Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Whulandary – Puspa Bangsa Di Bumi Malaysia

Sepetang bersama Whulandary Herman, berbicara tentang wanita Indonesia yang mekar membunga di Malaysia.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Aug 2021 9:00AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bak Puteri Sita Dewi, penghidupan watak utama wanita dalam wayang kulit Purwo, Whulandary Herman bergaya lemah gemalai dalam busana Moschino merah membara untuk sesi pemotretan wajah TARA edisi ini. Merah dan putih. Segalanya tentang Indonesia.

Mungkin sudah sebati dalam pembuluh darahnya, pelakon, pengacara, peragawati dan mantan ratu cantik yang mendunia ini betah dalam bergaya. 

Dia wanita anggun yang selalu dengan senyuman. Perwatakannya elegan. Memberi rasa sejuk, di seluruh tarikan nafas pagi. Ketika pagi merayap dari sedikit matahari. 

Sebab jiwanya adalah peleburan segala kotoran. Segala dukacita. Bayangkan dia seperti air yang mengalir tenang. Bak pawitera yang sarat dengan puspa, Whulandary Herman wanita yang penuh dengan keanggunan. Melenggang menelusuri jejak yang lama dia tak sentuh dengan hati. 

“Sudah lama saya tidak beraksi, menata rias dan bersiap segala begini,” tawa si dia yang suka disapa sebagai Whulan ini.

Pada suatu mata, dia menulis cahaya. Penulis dapat merasakan Whulan sangat senang pada pagi hari itu. Sebab itu dia dapat datang bebas. Dia dapat bicara. Ya, penulis mahu dia bersuara.

“Whulan, apa khabar ya kehidupan kamu di Malaysia? Okey?” tanya penulis.

Whulan seraya menjawab, “Orang-orang selalu berfikir kalau Malaysia dengan Indonesia sama. Sebenarnya, kalau sudah tinggal di sini, kamu akan melihat kontras perbezaannya. Dari segi bahasa, budaya dan tatakrama. Semuanya berbeza. 

“Saya belajar perkara baharu ketika baru duduk di Malaysia. Misalnya, panggilan ‘aku’ di Malaysia itu bererti tidak santun, padahal di Indonesia membahasa diri sebagai ‘aku’ itu biasa. Ya dan sekian banyak lagi perbezaan-perbezaan kecil yang jika kamu tinggal di sini, baru kamu mengerti. 

“Namun banyak juga persamaannya. Kita sama-sama orang timur, ya? Sama-sama serumpun. Yang sopan-santun. Saling hormat-menghormati. Menjaga adab di hadapan orang yang lebih tua. Ya, dalam hal itu antara Malaysia dan Indonesia sama. 

“Buat masa ini, saya tak boleh pulang ke kampung halaman di Pariaman. Namun saya selalu merasa orang Malaysia menerima saya seadanya. Menerima saya, baik dari segi kerjaya dan keluarga,” ucap mantan Puteri Indonesia 2013 ini sebelum mengenang zaman kecilnya.

 

Menggapai impian di puncak Tugu Monas

Sedari kecil, Whulandary dibesarkan tanpa mengenal figura seorang ayah. Benar-benar seorang anak gadis kampung yang membesar dan tinggal di desa Pariaman, Sumatera Barat. 

“Saya masih ingat sewaktu kecil saya selalu menanam hasrat untuk berpindah dan tinggal di Jakarta. Mahu melihat Monumen Nasional (Monas). Harapan saya setinggi itu. Seperti menggapai emas tulen di puncaknya, begitulah hasrat dan impian saya dalam kehidupan. 

“Namun, akibat ketiadaan seorang ayah, saya tidak begitu yakin dengan diri sendiri. Arwah ayah meninggal dunia ketika saya masih kecil. Hari jadi saya adalah hari saya kehilangan ayah. Saya tidak pernah berjumpa dan tidak tahu rasanya seperti apa mempunyai kasih seorang bapa.

