan untuk membawakan watak utama bernama Noah bergandingan dengan penyanyi kumpulan De Fam, Azira Shafinaz yang memegang watak sebagai Bunga.
Filem arahan Wann Hafiz yang diterbitkan oleh Infinitus Gold ini menceritakan tentang Noah seorang selebriti terkenal (yang juga digelar pelakon 'kayu') melarikan diri ke sebuah hotel untuk bertenang setelah kisah putus cintanya menjadi bahan bualan satu Malaysia.
Di hotel itulah dia bertemu dengan Bunga yang merupakan salah seorang pekerja di hotel itu. Sebenarnya, Bunga memang berhasrat untuk menjadi seorang pelakon namun tidak pernah kesampaian.
Noah kemudian mengupah Bunga menerusi satu perjanjian kontrak di mana mereka berdua perlu berlakon sebagai pasangan kekasih untuk memulihkan imej Noah yang tercemar. Di sanalah konflik dan drama titik percintaan mereka bermula.
Bila difikir-fikir, sebenarnya Bunga dan Kayu mempunyai jalan cerita yang sangat menarik untuk sebuah kisah cinta romantik komedi ala-ala drama Korea Selatan. Namun begitu, penulis berpendapat, persembahan filem ini sangat lewah dan tidak kemas. Warna cerita ini pula mengingatkan penulis dengan filem-filem zaman Mr Cinderella atau Kuliah Cinta.
Sudahlah penghujung cerita ini sudah boleh ditebak, namun itu bukanlah suatu kelemahan jika persembahan ceritanya menarik dan menangkap. Act satu filem ini sahaja sudah memakan masa hampir setengah jam dengan beberapa dialog yang menurut penulis tidaklah begitu signifikan. Ia tidaklah romantik dan tidaklah kelakar.
Konfliknya pula lambat tiba membuatkan penulis sudah mengerling jam beberapa kali mengira bilakah agaknya filem ini akan tamat.
Beberapa aspek teknikal juga perlu diberi perhatian memandangkan ada beberapa babak di mana mereka menggunakan layar hijau. Cermin mata MK dilihat tenggelam mungkin kerana mereka terlepas pandang kesesuaian pakaian dan watak jika mahu bermain dengan layar hijau. Skor muziknya pula baik sahaja namun tidaklah begitu mengujakan.
Pakaian yang dikenakan Azira dan MK juga sangat cantik namun sayangnya ia dilihat tidak bersesuaian dengan babak dan tempat watak berada. Bunga harus mengenakan gaun yang sangat ketat di bahagian kaki untuk sebuah babak yang memerlukannya berlari.
Walaupun MK dan Azira merupakan watak utama filem ini. Namun lakonan yang ditampilkan pelakon pembantu iaitu Zalif Sidek sebagai Farhan dan Yazmin Aziz sebagai Pretty jauh lebih menjadi dan menonjol. Mereka berdua dilihat sangat bersahaja seolah-olah watak itu memang diciptakan khas oleh pengarah untuk mereka berdua.
Selain daripada act satu dan dua yang lewah, filem ini seperti memaksa-maksa, sangat terburu-buru untuk dihabiskan setelah memasuki act tiga. Ia melompat dari satu babak ke satu babak dengan sangat tergesa-gesa. Dari rumah di desa tiba-tiba ke sebuah rancangan temu ramah kemudian kembali lagi ke hotel. Momen jungkir balik di mana ibu Bunga keluar dari rumah juga sangat ‘tiba-tiba’.
Namun begitu, mengenangkan mereka hanya mempunyai tempoh 12 hari sahaja untuk melunaskan penggambaran, Bunga dan Kayu adalah sebuah usaha yang sangat baik untuk sebuah filem romantik komedi. Mesej yang dibawa mereka juga penting iaitu tidak boleh ada pura-pura dalam cinta. Jika seseorang benar-benar jatuh cinta, tidak akan ada yang boleh berpura-pura.
Saksikanlah sendiri konflik percintaan mereka menerusi filem Bunga dan Kayu di Astro First di saluran 480. - Getaran, 5 Mei 2022
Rating : 2 Getar
Foto: Astro First