Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Inilah Nasibku: Kisah Pembikinan Album Debut Ikonik NICO G (Bahagian 1)

Album pertama kumpulan NICO G telah mencetuskan fenomena dengan jualan melebihi ratusan ribu unit. Lagu hit 'Inilah Nasibku' pula terus diminati dua generasi peminat muzik tempatan. Apa kisah mereka sebenarnya?

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Jul 2021 12:29PM

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PROLOG

“Tiga hari selepas proses rakaman album pertama di Los Angeles itu bermula, aku dah give up. Aku capai pasport aku, campak baju ke dalam beg dan aku jalan berseorangan di lebuh raya dengan ribuan kenderaan deras dari depan dan belakang, menuju ke arah lapangan terbang.”

Itulah pengakuan Nico apabila mengimbau kembali momen penting dalam kerjaya kumpulan NICO G (Asalnya dikenali sebagai Nico. NICO adalah ringkasan Network International Chicanos Organisation).

Malah, buat industri hiburan tanahair, genre hip hop tempatan tidak mungkin kan sama jika Nico terus berpatah semangat dan tidak melangkah pulang ke studio pada tahun 1992 itu.

Seperti yang telah tercatat kini, album debut kumpulan NICO G  itu berjaya mencetuskan fenomena dengan jualan melebihi ratusan ribu unit. Lagu hit 'Inilah Nasibku' pula terus diminati dua generasi peminat muzik tempatan, dengan rentak muziknya yang catchy serta lirik yang sarat dengan penceritaan kisah kehidupan remaja yang sebenar.

Nama tiga anak muda di sebalik Kumpulan NICO G  ini – Nico, Dino dan Affa – terus melonjak naik, membawa sekali perubahan hidup yang drastik dan jauh lebih daripada apa yang mereka impikan. “Hanyut, itulah perkataan yang paling sesuai untuk menceritakan apa akhirnya terjadi kepada kami bertiga,” Dino mengaku, jujur.

 

CERITA BERMULA

Di pertengahan dekad 80-an, genre rock kapak semakin garang menakluki carta hiburan tempatan. Bermula dengan kebangkitan Search dan kumpulan-kumpulan di bawah panji 'Battle of the Bands', selera pendengar semakin berubah ke arah muzik yang lebih bising dan agresif.

Pengaruh rock menular dengan agak pantas ke seluruh negara. Johor Bahru, Ipoh dan Kuala Lumpur dianggap sebagai tiga port utama yang menghasilkan kumpulan-kumpulan baharu.

Walaupun tidak sering disebut, Kampung Baru di Kuala Lumpur merupakan tempat kelahiran ramai juga artis-artis tempatan. Dan kebangkitan rock di pertengahan dekad 80an itu telah menarik perhatian anak-anak muda di situ.

“Black dari kumpulan Wings memang anak Kampung Baru, jadi agak gempak bila kita orang dapat tengok dia jamming atau lepak sama,” kata Mohd Shah (Dino.)  “Sebelum itu pun, kami memang dah berbangga dengan anak-anak seni Kampung Baru lain seperti (Allahyarham) M.Shariff dan (Allahyarham Tan Sri) S.M. Salim.”

Tapi kecenderungan seni Dino (lahir 31 Januari 1975) lebih kepada menari. Minat ini turut dikongsi dengan seorang lagi kawan di Kampung Baru, Abdul Fasha atau Nico.

“Masa tu, memang kami nakal,” kata Dino, yang tinggal dengan ibunya yang telah diceraikan bapanya dan dua orang adik beradik ketika itu. “Keliling kampung naik motor tak pakai helmet itu biasa. Bergaduh dengan budak-budak dari kampung lain pun dah biasa. Memang macam-macam masalah sosial yang ada ketika itu.”

Nico (lahir 16 Ogos 1972) pula berulang-alik di antara rumah ayahnya di Damansara dan ibunya di Keramat (mereka juga telah berpisah).

“Dino bersekolah di Padang Tembak, aku pulak di La Salle PJ sebelum berpindah ke Sekolah Vokasional Setapak,” kata Nico. “Tapi kami memang selalu lepak sama. Aku minat nak jadi penari, Dino pun ikut sama.”

Minat menjadi penari itu bukan sekadar angan-angan. Melalui beberapa orang kenalan, Nico dan Dino mula diberi peluang membuat persembahan bersama kumpulan tarian tradisional dan juga moden di sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun di pertandingan rapping, yang penting masa tu adalah tarian” - Nico.

“Masih ingat lagi, kali pertama aku dan Dino muncul di saluran RTM ketika menjadi penari backup untuk Azlina Aziz,” kata Nico. “Memang rasa cool lah. Kami juga pernah menari dengan kumpulan (Allahyarham) Bat Latiff.”