“Jika di sekolah dahulu, saya selalu berasa tidak percaya diri. Duduknya selalu di belakang-belakang. Senyap. Mungkin kerana itu saya tak punya keyakinan berbanding teman-teman yang punya keluarga lengkap mama dan papa.

“Saya masih ingat pesan mama dan nenek, dua wanita kuat yang membesarkan saya. Garis nasib itu memang dari Tuhan tapi kita yang menentukannya. Berjaya atau tidak dalam kehidupan terletak pada nekad kita. Maka mama bilang, jangan pernah malu jika tidak punya ayah.

“Setelah itu, saya semangat dalam melakukan apa sahaja. Saya mula ikut bertanding di ajang kecantikan di kampung-kampung. Selepas itu peringkat provinsi (daerah) dan kebangsaan. Seterusnya mewakili Indonesia sebagai Miss Universe Indonesia 2013.

“Kerana nasihat serta pesan mama dan nenek saya itu. Kerana itu. Saya mahu merubah kehidupan saya. Masih terngiang-ngiang usikan nakal teman-teman sewaktu kecil, ‘Kamu tidak punya bapa, kamu tidak akan berjaya’. Dan telah saya kuburkan dakwaan mereka yang salah. 

Saya hanya mahu berkata, saya beruntung kerana mama dan nenek mengajar saya kehidupan itu harus berjuang! Itulah yang saya mahu kongsikan kepada kalian semua,” cerita Whulan tak berhenti kalimah.

 

Melati Putih kembang di Ranah Orang 

Whulan akui sebagai anak rantau, dia merindui kampung halamannya. Dia merindui keluarga dan makanan di sana. Rindu akan kepelbagaian budaya Indonesia. Dia melihat perubahan sosial yang berlaku akibat wabak COVID-19 sangat ketara. Terutamanya terhadap anak-anaknya. 

“Saya fikirkan anak-anak saya, masa kecil mereka tidak seperti apa yang saya lalui dahulu. Di kampung, semua anak-anak bebas bermain di luar kawasan yang luas. Anak kampung lebih terdedah dan dekat dengan alam semula jadi.

“Saya faham, sekarang anak-anak kita membesar pada zaman pandemik. Melangkah keluar sahaja tidak boleh dan tidak selamat akibat ancaman virus yang meliar. Saya terkilan kerana anak-anak saya tidak boleh merasai dan mempelajari aktiviti-aktiviti luar,” luah Whulan.

Tambah Whulan yang turut berkahwin dengan orang Malaysia, “Menurut pemerhatian saya, lelaki Melayu itu gemar memasak. Saya sudah bertanya dengan semua teman-teman Indonesia yang bernikah dengan orang Malaysia, majoriti suami mereka memang suka memasak. Dan lelaki Melayu lebih bersifat romantis.

“Mujurlah suami saya seorang yang menyokong penuh segala minat saya. He is a very supportive husband. Makanya, saya masih boleh menghadiri majlis, melakukan sesi pemotretan dan melewati pentas peragaan. Masih boleh...” tawanya yang bangga bergelar sebagai anak Minang. 

Sejarahnya, orang Minang ini ialah satu bangsa perantau. Mereka suka merantau. Makanya, di mana-mana ada sahaja orang-orang Minang yang duduk mendiam di pelbagai daerah di Indonesia, mahupun Malaysia seperti Whulan.

“Saya melihat dalam konteks yang lebih besar. Bukan hanya orang Minang sahaja yang ada sifat merantau, orang Indonesia secara am dan keseluruhannya juga. 

“Ditambah pula dengan dunia yang semakin berkembang maju dengan teknologi yang moden dan canggih. Saya mahu menanam kembali ke dalam fikiran anak-anak, kita boleh hidup moden dengan segala macam teknologi, tetapi jangan sesekali lupa kita orang Indonesia.

“Jangan lupa kita punya sopan-santun, harga diri, integriti dan adat istiadat. Itu yang saya tekankan kerana saya juga seorang ibu. Kita tidak tahu apa akan terjadi 20 tahun mendatang, bukan? Sekarang kita bernafas pada era pandemik ini sudah cukup bersyukur. 

