Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


11 Destinasi Wisata Menarik Di Indonesia

Sempena Hari Kemerdekaan Indonesia yang bakal tiba, kami kongsikan 11 destinasi menarik negara tersebut yang boleh anda lawati sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka nanti.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Aug 2021 2:43PM

Gunung Bromo Gambar: Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Rakyat Malaysia seringkali tidak sedar betapa luasnya negara jiran kita Indonesia. Ibarat jarak dari United Kingdom ke Turki, Indonesia mempunyai pelbagai destinasi wisata menarik yang boleh kita kunjungi. Dari suasana alam semula jadi hinggalah yang berlatarbelakang moden dan bersejarah, semuanya ada di Indonesia.

Sempena hari kemerdekaan mereka yang bakal tiba, kami kongsikan 11 destinasi menarik negara tersebut yang boleh anda lawati sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka nanti. 

 

Jakarta

Destinasi mana lagi yang harus kami cadangkan sebagai lokasi pertama jika bukan ibu negara Indonesia sendiri. Jakarta sememangnya pusat ekonomi dan budaya utama negara tersebut.

Selain hutan konkrit yang semakin moden dengan jaluran MRT dan LRT yang baru sahaja dibuka, Jakarta lengkap dengan pusat membeli-belah, kawasan rekreasi dan sejarah seperti kota Tua, Monumen Nasional, kawasan taman tema Ancol serta bermacam-macam lagi tarikan pelancongan lain.

Gambar Monas dari Unsplash
Gambar Monas dari Unsplash

Ia juga merupakan pusat pertemuan kesemua bangsa Indonesia yang merantau mencari rezeki. Lantas aneka makanan juga boleh dinikmati di kota ini.

 

Surabaya

Gambar Patung Suro dan Boyo dari Unsplash
Gambar Patung Suro dan Boyo dari Unsplash

Bandar kedua terbesar dan pusat ekonomi kedua terpenting negara Garuda ini menjadi pemangkin yang menyokong kemajuan negara tersebut selepas Jakarta sendiri.

Malah, ibu kota provinsi Jawa Timur ini pernah mendapat jolokan ‘Singapura Indonesia’, kerana kota ini dianggap lebih terurus dan terjaga dari aspek kebersihannya selain sistem perancangan kota yang baik.

Gambar: Alessio Roversi, Unsplash
Gambar: Alessio Roversi, Unsplash

Ia juga menjadi pintu masuk ke destinasi pelancongan lain seperti Gunung Bromo yang terkenal dengan keindahan semula jadinya.

 

Bandung

Siapa yang tidak sukakan bandar yang mendapat gelaran ‘Kota Kembang’ atau kota bunga ini.

Tersenarai sebagai salah satu destinasi paling digemari oleh rakyat Malaysia, Bandung menjadi syurga membeli-belah berkat banyak cawangan kedai ‘outlet’ mereka yang menjual pakaian serta aksesori berjenama pada harga yang murah.

Selain itu, Bandung juga tersohor kerana budaya muzik dan kafe mereka.

Ditambah pula dengan suasana alam semula jadi cantik berlatarbelakangkan kawasan pergunungan yang dingin, tapak kawah bekas gunung berapi, serta ajnas makanan unik, Bandung memang harus dilawati.    

 

Yogyakarta

Terletak berdekatan kawasan Jawa Tengah, daerah istimewa Yogyakarta yang sering disebut Jogja oleh penduduk tempatan mempunyai banyak tempat-tempat wisata untuk dilawati.

Semestinya yang paling dikenali dan menjadi sebutan warga dunia adalah Candi Borobudur yang terletak di kawasan Magelang, sekitar 40km dari pusat kota Yogyakarta.

Candi Borobudur sebenarnya merupakan sebuah kuil purba penganut agama Buddha yang dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. Kini Borobudur telah diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia sejak 1991.

Gambar: Farhan Abas, Unsplash
Gambar: Farhan Abas, Unsplash

Selain Borobudur, Yogyakarta juga terkenal dengan pelbagai tarikan lain seperti Candi Prambanan, persembahan teater Ramayana, serta Jalan Malioboro yang tersohor sebagai tempat membeli-belah dan juga makanan jalanan.

Yogyakarta juga sering digelar kota mahasiswa kerana terdapatnya banyak institusi pengajian tinggi di situ, termasuk Universitas Gajah Mada yang dianggap salah satu universiti terbaik Indonesia.

 

Semarang

Kota Semarang di Indonesia adalah ibu kota Jawa Tengah dan merupakan salah satu kota tertua di negara itu. Semarang paling dikenali gara-gara bangunan bersejarah yang bernama Lawang Sewu.

Lawang Sewu yang bermaksud ‘seribu pintu’ itu merupakan sebuah bangunan lama dan pernah menjadi ibu pejabat Syarikat Kereta Api Hindia Timur Belanda satu ketika dulu.