Masuk dekad 90-an, rock kapak terus popular, tapi muncul pula genre yang tak dikenali ramai, hip hop. Bermula sebagai muzik dari barat yang dimainkan di kelab-kelab malam, ia kemudian dipelopori artis-artis yang bergerak secara 'bawah tanah' yang giat mengedarkan mix-tape mereka.

“Aku sendiri mula kenal hip hop bila ada kawan dan famili yang pulang dari luar negara bawak kaset artis-artis hip hop macam NWA,” kata Dino. “Memang pengaruh elemen gangster rap itu sangat kuat.”

Ketika itu juga, terdapat banyak pertandingan menari dan juga rapping. “Walaupun di pertandingan rapping, yang penting masa tu adalah tarian,” kata Nico. “Kalau tak pandai menari, jangan mimpi nak buat persembahan hip hop. Kumpulan kami memang dari segi dance steps, sangat tip top. Itu yang membuat kami confident.”

Dengan memperkenalkan pelbagai gimik, termasuk semburan api dari mulut, kumpulan yang diketuai Nico itu berjaya mencipta street cred mereka yang tersendiri. “Memang banyak dance crew, lebih-lebih lagi di kawasan Bukit Bintang,” kata Nico. “Tapi kebanyakannya berbangsa Cina. Style pun lain.’

Pada penghujung tahun 1991, pertandingan Rappin’ Bad telah dianjurkan pihak Pasar Seni yang berjaya menarik penyertaan ramai pelopor scene ketika itu termasuk Yogi B yang kemudiannya mengetuai kumpulan hip hop tempatan Bahasa Inggeris, Poetic Ammo.

“Memang sengit, tapi kami berjaya menang salah satu hadiah utama di Rappin’ Bad,” kata Nico. “Lebih best, wakil-wakil syarikat rakaman semua datang untuk tengok sendiri geng-geng rap ni. Kami menggelarkan krew kami dengan nama yang sangat nakal, D’F.U.*.K.”

Ini termasuklah bos besar syarikat rakaman antarabangsa BMG Music, (kini Datuk) Aziz Bakar, yang begitu kagum dengan persembahan Nico, Dino dan tiga orang rakan lain, yang bertenaga dan penuh dengan gimik berani.  “Dia memang terperanjat,” kata Nico. “Terus dia bagi aku business card dia.”

Bukan setakat business card, tanpa berlengah, Aziz Bakar terus menawarkan Nico dan gengnya kontrak rakaman.

Industri muzik ketika itu memang mewah dan meletup dengan artis-artis yang menduduki hierarki tertinggi menjual ratusan ribu unit setiap kali album dirilis. Dan BMG merupakan antara yang paling berjaya dengan barisan artis tersohor seperti Search, Wings dan Ziana Zain.

“Memang kami langsung tak sangka,” kata Nico. “Dan sebenarnya, ada juga label-label lain yang berminat nak ambil D’F.U.*.K sebagai artis, tapi kami memilih BMG.”

Tapi sebelum kontrak mereka dipersetujui, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. “Of course, Encik Aziz tak suka nama D’F.U.*.K,” cerita Nico.

“Akhbar New Straits Times pun ada kecam kita orang sebab membawa ‘bad culture’. Tapi yang lebih perit, dia tak suka kepada tiga anggota kami yang lain dan suruh aku gugurkan dorang.”

Bukan setakat perit, tapi arahan itu menimbulkan pergaduhan antara mereka berlima. “Bermula dengan slow talk, tapi akhirnya jadi konfrontasi fizikal,” kata Dino. “Susah nak settle, tapi akhirnya dorang terima. Fuh, memang “panas” hari tu!”

Tinggal hanya berdua, Nico diberikan tugas untuk mencari seorang lagi ahli baharu. Walaupun tak begitu rapat, dia percaya Affa aka Muzaffar Shah (lahir 31 ogos 1976) mampu melengkapkan kumpulan mereka.

“Kita orang pernah pergi mengaji sama dan lepak port yang sama, tapi taklah rapat sangat,” kata Dino. “Affa ni memang budak baik, bukan macam kita orang!”

Tapi untuk menyakinkan Affa bukan tugas mudah. “Sebenarnya masa tu, aku dah ada kumpulan sendiri, Bookmark, yang dianggotai kawan-kawan sekolah di St. John,” kata Affa. 

“Kita orang biasa buat show di sekolah aje, tapi antara anggota Bookmark masa tu adalah Boy, adik kepada pelakon Didie Alias. Didie tolong beri kami exposure melalui contact dia sendiri.”

Kumpulan Bookmark, yang memperjuangkan irama R&B, juga pernah ditemu ramah untuk sebuah artikel di Berita Harian. Ketika itu, memang tidak ada sebab untuk Affa menyertai Nico dan Dino.

“Lagipun masa tu memang tahun SPM,” sambung Affa. “Kalau nak lebih serius tentang muzik ni semua, kena mintak izin mak bapak dulu.”

“Zaman tu, kalau silap hari bulan kita sign kontrak, tinggal ‘spender’ jelah jawabnya!” - Nico.

Belum sempat untuk selesaikan isu anggota kumpulan, Nico diberitahu Aziz Bakar yang dia akan dihantar dulu ke LA untuk proses rakaman, dengan semua perbelanjaan ditanggung pihak BMG.

“Aku pun terfikir, dari Kampung Baru ke Lebuh Ampang, cunlah kalau tambang dibayar,” kata Nico. “Ataupun aku jalan je, duit tambang tu masuk poket.”

Memang langsung tidak disangka yang dimaksudkan oleh Aziz Bakar adalah “Los Angeles”, bukan “Lebuh Ampang”! Ketika itu, syarikat-syarikat rakaman besar, khasnya yang bertaraf antarabangsa, bersaing kuat untuk menghasilkan album-album berkualiti dan yang sarat dengan gimik.

NICO G  boleh dikatakan muncul ‘at the right time, at the right place’. Dari kumpulan street dancer, kini dihulurkan peluang yang langsung tak pernah terlintas di fikiran mereka.

“Memang pernah beritahu bapak yang aku nak jadi penari. Jawabnya? ‘Apa? Nak jadi penari? Aku nak tengok sejauh mana kau boleh pergi jadi penari ni,’” Nico bercerita.

“Bila dah dapat peluang macam ni pulak, bapak aku mula-mula tu memang melarang keras. Dia cakap nanti aku kena jual kat sana! Langsung dia tak percaya aku pergi untuk rakam album.”

Tapi Nico, yang ketika itu bekerja sebagai seorang kerani di Maybank, tak berputus asa dan terus memujuk bapanya. 

Seorang sepupu Nico yang bekerja di Malaysia Airlines kemudian diberi tugas untuk menyemak kontrak yang ditawarkan, termasuklah elaun yang ditawarkan dan tempat tinggal ketika berada di LA. “Zaman tu, kalau silap hari bulan kita sign kontrak, tinggal ‘spender’ jelah jawabnya!” kata Nico.

Sebelum ke LA juga, Nico dan Dino mula mengarang lirik untuk lagu-lagu yang bakal dirakamkan. Dari segi pengaruh muzik, mereka tidak menafikan pengaruh kumpulan-kumpulan yang agak “ganas” seperti NWA, Naughty By Nature dan Run DMC.

“Bukan senang nak dapat kaset kumpulan-kumpulan dari luar masa tu,” kata Dino. “Tapi selalunya dapat bila ada kawan balik dari Amerika atau Australia. Ada seorang kawan ni, dia balik dengan rambut macam MC Hammer, siap dengan seluar dan kaca mata sekali. Rasanya sepupu Affa. Memang lain macam!”

Nico dan Dino juga mula menulis lirik untuk rakaman di LA dan inspirasi utama untuk mereka adalah pengalaman hidup mereka sendiri. Kedua-dua Nico dan Dino telah melalui penceraian ibubapa mereka.

Dino ketika itu tinggal bersama ibunya dan telah terpisah dari bapanya sejak kecil. Nico pula bergilir hari tinggal bersama ibu dan bapanya yang telah bercerai. Dari pengalaman mereka ini tercipta lagu “Penceraian” yang dimuatkan di dalam album debut ini.

Lirik-lirik lain pula tercetus dari pengalaman mereka sendiri tinggal di persekitaran Jalan Chow Kit dan Kampung Baru. “Macam-macam jahat kita orang nampak,” kata Dino. 

Akhirnya, bila tiba masa untuk ke Los Angeles, Nico tinggalkan KL dengan hati yang berbelah bahagi. Perniagaan bapanya ketika itu jatuh merudum dan hanya dapat menghulur RM50 sahaja kepada Nico.

“Memanglah sedih,” kata Nico. “Sebelum ini, ada ahli keluarga yang ke US untuk sambung belajar, dapatlah RM3-4 ribu. Tapi bila aku pergi untuk buat album, dapatlah banyak tu je.” - Getaran, 11 Julai 2021

Gambar: Ihsan NICO G

Isu Pada

Inkarnasi Joe Flizzow

10 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini