Pada pertengahan tahun 1990-an, muncul seorang kartunis muda yang pantas mencipta trend dalam dunia komik Malaysia.
Hasil kerja seninya dianggap cukup luar biasa, sama ada dari sudut lakaran dan lukisan karya kartun yang tersusun padu dan kemas, mahupun cetusan karakter-karakter yang cukup diingati.
Sememangnya Saari Sulong atau Aie, 48, adalah kartunis yang ‘sesuatu’. Luar biasanya Aie juga adalah kerana setiap sesuatu hasil kerja seni yang dipersembahkan itu bukan sahaja dekat di hati setiap lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan peminat dunia kartun, tetapi juga turut melekat di jiwa kita.
Dengan fenomena luar biasa yang dicetuskan itu, tidak hairanlah mengapa dia mampu menempatkan namanya sebagai antara kartunis yang ikonik seperti Datuk Lat, Rasyid Asmawi, Ujang dan Cabai.
Bermula dengan siri 'Abe' di dalam majalah Ujang yang menampilkan kartunis Ujang sebagai penulis serta pencetus idea dan dia sebagai pelukis ilustrasi kartun, nama Ayie kemudian terus meledak dalam siri 'Aku Hidup Dalam Blues' yang turut dimuatkan di dalam majalah yang sama.

'Aku Hidup Dalam Blues', hasil karya Azzam Supardi atau Toyon sebagai penulis dapat diterjemahkan Aie dengan cukup baik sekali menerusi lakaran ilustrasi kartunnya, terutama sekali bagi watak pemuda bernama Sahak.

Barangkali, juga ia disebabkan dia adalah seorang pemerhati yang sangat detail mendalami suasana kehidupan semasa masyarakat kita. Maka, watak Sahak yang diangkat sebagai budak grafik yang berpenampilan grunge memang cukup menepati suasana dan keadaan penghujung tahun 1990-an.
Ketika itu, budaya muzik grunge memang sangat diminati anak-anak muda terutama sekali di kalangan pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti mahupun yang bekerja di dalam bidang grafik atau animasi.
Stail penampilan Kurt Cobain menjadi ikutan dan Nirvana adalah band muzik grunge yang paling digilai berbanding band-band muzik grunge yang lain. Semua itu, berjaya diterjemahkan Aie dengan penuh teliti dan terperinci.
Selepas 'Aku Hidup Dalam Blues' yang tidak dapat disiapkan berikutan isu hak cipta syarikat, Aie kembali dengan siri 'Blues Untuk Aku' yang merupakan kesinambungan daripada 'Aku Hidup Dalam Blues' yang mana dia turut bertindak sebagai penulisnya.

Namun, entah kenapa, siri 'Blues Untuk Aku' turut menerima nasib yang sama apabila ia tiba-tiba dihentikan. Aie kemudian menerbitkan sendiri siri 'Aku dan Sesuatu' menerusi syarikat terbitannya.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada Februari 1973, kematian Aie akibat komplikasi buah pinggang kira-kira jam 4 pagi di Sungai Manggis, Banting, Selangor pada tanggal 28 Jun yang lalu telah memberi kesan kepada seluruh peminat dunia kartun mahupun di kalangan rakan-rakan seperjuanganya.
Sebagai satu penghormatan buat Aie, portal Getaran.my telah berusaha mewawancara beberapa rakan kartunis untuk mengetahui sisi lain tentang dirinya.
Seorang Yang Sensitif
Biarpun gemar berlawak, namun kartunis yang dibesarkan di Segamat dan Kluang, Johor, sebelum menamatkan tingkatan 5 di Kuantan, Pahang ini adalah seorang insan yang cukup sensitif.
Ini diakui kartunis Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon. Kata Ujang, Aie adalah antara kartunis pertama yang bekerja dengannya di dalam majalah Ujang.

“Setiap kartunis yang saya develop, saya akan latih mereka dan akan bagi mereka peluang untuk mengemudi sesuatu karya. Untuk Aie, saya pertanggungjawabkan dia untuk membuat ilustrasi untuk siri 'Abe.'
“Dalam tempoh setahun, dia telah menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Dia seorang yang sangat berbakat, kreatif dan gemar bereksperimen serta suka membuat ‘kajian’ dengan mengikuti perkembangan karya-karya luar.
“Bila saya beri skrip 'Abe', dia akan explore dengan ilustrasi yang tidak dijangka tapi dalam waktu yang sama dia mampu terjemahkan apa yang ada di dalam bayangan saya dan ia menyatukan dengan karya lukisannya.
“Tapi, dia juga sangat sensitif orangnya. Pernah saya matikan salah satu karakter di dalam 'Abe.' Dia merajuk sampai tidak datang ofis. Jadi, saya terpaksa pujuk. Bawa dia pergi keluar makan, bawa jalan-jalan termasuklah pergi zoo,” kata Ujang.
Jelas Ujang lagi, pada kata pengantar 'Abe', dia pernah menulis tentang Aie bahawa suatu hari nanti kartunis muda itu akan lahir sebagai suatu kartunis yang hebat.
“Memang betullah jangkaan saya itu. Dia dan Gayour adalah antara kartunis muda pada zaman itu yang menjadi ikonik,” katanya yang mengakui sedih sebaik sahaja mendapat tahu pemergian Aie.