Kemudian sewaktu zaman penjajahan Jepun, ia dijadikan tempat penyiksaan buat tahanan perang. Menurut orang tempatan, ramai yang telah mati gara-gara seksaan kejam yang dilakukan di situ.

Oleh kerana itu, Lawang Sewu dikatakan berhantu dan sering mendapat jolokan sebagai salah satu bangunan ‘paling berhantu’ di Indonesia. Malah, oleh kerana ia dianggap tempat yang seram, terdapat juga acara menjelajah bangunan Lawang Sewu di waktu malam untuk menghayati suasana seram bangunan tersebut.

Kota ini juga terkenal dengan kuil Sam Poo Kong. Ia merupakan sebuah kuil masyarakat Cina tempatan yang bermula sebagai tempat persinggahan Laksamana Cina Purba, Cheng Ho.

Di samping itu Semarang juga mempunyai banyak destinasi pelancongan lain termasuk kawasan paya bakau serta ‘Chinatown’ atau daerah ‘pecinan Semarang’ mereka sendiri.

 

Danau Toba

Makan kaum Batak di Danau Toba
Makan kaum Batak di Danau Toba

Danau Toba adalah sebuah tasik terkenal yang menjadi kawasan tumpuan pelancong serata dunia. Di situ juga terletaknya Pulau Samosir, sebuah pulau yang mempunyai keluasan sebesar Singapura dan terletak di tengah danau tersebut. 

Kawasan sekitar Danau Toba pula merupakan tempat asal komuniti Batak di Indonesia. Di situ, kita dapat mempelajari tentang sejarah orang Batak dan mendalami budaya mereka.

Pemandangan Danau Toba dari Samosir Cottage
Pemandangan Danau Toba dari Samosir Cottage

Selain kawasan semula jadi yang indah ia turut diselangi dengan beberapa kawasan bersejarah seperti muzium, makam dan tidak ketinggalan tempat-tempat membeli-belah. 

 

Palembang

Jambatan Ampera, Palembang
Jambatan Ampera, Palembang

Kota terbesar di Sumatera Selatan adalah bandar Palembang. Jika anda masih ingat, Palembang adalah tempat asal Raja Paramesawara yang kemudian berhijrah ke Tanah Melayu dan menjadi pemangkin kerajaan agung Melaka.

Kini Palembang tampil sebagai salah satu bandar raya Indonesia yang berkembang pesat dengan kemajuan. Ia merupakan bandar pertama di Indonesia yang mempunyai jalur LRT sendiri sebelum kota Jakarta.

Laluan LRT ini menghubungkan lapangan terbang utama Palembang dengan kawasan pusat kotanya.

Kota ini terkenal dengan Jambatan Amanat Penderitaan Rakyat atau Jambatan Ampera. Ia merupakan satu binaan gah yang menghubungkan kawasan Seberang Ulu dan Seberang Ilir yang dipisahkan oleh Sungai Musi.

Al-Quran Gergasi, Palembang
Al-Quran Gergasi, Palembang

Selain makanan khas mereka, pempek dan restoran perahu yang menjual lauk tradisional bernama pindang, Palembang juga dikenali berkat Al-Quran gergasi yang terletak di Pondok Pesantren Al Ihsaniyah, Gandus, Palembang.

Ia merupakan Al-Quran terbesar di dunia yang mempamerkan kesemua 30 juz ayat suci Al-Quran yang dipahat pada lembaran-lembaran kayu besar.

Proses pembuatannya sendiri memakan waktu yang agak lama iaitu sekitar tujuh tahun. Untuk itu, Palembang harus termasuk dalam senarai kota menarik anda di Indonesia.

 

Padang

Masjid Raya Sumatera Barat. Gambar: Rahmat Irfan Denas, Wikipedia
Masjid Raya Sumatera Barat. Gambar: Rahmat Irfan Denas, Wikipedia

Padang merupakan tanah asal bangsa dan budaya Minangkabau. Ia dikenali kerana berkongsi budaya yang agak mirip dengan salah satu negeri di Malaysia iaitu Negeri Sembilan.

Seni bina bumbung Minangkabau kota ini sememangnya sesuatu yang sangat unik dan sinonim dengan budaya serta sejarahnya.

Malah salah satu bumbung Minangkabau paling cantik di Padang adalah bumbung milik Masjid Raya Sumatera Barat di ibu kota Padang. Berbeza dengan kebanyakan masjid di dunia yang menggunakan bumbung berbentuk kubah, bumbung masjid ini tampil gah dengan seni hiasan tersendiri.

Ia memaparkan seni ukiran berupa ayat-ayat suci Al-Quran dan sememangnya menjadi tempat pilihan untuk mengabadikan gambar kenangan.

