KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Rabu malam.
Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi paduka-paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah itu turut dihadiri Yang Dipertua Sabah Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.
@getaranmy Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong di Sabah International Convention Centre dalam Kembara Kenali Borneo #getaranmy #beritatiktok #Semasa #TERKINI ♬ Beautiful Land (Sape Dayak Borneo) - Helmy Trianggara
Seri Paduka Baginda berdua turut mencemar duli menari tarian tradisional pada Majlis Santapan Kerajaan Negeri Sabah itu.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memakai perhiasan kepala Masyarakat Murut, Tupi Sinulatan sebelum berkenan menarikan tarian Magunatip.
Pada hari kelima Kembara Kenali Borneo, hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat Kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berkenan menyertai Kembara Kenali Borneo untuk mendekati penduduk di Sabah dan Sarawak, melibatkan pengembaraan jarak sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – Getaran, 7 September 2023






