Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Takdir Yang Tertulis Untuk Alvin Chong

Apa istimewanya pemilik nama Alvin Chong Chen Wah ini sehingga berjaya mengumpan jutaan pengikut? Istimewa sempena Tahun Baru Cina, kami tampilkan salah seorang bintang Malaysia yang berbangsa Cina tetapi berjaya bersinar dalam industri hiburan Melayu.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Feb 2021 8:50AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejujurnya, tatlaka diberi tugas untuk menemu bual jejaka dari Pulau Pinang ini, hati agak gusar sementelah tiada sesi fotografi akan diadakan (COVID-19 tolong pergi jauh). Hanya menyapa secara maya, tiada pertemuan empat mata untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Alvin Chong, nama yang semakin mendapat perhatian pemain industri. Pelakon, penyanyi dan pengacara, wah, hebat juga profil kesayangan ramai ini!

Pesona jejaka berusia 30 tahun ini tidak mungkin mampu disangkal. Alvin bijak menyusun langkah, yakin dengan setiap percaturan untuk mencipta nama dalam industri yang sering dibadai ombak ini. Melatah jauh sekali, kerana dia tahu saat dan ketikanya untuk memasang perisai.

Apa istimewanya pemilik nama Alvin Chong Chen Wah ini sehingga berjaya mengumpan jutaan pengikut? Tak kenal, maka tak cinta. Mengimbas perjalanan seni Alvin, dia mengorak langkah sebagai insan seni sebaik menyertai program realiti nyanyian terbitan Astro, 'Astro Star Quest' pada tahun 2009. Kemudiannya dia berjaya membintangi beberapa filem berbahasa Cina iaitu 3 Brothers, The Dream Boyz dan Huat The Fish

Bintangnya makin menyinar apabila berjaya menempatkan diri dalam pasaran drama Melayu. Wajah comel Alvin menjadi kegilaan si gadis remaja mahupun wanita-wanita yang bergelar pencinta drama Melayu. Drama ‘Dia Semanis Honey’ dan ‘Suri Hati Mr Pilot’ ternyata membuka lembaran baru buat personaliti di bawah naungan Universal Music Malaysia ini. Selepas itu, satu demi satu tawaran drama Melayu yang diterima oleh Alvin. Biarpun terkejut dengan gemerlapan yang diraih, Alvin akui dia gembira kerana ini percaturan yang dipilih. Dia mahu menempatkan diri dalam pasaran Melayu.

"Biarlah orang mengenali saya dengan bakat, bukan cerita-cerita yang tidak baik," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia
"Biarlah orang mengenali saya dengan bakat, bukan cerita-cerita yang tidak baik," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia

“Pada permulaan karier, saya tidak terikat dengan sesiapa. Saya uruskan semuanya dengan sendiri dan dari awal lagi saya sudah rancang untuk masuk pasaran Melayu. Sebabnya saya sedar, bukan mudah untuk cipta nama dalam dunia hiburan Cina jika tidak jejak pasaran di China, Taiwan mahupun Hong Kong. Untuk ke negara-negara itu pula, ia memerlukan modal yang bukan sedikit. Selain itu, saya juga perlu mengenali nama-nama besar dalam industri di sana. Apabila difikir-fikirkan, lebih baik saya tumpukan perhatian di sini. Di sini saya ada segalanya. Ada keluarga, teman-teman dan juga tempat tinggal sendiri. Jadi lebih mudah untuk saya mengatur langkah,” ujar Alvin berkongsi cerita.

Namun begitu, Alvin akui ada harga yang perlu dibayar. Untuk mendapat tempat di hati peminat-peminat Melayu, dia punya formula tersendiri. Bukan semata-mata bersandarkan paras rupa. Jauh lagi mencipta kontroversi. Malah, dia juga berusaha keras memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu.

“Laluan yang saya lalui bukanlah semudah yang orang sangkakan. Cabaran utama adalah untuk menguasai pertuturan dalam bahasa Melayu. Saya tidak begitu fasih kerana saya bersekolah di sekolah Cina. Keluarga saya juga tidak bertutur bahasa Melayu. Apabila masuk ke kolej, saya bercakap dalam Bahasa Inggeris. Jadi memang ambil masa untuk belajar dan faham setiap perkataan. Sampai sekarang saya masih belajar. Walaupun ada masanya saya diejek, perlahan-lahan saya mulai faham.”

