Penghormatan diterima Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan khutbah di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) pada Jumaat lalu turut dikongsikan sebuah stesen televisyen Bangladesh.
Klip video yang dimuat naik Bayanno TV pada 23 September itu, kini sudah ditonton sebanyak 2.6 juta kali.
Ia juga mendapat lebih 300,000 reaksi serta hampir 10,000 komen, kebanyakannya dalam Bahasa Bengali, rata-rata mengucapkan masha-Allah dan Alhamdullilah serta ada yang mendoakan Perdana Menteri untuk terus hidup dalam keimanan.
Anwar, ketika menyampaikan khutbah, antara lain menyatakan mengenai pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama serta tindakan Malaysia mencetak satu juta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia susulan kejadian membakar kitab suci itu di Sweden awal tahun ini. – Getaran, 27 September 2023