Seorang Yang Buta Warna
Ramai yang tidak tahu bahawa Aie adalah seorang kartunis yang buta warna. Perkara ini telah didedahkan sendiri kartunis Ubi atau nama sebenarnya, Raja Kamil Raja Mokhtar.
Mengenali arwah sejak kecil kerana tinggal di kampung yang sama dan kemudian menjadi teman serumah sewaktu bekerja di majalah kartun yang sama, kartunis Ubi mengakui bahawa arwah seorang kartunis yang genius.
“Dia lukis apa pun jadi dan lukisannya sangat cantik. Lukisannya juga mempunyai X-Factor. Dia juga adalah seorang trendsetter dan selalu bawa style baru dalam lukisan dan ramai orang akan cuba ikut stailnya itu.
“Tapi pada waktu yang sama dia adalah seorang yang buta warna. Aneh, kan? Bagaimana seorang yang buta warna mampu menghasilkan lukisan berwarna yang cantik? Saya pernah tanyakan dia, macam mana dia buat lukisan yang berwarna sedangkan dia buta warna.
‘Katanya dia menggunakan firasat dan cuba membayangkan gabungan warna yang boleh dipadukan dengan cantik.
“Banyak yang saya pelajari daripada Aie. Dia ibarat guru saya dan dialah yang banyak membimbing saya serta membawa saya masuk ke dalam dunia kerjaya kartunis,” katanya yang turut mengakui Aie seorang yang kaki makan dan pandai memasak.

Pernah Bikin Muzik Video Gwen Stefani
Bukan setakat pernah membuat ilustrasi kulit album Def-Gab-C bertajuk remifasolatido dan Wings (Naga Kramat), Aie juga turut mendapat perhatian produksi luar yang mahu gunakan khidmatnya dalam bidang berkaitan dengan ilustrasi dan grafik.
Kata kartunis Sireh atau Anuar Hassan, Aie pernah terlibat dengan pembikinan muzik video penyanyi terkenal antarabangsa, Gwen Stefani berbentuk animasi.
“Tapi, saya tidak dapat mengingati tajuk muzik video tersebut. Sebuah syarikat animasi daripada Australia yang mahu gunakan khidmat Aie. Mereka bersungguh-sungguh mahukan Aie. Mereka tidak mahu orang lain.
“Banyak lagi produksi luar yang mahu gunakan khidmatnya. Tapi, kebanyakanya Aie tidak dapat buat kerana masalah kesihatan yang dihadapinya,” katanya.
Jelas kartunis Sireh lagu, sebagai antara rakan seperjuangan yang pernah bekerja di majalah kartun yang sama, dia sangat mengagumi bakat yang ada pada Aie.
“Untuk menceburkan diri dalam dunia perkartunan saya berusaha untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan seni halus di UiTM, kemudian saya mendalami animasi dengan menguasai komputer grafik dan membuat pengajian sarjana mengenai komik 7 kartun, tetapi walaupun Aie tidak belajar setinggi saya, bakatnya adalah tulen, semula jadi dan terbit dari dalam dirinya sendiri.
“Kalau hendak dibandingkan dengan sentuhannya, memang saya akui saya tidak dapat capai. Walaupun banyak tempat saya belajar, saya tidak dapat capai kemampuan yang ada pada dirinya.
“Pernah saya berasa ‘buntu’ beberapa sebab tidak dapat idea. Hingga terpaksa minta bantuan daripada Aie. Tak sampai 10 minit, sekejap saja dia bantu keluarkan idea,” katanya.

Sepanjang 25 tahun bergelumang di dalam dunia kartun, Aie telah memegang menguasai portfolio sebagai kartunis, illustrator, pelukis komik, pereka grafik, ketua illustrator dan ketua studio.
Bermula dengan majalah Jenakarama, dia kemudian bekerja dengan ‘Ujang’, ‘Starts', ‘G3’, ‘Jom’, ‘Bobi’ dan ‘Gila-Gila.’ Dia juga pernah terlibat dengan penghasilan majalah kartun Disney ‘Mickey’ (edisi Bahasa Melayu).
Aie juga pernah terbitkan dua novel grafik, Permulaan Sebuah Akhiran dan Dia Yang Dulu serta memiliki tiga lagi novel grafik yang sedang menunggu waktu untuk diterbitkan.
Biarpun kartunis Aie telah pun pergi menemui sang Pencipta, namun nama dan hasil karya seninya akan terus terpahat dan bersemadi di dalam jiwa dan ingatan kita semua. Al-Fatihah - Getaran, 1 Julai 2021