“Selain itu, saya juga perlu ambil tahu serta hormat dengan budaya, dan agama orang Melayu. Contoh, kalau kena berlakon dengan orang Muslim, ada batasan yang perlu dijaga. Saya percaya jika kita pandai membawa diri, sentiasa merendah diri, dan jadi diri sendiri, sesiapa sahaja boleh menerima kita dengan baik. Seperkara lagi, saya cuba jauhkan diri daripada sebarang kontroversi. Saya sangat berhati-hati, terutamanya ketika menggunakan medium media sosial. Saya pernah terpalit dengan isu yang tidak enak sebelum ini, jadi saya tidak mahu ia berulang kembali. Biarlah orang mengenali saya dengan bakat, bukan cerita-cerita yang tidak baik,” ulas Alvin tegas. 

"Laluan yang saya lalui bukanlah semudah yang orang sangkakan," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia
"Laluan yang saya lalui bukanlah semudah yang orang sangkakan," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia

Pandemik jejas pendapatan

Bercerita tentang perkembangan terkini, Alvin memberitahu yang dia baru baharu sahaja selesai menjalani penggambaraan drama  terbaru untuk tayangan RTM, berjudul ‘Aku Pilih Bahagia’ di samping Fizz Fairuz dan Emma Maembong. Drama 30 episod terbitan produksi Global Station ini merupakan adaptasi novel. Selain itu, peminat juga boleh menyaksikan lakonan Alvin dalam drama ‘Takdir Yang Tertulis’ yang kini sedang rancak ditayangkan di slot Samarinda, TV3. Drama yang sedang hangat diperkatakan ini turut dibintangi oleh Nad Zainal, Nazim Othman, Elvina Mohamad dan Didie Alias.

Biarpun dilihat lebih condong ke arah lakonan, namun bekas pengacara program ‘I Can See Your Voice Malaysia’ ini tidak pernah mengabaikan karier nyanyiannya. Single ‘Sayangku Salmah’ yang dilancarkan pada tahun lalu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dan ini membuatkan dia yakin kerjaya nyanyian berada di landasan yang betul.

“Generasi muda pasti tahu dengan lagu ini. Ia adalah single yang paling bagus saya pernah keluarkan. Percaturan saya menampilkan lagu berentak reggaeton nampaknya berhasil. Ramai yang suka dengan lagu ini walaupun liriknya agak sedih. Malah, ‘Sayangku Salmah’  tular di Tiktok kerana ramai yang sertai cabaran menari. Ada juga yang guna untuk kelas zumba dan aerobik. Saya harap lagu ini dapat ceriakan kehidupan orang lain, lebih-lebih lagi ketika waktu-waktu sukar ini,” ujar Alvin.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Alvin muncul pula dengan single terbaru berjudul ‘We Care’ yang merupakan kolaborasi istimewa di antara Universal Muzik Malaysia dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) untuk membangkitkan semangat dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19.

“ Single ‘We Care’ ini dinyanyikan dalam tiga bahasa dan ia adalah duet di antara saya, kumpulan pop yang sedang meningkat naik Dolla, bintang pop Thai-German Jannine Weigel dan penyanyi lagu Mandopop Malaysia Nicole Lai. Lagu ini mahu menaikan semangat seluruh masyarakat dunia yang terjejas akibat COVID-19. Kalau nak dengar, boleh cari di platform online seperti Spotify dan Apple Music,” ujar Alvin. 

Terlanjur bercerita tentang pandemik yang semakin menjengkelkan ini, Alvin tanpa berselindung mengakui dia mula terkesan dengan situasi ini. Namun, akur hidup perlu diteruskan biarpun langkahnya tidak sebebas dahulu. 