“Inilah yang mahu saya tekankan dan ajarkan kepada anak-anak saya. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana pun kita berada, kita harus menghargai, menghormati dan mengadaptasi kebudayaan serta kebiasaan orang-orang di sekitar.

“Seperti Whulan yang sedang berada di Malaysia, sedaya upaya memperlihatkan atribut dan mewakili keberadaan saya sebagai seorang wanita Indonesia,” jelasnya dengan sukma.

 

Syurga yang tumpah di Nusa Sentosa

Indonesia merupakan negara yang kaya-raya dengan budaya. Sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia, kebudayaan-kebudayaan yang ada di negara permata Zamrud Khatulistiwa ini beraneka dengan bahasa yang beragam namun tetap satu.

Bumi ini nusa sentosa yang paling Whulan cintai. Punya segalanya. Ada lautan, gunung, danau, budaya, bahasa dan makanan yang tak tertandingi. Masyarakat pula saling hidup dengan rukun. Saling menghargai. Whulan berharap agar semangat Indonesia ini sampai bila-bila tak luntur.

“Merdeka itu perjuangan. Syukur kepada seluruh pahlawan kita yang telah berkorban jiwa dan raga bagi membebaskan anak bangsa. Sekarang tugas kita meneruskan kemerdekaan ini dalam bidang yang kita tempuhi. 

“Saya gunakan industri ratu kecantikan ini melalui platform sosial media. Saya mengajak teman-teman, peminat-peminat dan generasi muda dari seluruh Indonesia dan Malaysia untuk bagaimana lebih mencintai Indonesia dan tanah air dengan lebih nyata.

“Kerana sekarang kita hanya bilang dan berteriak ‘Aku cinta Indonesia’, tetapi tiada aksinya. Hanya bersifat kata-kata tetapi tiada tindakannya. Jadi, bagaimana mahu membuatkan orang Indonesia terus menyumbang kepada kemerdekaan?

“Misalnya, memberikan anak-anak pelajaran yang selayaknya. Itu juga kemerdekaan. Seorang ibu, dia juga menjalankan tugas-tugas kemerdekaan sebagai suri rumah yang melahirkan dan membentuk anak bangsa untuk negara tercinta.

“Itu pandangan saya tentang merdeka. Kita bebas lakukan apa sahaja, tetapi harus sesuai dengan sumbangan bidang kita masing-masing. Yang penting harus berdampak positif kepada orang-orang banyak,” ucap Whulan berkobar-kobar.

Tambah Whulan, “Saat ini bumi kita sedang berduka. Semua lapisan masyarakat sedang merasakan kesan dahsyat COVID-19. Kita yang masih diberikan rezeki kesihatan ini haruslah selalu bersyukur. Jangan pernah mensia-siakan kesempatan hidup yang diberikan Tuhan.

“Jalani kehidupan norma baharu ini dengan disiplin kerana dengan menjaga diri kita, kita juga turut menjaga sesama manusia. Bagi mereka yang masih diberikan rezeki secara kewangan, jangan lupa berbahagi-bahagi rezeki. 

“Walaupun, sedikit jumlahnya tetapi pada hakikatnya, berbahagi rezeki kala susah itulah sedekah yang sebenar-benarnya,” pungkasnya dengan senyuman menawan mengakhiri bicara. - Getaran, 14 Ogos 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Whulandary Herman

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri  

Teks : Zaidi Che

Suntingan Teks: Ili Farhana

Penata Gaya : Ardi Idewani

Arahan Seni : Zaidi Che

Busana : Sut Merah dari MSGM, Gaun Merah dari Moschino, Kasut Manolo Blahnik.

Terima Kasih Bluebell Group

Solekan & Dandanan : Fendi Sani

Jurugambar : Azim Rahman

Suntingan Gambar : Sadiq Asyraf

Juruvideo : Syeda Imran

Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar

Isu Pada

Whulandary – Puspa Bangsa Di Bumi Malaysia

14 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok