Penerbangan yang membawa kumpulan pertama seramai 284 bakal jemaah haji negara bagi musim haji 2023 selamat berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi tadi, 21 Mei 2023 bersamaan 1 Zulkaedah 1444H.
Kumpulan terbabit berlepas pada jam 2.05 pagi (21 Mei) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH 8056) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 5.50 pagi waktu tempatan (10.50 pagi waktu Malaysia) hari ini.
Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan dan Kedah itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Getaran sempat merakam detik bersejarah pelepasan kumpulan pertama jemaah haji terbabit di KLIA awal pagi ini menerusi lensa kamera jurufoto Azim Rahman. - Getaran, 21 Mei 2023






.jpg)