“Sama seperti industri-industri lain, industri seni tidak terkecuali terkena tempias. Jadi kena kuatkan semangat. Jangan terlalu mengikut perasaan dan cuba berfikiran positif. Tidak dinafikan sebaik sahaja PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan tahun lalu, pendapatan saya mula terjejas. Maklumlah tak boleh shooting, tak boleh buat sebarang persembahan. Jadi, saya cari jalan lain untuk bertahan. Untuk tambah sumber pendapatan, saya banyak buat ulasan produk dan live content. Hidup perlu diteruskan,” ujar Alvin yang mempunyai pengikut Instagram seramai 1.2 juta orang. 

"Moga tahun baru ini menjanjikan sinar kebahagiaan buat semua," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia
"Moga tahun baru ini menjanjikan sinar kebahagiaan buat semua," Alvin Chong. Gambar: Universal Music Malaysia

Bagaimana dengan persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina?

“Sambutan Tahun Baru Cina kali ini agak berbeza dengan sambutan-sambutan terdahulu. Saya sudah pun hubungi parents baru-baru ini dan jelaskan mungkin saya tidak akan pulang beraya. Saya tidak mahu ambil risiko memandangkan kes COVID-19 masih tinggi, sama ada di Lembah Klang mahupun di Pulau Pinang. My mom memang sedikit sedih, dan minta saya buat panggilan video ketika makan besar nanti. Untuk gembirakan mereka, saya juga akan kirim barang-barang dan angpau untuk mereka,” kongsi Alvin.

Mengimbas detik-detik manis setiap kali menyambut perayaan ini, Alvin berbunyi riang apabila bercerita tentang keseronokan yang dinikmati ketika mendiang neneknya masih ada. Jelas Alvin ketika itu sambutannya cukup meriah, semua ahli keluarga cukup akrab antara satu sama lain.

“Saya rindukan saat-saat ketika nenek masih ada. Ketika itu sambutan perayaan kami cukup meriah dan seronok. Semua ahli keluarga berkumpul untuk meraikannya. Hubungan kami juga rapat. Saya dan sepupu-sepupu main bersama-sama, sampai masing-masing tak mahu balik ke rumah sendiri. Kini segalanya tidak sama. Mungkin kerana masing-masing telah membesar dan punya kehidupan sendiri. Kalau jumpa pun, hanya tanya khabar, tidak banyak perkara yang hendak dibualkan,” cerita Alvin.

“Moga tahun baru ini menjanjikan sinar kebahagiaan buat semua. Mudah-mudahan COVID-19 cepat hilang, ekonomi kembali pulih dan stabil seperti sedia kala. Sebagai rakyat Malaysia, saya mendoakan agar kita semua sihat sejahtera serta dijauhkan daripada bencana alam dan semua perkara yang tidak ingini. Sama-sama kita bangkit. Kita jaga kita,” tambah Alvin lagi.

Sedia membujang selamanya

Berbicara tentang hati, pasti ramai peminat yang ingin tahu lebih lanjut tentang kisah cinta jejaka. Sesudah ‘kisah cintanya’ bersama Emma Maembong hanya tinggal kenangan, siapa pula gerangan yang sedang bertakhka di hati Alvin ketika ini. Tidakkah Alvin punya perancangan untuk mencari suri hati?

“Saya percaya jodoh itu sudah ditentukan oleh Tuhan. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa. Sejujurnya saya rela membujang daripada mengenali orang yang tidak betul. Saya punya perancangan tersendiri seandainya jodoh itu tiada. Buat masa ini saya belum punya perancangan untuk berkahwin. Tidak mengapalah. Sekarang ini pun saya lihat ramai yang punya masalah rumah tangga. Malah, ia berlaku di kalangan rakan-rakan saya sendiri. Luaran mereka nampak bahagia, tetapi hakikatnya mereka tidak gembira. Jadi saya akan ambil masa untuk fikirkan tentang perkahwinan. Saya ada keluarga, rakan-rakan dan haiwan kesayangan, itu sudah memadai,” komen Alvin mengakhiri bicara. – Getaran, 13 Februari 2020.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Alvin Chong

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Rahayu MN

Penyunting : Ili Farhana

Rekaletak: Hanif Zahari

Penata Gaya : Colin

Busana : Ferragamo

Solekan: Sharman Plika

Dandanan: Keith

Jurugambar : Edmund

Terima kasih Universal Music Malaysia

Isu Pada

Alvin Chong

13 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu