web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Minat Kumpul Jersi Sejak Kecil Dorong Pemuda Buka Perniagaan The Najwan

Usahawan Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 May 2022 8:22AM

Mohd Izwan dan isteri, Nur Fatin Najuha merupakan pengasas kepada The Najwan.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Bermula dengan minat mengumpul jersi pasukan tempatan sejak di bangku sekolah, kini pengasas jenama The Najwan mampu memiliki perniagaan sendiri untuk pakaian sukan itu yang semakin dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Mengimbau keputusan untuk membuka perniagaan jersi original pasukan bola sepak tempatan, Mohd Izwan Mohd Sani, 36, berkata, ia bermula daripada minat mendalamnya terhadap bola sepak.

Menurutnya, minat itu kemudian bertukar menjadi ‘lubuk rezeki’ buat dirinya dan keluarga sejak tahun 2012 apabila beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan menjual jersi.

“Daripada situ, tercetuslah The Najwan, jenama yang menggabungkan nama saya, Izwan dan isteri (Nur Fatin Najuha Mohd Samsi). Alhamdulillah, jenama kami semakin dikenali, terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan,” katanya kepada Getaran.

Menurut Mohd Izwan, seperti perniagaan lain, ketika dia mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut, pendapatannya hanya ‘cukup-cukup makan’, namun selepas hampir 10 tahun beroperasi, mereka mampu membuka dua kedai fizikal di Uptown Bangi, Kajang, Selangor dan Johor Bahru, Johor.

“Bagaimanapun, ketika pandemik COVID-19 melanda negara bermula tahun 2020, kedua-dua kedai tersebut terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi meminimumkan kos bulanan.

“Setelah membuat perbincangan dengan kakitangan dan ahli keluarga, kami jangkakan kedai fizikal ini akan dibuka semula dalam masa terdekat bagi memudahkan pelanggan datang untuk melihat sendiri jersi tempatan yang dijual,” katanya.

Bukan itu sahaja, The Najwan kini menghasilkan jenama jersi baharu, iaitu TN yang dilancarkan ketika Aidilfitri, baru-baru ini.

Bekas pemain import pasukan Selangor dan Sarawak, Sandro Da Silva membeli jersi jenama The Najwan.
Bekas pemain import pasukan Selangor dan Sarawak, Sandro Da Silva membeli jersi jenama The Najwan.

Mohd Izwan berkata, jenama TN adalah rancangan jangka masa panjang perniagaannya, susulan perkembangan positif sukan bola sepak dan futsal di negara ini.

“Kami menyediakan perkhidmatan membuat jersi dengan menggunakan jenama TN kepada pasukan bola sepak dan futsal bagi membolehkan mereka mempunyai identiti sendiri ketika bermain di padang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Kelab Kolektor Jersi Malaysia (Kolektor Xi) berkata, jersi original yang boleh didapati di kedainya adalah membabitkan pasukan bersaing di Liga Super, Liga Premier, Liga M3 dan Liga Futsal Kebangsaan, selain jersi hoki pasukan negara.

“Memandangkan kami menjual jersi original pasukan tempatan, jadi harganya agak ‘keras’. Namun, sejak kebelakangan ini alhamdulillah, ramai peminat bola sepak kita mula menyokong pasukan kegemaran dengan membeli jersi original.

“Sebagai contoh, bagi pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier tahun ini, jersi paling murah yang dijual di kedai kami adalah jersi pasukan Sarawak, iaitu berharga RM99 sehelai, manakala paling mahal, jersi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) iaitu RM299 sehelai,” katanya.

Walaupun harganya agak mahal, Mohd Izwan berkata, jersi jualannya itu turut menerima tempahan daripada peminat bola sepak tempatan di luar negara, antaranya dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Paling jauh kami pernah hantar jersi dibeli peminat adalah ke United Kingdom, namun penghantaran ke kawasan terlalu jauh, perlu dibuat secara berhati-hati kerana terdapat kos tambahan harus ditanggung,” katanya.

Berbicara soal cabaran, bapa kepada dua cahaya mata tersebut berkata, perniagaan dimilikinya itu sama seperti bisnes lain yang ada ‘pasang surut’.

“Jersi ini hanya laris ketika musim baru bola sepak tempatan hendak bermula kerana penyokong mahu memakainya ke stadium, namun perolehan adalah perlahan pada pertengahan musim dan sepi di akhir musim.

“Itulah senario perniagaan jersi ini, justeru ia membuatkan kami nekad melebarkan sayap dengan membina jenama sendiri, supaya tempahan untuk jersi oleh pasukan bola sepak dan futsal terus diperoleh, sekali gus menambah pendapatan,” katanya. – Getaran, 30 Mei 2022

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan