KUALA LUMPUR - Kira-kira 438,000 pelanggan Public Bank dengan pinjaman berjumlah RM83 bilion telah menerima bantuan pembayaran balik COVID-19 setakat akhir tahun 2021 untuk menangani beban hutang mereka.
Bank itu berkata ia sentiasa membantu pelanggannya bagi memastikan mereka yang memerlukan bantuan kewangan itu menerima bantuan yang sepatutnya, selain menyediakan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ia menambah sokongan Public Bank terhadap PKS berterusan semasa pandemik COVID-19 dengan pembiayaan berjumlah kira-kira RM3.4 bilion diluluskan di bawah skim khas yang dimulakan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM), yang telah memberi manfaat kepada lebih 17,000 PKS.
“Public Bank sentiasa proaktif dalam menyokong para pelanggannya sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan akan terus menyediakan bantuan pembayaran balik kepada mereka yang terjejas sambil menyokong pemulihan ekonomi negara
“Setiap ringgit daripada pembiayaan tersebut yang diberikan kepada PKS akan mempunyai kesan penggandaan yang tinggi, bermula dengan pembelian bahan mentah kepada pembayaran gaji kakitangan dan akhirnya menyumbang kepada cukai yang dibayar kepada kerajaan.
‘’Public Bank, antara pembiaya PKS terbesar di negara ini, akan terus menyediakan akses pembiayaan kepada PKS bagi menyokong pemulihan ekonomi negara,” kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tay Ah Lek dalam satu kenyataan.
Melangkah ke hadapan, Public Bank komited sepenuhnya untuk terus mengukuhkan peranannya sebagi perantara kewangan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
“Public Bank menyokong sepenuhnya Pelan Induk Sektor Kewangan BNM 2022-2026. Dipandu oleh tiga keutamaan di bawah rangka kerja iaitu “Kewangan Untuk Semua”, “Kewangan Untuk Transformasi” dan “Kewangan untuk Kemampanan”, Public Bank berhasrat untuk terus menggerakkan kekuatannya dalam perbankan bagi menyokong transformasi ekonomi negara dan memperkukuh kesejahteraan kewangan untuk isi rumah dan perniagaan, sambil mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau,” ujar beliau. - Bernama