Nagari Pariangan. Gambar: Instagram @sattosay
Nagari Pariangan. Gambar: Instagram @sattosay

Semestinya Padang juga terkenal dengan hidangan Nasi Padang mereka yang enak, yang menyajikan banyak pilihan makanan lazat dan unik. Pengunjung juga disarankan melawat kawasan Bukittinggi yang terkenal dengan jam besar atau ‘Jam Gadang’ ikonik kota itu.

Jangan lupa untuk singgah ke Istana Baso Pagaruyung yang merupakan istana asal Raja Minangkabau demi menyingkap sejarah silam masyarakat serta keluarga diraja keturunan tersebut.

Padang juga menempatkan Nagari Pariangan, sebuah kampung di atas bukit dan tersenarai sebagai satu daripada 15 desa terindah dunia menurut laman sesawang antarabangsa Luxatic.

 

Labuan Bajo 

Bandar Labuan Bajo, adalah bandar utama dan paling popular di Pulau Flores yang termasuk dalam wilayah atau provinsi Nusa Tenggara Timur Indonesia.

Pulau ini merupakan pintu masuk ke salah satu taman nasional paling popular mereka, iaitu Taman Nasional Komodo, habitat asal satu-satunya ‘naga’ yang tinggal di dunia,  Naga Komodo.

Tujuan utama pelancong berkunjung ke Labuan Bajo dan Pulau Flores bukanlah makanan lautnya sahaja tapi untuk menghayati keindahan alam semula jadi pulau-pulau sekitarnya.

Ia memang indah untuk menyelam, bersnorkel dan juga bersantai di tepian pantai. Selain pengalaman melihat naga Komodo, ramai juga yang ke sini untuk aktiviti mendaki bukit dan menikmati kecantikan alam.

 

Solo

Cara membuat batik khas Solo
Cara membuat batik khas Solo

Kota Solo yang juga dikenali dengan nama Surakarta adalah sebuah wilayah di bawah provinsi Jawa Tengah di Indonesia. Presiden Indonesia, Joko Widodo sendiri pernah menjadi Datuk Bandar kota ini sebelum diangkat menjadi presiden negara tersebut.

Solo sebuah kota yang indah dan tersusun rapi. Ia dikenali dengan produk batiknya yang berkualiti tinggi dan kerap menjadi batik pilihan rakyat Indonesia.

Acara Solo Menari. Gambar: Instagram @ilitinyadventures
Acara Solo Menari. Gambar: Instagram @ilitinyadventures

Selain itu ia juga mempunyai pelbagai tarikan khas seperti mural kreatif di pintu-pintu kedai Jalan Gatot Subroto, Pasar Gede, aneka makanan lazat seperti nasi liwet, selat solo, serabi, es dawet, karangasem, sate buntel dan macam-macam lagi. 

Ia turut dikenali dengan sambutan Solo Menari yang merupakan acara tahunan sempena Hari Tari Sedunia sejak tahun 2012. Acara tahun pada 2018 juga telah berjaya meletakkan nama Solo dalam Muzium Rekod Dunia Indonesia (MURI).

 

Aceh

Masjid Baiturrahman. Gambar: Misqal Novio Reeza, Unsplash
Masjid Baiturrahman. Gambar: Misqal Novio Reeza, Unsplash

Aceh adalah sebuah provinsi Indonesia di penghujung Pulau Sumatera. Selain dikenali sebagai salah satu kota Indonesia dengan pegangan ajaran agama Islam paling kukuh, ia juga tersohor kerana menjadi salah satu bandar yang paling teruk terjejas gara-gara tragedi tsunami dunia pada tahun 2004.

Malah keajaiban masjid utamanya iaitu Masjid Baiturrahman yang sama sekali tidak termusnah sewaktu bencana alam itu menjadikan masjid tersebut dikenali dunia.

Muzium Tsunami. Gambar: Julianto Saputra, Unsplash
Muzium Tsunami. Gambar: Julianto Saputra, Unsplash

Kota ini turut menempatkan sebuah muzium tsunami yang mendokumentasi kejadian maha hebat itu untuk pengajaran para pelancong.

Aceh juga terkenal dengan pantai-pantainya yang indah serta ajnas makanan tempatan yang lazat. Ia juga sering dijadikan kota penanda bahagian terhujung kawasan barat Indonesia kerana lokasinya yang benar-benar berada di pangkal pulau Sumatera. - Getaran, 15 Ogos 2021

Semua gambar oleh Shah Shamshiri kecuali tertera

Isu Pada

Whulandary – Puspa Bangsa Di Bumi Malaysia

14 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 2 bulan yang lalu

Puting Beliung Landa Sumedang, Bandung Di Indonesia

2

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU 2024: Pemimpin Dunia Ucap Tahniah Kepada Prabowo

3

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU: Puluhan Cedera Dalam Pertempuran Di Papua

4

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU 2024: KPU Umum Pengundian Tambahan Di 668 Pusat Pengundian

Sorotan

1

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

2

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

3

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

4

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

5

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

6

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

7

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya