web statsweb stats

Berita Terkini

1 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Bajet 2023: Kerajaan Perlu Fokus Kepada Pengembangan Model Ekonomi Gig

Ekonomi Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Sep 2022 1:10PM

Institusi kewangan boleh membantu perkembangan pekerja gig menerusi kaedah baharu untuk mengenal pasti skor kredit bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan mikro kredit untuk mengembangkan perniagaan. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta memberi fokus kepada pengembangan model ekonomi gig atau perkongsian yang bernilai tinggi bagi membolehkan pekerja gig mendapat bimbingan sewajarnya, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengarah Jabatan Penerimagunaan Digital MDEC, Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim berkata ia bertujuan untuk membolehkan pekerja gig yang berpengalaman mahupun graduan baharu yang menceburi bidang itu lebih memahami cara bekerja secara dalam talian.

“MDEC juga berharap kerajaan dapat menyediakan insentif percukaian bagi menggalakkan perniagaan tempatan mengguna pakai tenaga ‘digital freelancer’ dari dalam negara dan bukannya dari luar negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai harapan MDEC untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober, 2022.

Katanya insentif kepada pengguna juga perlu diwujudkan bagi menggalakkan penggunaan platform tempatan seperti BungkusIt, MatDespatch, PantangPlus, MrWireman, GoCoach dan pelbagai platform lain.

Katanya MDEC melihat model ekonomi gig sebagai satu bentuk model yang membolehkan penyertaan rakyat secara inklusif dalam Ekonomi Digital selain menjadi penyumbang dan enjin baharu penjanaan ekonomi sekiranya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“MDEC juga ingin kerajaan menggiatkan lagi usaha yang kini dilaksanakan oleh pihak kami terutamanya dari segi piawaian dan menentusahkan platform gig bagi memastikan individu yang ingin mengambil bahagian dalam model ekonomi ini terpelihara daripada penipuan pekerjaan.

“Ini termasuk memastikan semua platform yang ingin menawarkan perkhidmatan atau beroperasi di Malaysia perlu berdaftar dengan pihak kerajaan menerusi MDEC untuk ditentusahkan terutamanya dari aspek pengurusan data peribadi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menerusi institusi kewangan juga boleh membantu perkembangan pekerja gig menerusi kaedah baharu untuk mengenal pasti skor kredit bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan mikro kredit untuk mengembangkan perniagaan.

MDEC merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan beberapa program yang mempromosi dan menggalakkan penggunaan model Ekonomi Gig atau Ekonomi Perkongsian sejak 2015 seperti program eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW).

Berdasarkan data pelaksanaan program, dianggarkan terdapat seramai 1.12 juta individu yang terlibat dalam model Ekonomi Gig, mengambil peluang menjana pendapatan sama ada sebagai pendapatan tambahan atau pendapatan utama.

Mohd Redzuan berkata berdasarkan data program MDEC sejak tahun 2016 hingga Jun 2020, pendapatan sejumlah RM2.86 bilion telah diraih oleh pekerja gig yang terlibat dalam sektor ini.

Sehingga 2021, sebanyak 137 platform telah ditentusahkan dan menjadi rakan strategik program di bawah MDEC dengan saiz pasaran keseluruhan bagi industri ini di Malaysia dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM1.61 bilion.

“MDEC menganggarkan pertumbuhan Ekonomi Gig terutamanya dari aspek pertumbuhan platform tempatan akan terus berkembang daripada kira-kira RM371.4 juta pada 2021 kepada sekurang-kurangnya RM650 juta pada 2025,” kata Mohd Redzuan.

Sementara itu, Pengurus Negara Pickupp Navin Kandapper berkata memandangkan ekonomi gig membolehkan orang ramai mempunyai peluang pendapatan berdasarkan ketersediaan dan pilihan peribadi mereka, ia berharap Bajet 2023 akan mewujudkan kesedaran mengenai ekonomi gig sebagai peluang fleksibel yang membawa nilai kepada ekonomi secara keseluruhannya.

“Kami turut berharap kerajaan memberi lebih banyak sokongan dalam bentuk inisiatif seperti bengkel untuk pembangunan kemahiran yang berterusan bagi mewujudkan kesedaran mengenai peluang pendapatan atau pendapatan tambahan berdasarkan ketersediaannya,” katanya.

Menurut syarikat permulaan logistik teknologi itu, teknologi membantu menyediakan platform untuk mengurus dan menyokong ejen bebas dengan memberikan kesedaran pendapatan yang jelas, penjejakan produktiviti serta mengautomasikan pembayaran dan maklum balas.

“Sebagai sebuah masyarakat, kami menyedari bahawa peserta ekonomi gig memenuhi peranan penting dalam masyarakat yang berubah dengan cepat yang telah mengguna pakai penyelesaian e-dagang, penghantaran makanan dan pengangkutan ad-hoc,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App Amanda Woo berkata berdasarkan ekonomi gig semakin menarik, kebajikan pekerja gig seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi semakin penting dan perlu diketengahkan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata itulah sebabnya AirAsia baru-baru ini mengumumkan pekerjaan sepenuh masa kepada semua pekerja gig termasuk pemandu e-hailing dan penunggang penghantaran.

Pekerja gig sepenuh masa Allstar akan menerima pendapatan asas (RM2,500), faedah petrol (RM1,000), kadar diskaun yang tinggi untuk penerbangan AirAsia (diri+keluarga), perlindungan perubatan (diri+keluarga), caruman KWSP oleh AirAsia dan perlindungan PERKESO.

“Terdapat 53,000 pemandu berdaftar AirAsia di Malaysia. Dengan pengumuman pekerjaan sepenuh masa baru-baru ini, kami menyasarkan untuk mempunyai lebih ramai pemandu Allstar sepenuh masa pada akhir tahun kewangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat berikutan semua sektor ekonomi telah dibuka semula,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 tahun yang lalu

Penyertaan UK Dalam Perjanjian Trans-Pasifik Buka Peluang Kepada Malaysia - Fahmi

2

Ekonomi 2 tahun yang lalu

Malaysia Peroleh Komitmen Pelaburan Bernilai RM8.3 Bilion Semasa Minggu Teknologi London - Fahmi

3

Semasa 3 tahun yang lalu

Rangka ‘Blue Print’, Tubuh Badan Khas Kawal Selia Pekerja E-Hailing, P-Hailing

4

Teknovasi 3 tahun yang lalu

Meta Lancar Akademi Pempengaruh Media Sosial Di Malaysia

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan