web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Tart Nanas Abu Samah, Resipi Tradisi Jana Pendapatan Suami Isteri

Usahawan Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 May 2021 1:17PM

Ammelia Izati bersama tart nanas yang sudah siap.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

MELAKA - Selepas kehilangan pekerjaan kerana pandemik COVID-19 keputusan pasangan suami isteri menggunakan resepi tart nanas arwah atuknya untuk mencari punca rezeki kini membuahkan hasil.

“Walaupun ianya tidak dikenali secara meluas namun saya bersyukur apabila keputusan dibuat membuahkan hasil.

“Dengan duit simpanan yang hanya berbaki RM102, situasi saat itu memang mencemaskan sebelum saya menyatakan hasrat kepada suami untuk cuba membuat tart daripada resepi arwah datuk dengan melaburkan kesemua duit yang ada,” kata pengusaha tart nanas Abu Samah, Ammelia Izati Abdul Karim.

Menurutnya, bukan mudah untuk dia menyambung warisan daripada datuknya itu, malah pernah hampir berputus asa apabila percubaan kali pertamanya tidak menjadi kerana adunan dan inti tidak sama seperti yang pernah dihasilkan oleh arwah.

Kata ibu kepada dua anak itu, selepas beberapa kali mencuba, ditambah sokongan padu suaminya Mohd Faizal Abdul Rani, 40, akhirnya dia berjaya mendapat ‘rentak’ yang diidamkan dalam menghasilkan adunan doh dan inti.

Ammelia pernah hampir berputus asa apabila percubaan kali pertamanya tidak menjadi kerana adunan dan inti tidak sama seperti yang pernah dihasilkan oleh arwah.
Ammelia pernah hampir berputus asa apabila percubaan kali pertamanya tidak menjadi kerana adunan dan inti tidak sama seperti yang pernah dihasilkan oleh arwah.

“Selepas arwah datuk meninggal, ayah yang meneruskan warisan membuat tart ini namun selepas ayah menghembuskan nafas terakhir pada awal tahun lalu, saya fikir mengapa tidak mencubanya pula memandangkan ketika itu kami tiada punca pendapatan dan sukar mencari pekerjaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada awalnya saya hanya jual dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga, malah agak takut sekiranya tiada sambutan, sebelum memberanikan diri mengiklankan produk terbabit di Facebook,” katanya kepada Getaran, ketika ditemui di kediamannya di Batu Berendam di sini.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu dan langkah kanan ternyata mengiringi Ammelia apabila mula menerima tempahan daripada sekitar Melaka.

“Bagi mengekalkan keaslian Tart Nanas Abu Samah, saya menggunakan sepenuhnya resepi tinggalan arwah datuk menggunakan tangan, kerana risau keaslian rasa kuih akan terjejas jika pembuatan dibantu oleh mesin.

“Saya dan suami akan membahagikan tugas dengan penyediaan inti diuruskan beliau, termasuk memasak inti menggunakan kawah yang lazimnya mengambil masa selama lapan hingga sembilan jam,” katanya.

Ammelia berkata, tugas membuat doh pula terletak di bahunya dan semua bahan digunakan adalah seratus peratus berpandukan resipi asli yang diwarisi itu.

“Jujur katakan kesemua bahan digunakan memang seperti daripada arwah datuk dan saya memang tidak ‘derhaka’ kerana arwah ayah pun pernah berpesan perkara sama.

“Untuk jenis nanas pula, saya menggunakan jenis Moris bagi mendapatkan rasa inti yang enak,” katanya yang turut membuat Tart Baba Nyonya, Tart Kurma dan Chocolate Rich Cookies.

Ammelia Izati memasukkan tart yang sudah siap dimasak ke dalam bekas.
Ammelia Izati memasukkan tart yang sudah siap dimasak ke dalam bekas.

Ammelia yang juga pengasas Miejal Kitchen berkata, mereka suami isteri tidak tidur malam tahun lalu bagi menyiapkan tempahan 130 bekas tart nanas kerana hanya menggunakan ketuhar bersaiz kecil.

“Waktu itu kami belum ada modal untuk membeli ketuhar bersaiz besar tetapi pada tahun ini semuanya berubah, selepas berjaya membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Sinar.

“Wang terbabit kami laburkan untuk membeli peralatan lebih efisien termasuk ketuhar lebih besar, sekali gus membolehkan jumlah tempahan Tart Nanas Abu Samah meningkat kepada 300 bekas,” katanya gembira.

Lebih membanggakan Ammelia, Tart Nanas Abu Samah turut menjadi kegilaan pelanggan bukan Melayu, khususnya kaum Tionghua yang tidak ketinggalan membuat tempahan ketika Tahun Baharu Cina awal tahun lalu.

“Kata pelanggan, rasa tart nanas kami amat klasik, jauh bezanya dengan keluaran moden yang lazimnya menggunakan inti segera,” katanya sambil memberitahu, sebekas Tart Nanas Abu Samah dengan muatan 60 ketul kuih dijual pada harga RM30 setiap satu.

Dia juga mengakui, penat menghasilkan tart kerana proses yang rumit terbalas apabila pelanggan menyuarakan rasa puas hati terhadap kelazatan kuih berkenaan.

“Buat masa ini, saya dapat menghasilkan kira-kira 600 biji kuih sehari manakala proses pembakaran pula dibuat dua kali bagi memastikan tepung benar-benar masak dan garing.

“Tahun ini juga kami mencuba nasib memasarkan Tart Nanas Abu Samah ke bazar dan turut menerima tempahan daripada pelanggan di luar Melaka,” katanya. - Getaran, 16 Mei 2021

Berita Berkaitan

1

Usahawan 3 bulan yang lalu

Capal Jago Kepala Batas: Warisan 6 Dekad Jadi Pilihan PM

2

Usahawan 2 tahun yang lalu

Kedai Kopi Jalan Ampas Imbau Nostalgia Filem Melayu Lama

3

Usahawan 2 tahun yang lalu

Pengusaha Harumanis Tak Menang Tangan Penuhi Permintaan Pelanggan

4

Usahawan 2 tahun yang lalu

Peniaga Nasi Kukus Raih Jualan RM14,000 Sebulan Selepas Sertai Program IPR

Sorotan

1

 ‘Double Standard’ Norway Dikecam, Batal Penghantaran Peluru Berpandu Selepas Malaysia Bayar 95 Peratus Kontrak

2

Gara-Gara Memotong Barisan, 2 Lelaki Akhirnya Bertumbuk

3

Pengecualian Caj RM1 Di ATM: 84 Peratus Mesin Terlibat Seluruh Negara - Fahmi 

4

Wajib Isytihar Aset, Perkukuh Agenda Integriti - Abd Halim

5

PRN Johor: Perpecahan Dalaman PN Mampu Beri Kelebihan Kepada BN - Penganalisis 

6

Malaysia Yang Mana Mahu Kita Wariskan Untuk Anak Cucu?