Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Resipi Berzaman Lahirkan Perpaduan

Sempena Hari Malaysia, TARA membawa anda meninjau Chong Kok Kopitiam dan Restoran Sup Sururi yang menjadi lambang perpaduan masyarakat, berteraskan makanan di Malaysia

TARA Dikemaskini 6 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 16 Sep 2023 12:18PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Malaysia sememangnya syurga makanan. Negara ini dikenali ramai sebagai ‘lubuk juadah’, dan sesuai gelarannya, pelbagai jenis makanan menanti anda, sama ada hidangan moden, tradisional atau barat.

Makanan juga adalah simbolik perpaduan rakyat, tanpa mengira usia, kaum atau bangsa.

Sempena Hari Malaysia hari ini, TARA menampilkan dua restoran yang menjadi lambang masyarakat majmuk di Malaysia. Penuh nostalgia dan memori, kedua-dua premis makanan masih mampu bertahan sehingga puluhan tahun.

Kopitiam ini sudah beroperasi hampir 83 tahun dan terletak berdekatan stesen kereta api Klang
Kopitiam ini sudah beroperasi hampir 83 tahun dan terletak berdekatan stesen kereta api Klang

Chong Kok Kopitiam 1940

Sesuai namanya, kopitiam yang masih menerapkan konsep tradisional ini menyediakan aneka hidangan sarapan pagi. 

Mula beroperasi sejak 1940, ia terletak berhampiran Stesen Kereta Api Klang dan boleh dikatakan, hampir seluruh penduduk di sekitar Klang tahu kewujudan kedai ini. 

Menjengah ke dalam kedai, dapat dilihat suasana klasik yang melatari hiasan dalaman premis. Getaran dalam kunjungan ini juga bertuah kerana berpeluang mewawancara pengurus kedai yang juga generasi kelima keluarga berkenaan.

Berusia 22 tahun, Lim E Siang adalah cicit kepada pengasas Chong Kok Kopitiam. 

Lim E Siang, cicit kepada pengasas Chongkok Kok Kopitiam bersama produk keluaran kedainya
Lim E Siang, cicit kepada pengasas Chongkok Kok Kopitiam bersama produk keluaran kedainya

E Siang memberitahu, moyangnya iaitu Foo Wah Ling pada awalnya menjadikan bangunan ini sebagai sebuah kedai kopi dan hotel, untuk orang ramai yang memerlukan makanan dan tempat penginapan.

“Kedai ini sejak diasaskan menggunakan konsep hotel dan restoran. Ada tetamu yang turut mengadakan resepsi perkahwinan mereka di sini dan selepas itu bermalam di tingkat atas,” katanya sambil menunjukkan tangga yang menghala ke beberapa bilik tingkat atas. 

Bagaimanapun katanya, Chong Kok tidak lagi menawarkan penginapan bermula tahun 2000, atas faktor tertentu.

Pengasas Chong Kok Kopitiam, Foo Wah Ling (kiri gambar) dan datuk E Siang, Foo Hee Hoe (tengah) bersama rakan mereka
Pengasas Chong Kok Kopitiam, Foo Wah Ling (kiri gambar) dan datuk E Siang, Foo Hee Hoe (tengah) bersama rakan mereka

Kata E Siang, Chong Kok mengambil inspirasi daripada kedai makan yang pernah diusahakan moyangnya bersama rakan-rakan satu ketika dahulu di China.

“Penjajahan Jepun membawa moyang saya ke Tanah Melayu dan memilih Klang kerana merasakan lokasi itu bakal membawa tuah kepada dia sekeluarga.

“Kedai ini telah wujud sejak zaman Jepun. Boleh saya katakan tempat ini membawa ong untuk kami sekeluarga dan moyang saya sememangnya mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti lokasi yang boleh membawa ‘tuah’,” katanya.

Sama seperti kopitiam lain, Chong Kok menampilkan variasi hidangan tempatan dan ia antara faktor penarik untuk pelanggan.

 Chong Kok terkenal dengan kopi dan roti bakar sekaya bersama mentega
Chong Kok terkenal dengan kopi dan roti bakar sekaya bersama mentega

Pada awalnya, Chong Kok hanya menyediakan hidangan ringkas iaitu kopi dan roti bakar yang disapu sekaya serta mentega. Peralihan zaman membuatkan menu premis berkenaan turut melalui beberapa evolusi dan dipelbagaikan untuk memikat selera pelanggan.

“Selepas bertahun-tahun kedai ini dibuka, kami sekeluarga sedikit sebanyak ada membuat perubahan atau evolusi terhadap menu di sini. Macam sekarang kita sudah menyediakan makanan bergoreng, tetapi kami masih mengekalkan menu asal iaitu roti bakar dan kopi,” jelasnya.

Kunci utama perniagaan mereka adalah penjagaan kualiti terutamanya biji kopi dan sekaya digunakan
Kunci utama perniagaan mereka adalah penjagaan kualiti terutamanya biji kopi dan sekaya digunakan

Bagi menjamin kualiti, E Siang dan keluarganya memastikan rasa bagi ‘signature dish’ mereka iaitu kopi dan roti kekal tidak tidak berubah.

Justeru, tumpuan diberikan kepada penyediaan biji kopi dan penghasilan sekaya agar rasanya tetap sama meskipun puluhan tahun sudah berlalu.

Proses membuat roti bakar sekaya mentega
Proses membuat roti bakar sekaya mentega

Buat makluman, biji kopi di restoran ini digoreng oleh mereka sendiri, manakala sekaya dimasak setiap hari bagi memastikan kualitinya berada di tahap terbaik.

“Macam biji kopi, kami yang menggorengnya sendiri sebab itu rasanya kain daripada kopitiam yang lain. Ini termasuklah sekaya kami yang  dimasak dengan resepi dan cara tersendiri. Begitu juga dengan produk yang kami hasilkan untuk pelanggan bawa pulang seperti serbuk kopi, kopi uncang atau teh dan sekaya. 

“Kami mahu keaslian rasa hidangan ini tidak berubah walaupun disediakan pelanggan di rumah mereka, jadi ada signature Chong Kok di situ,” katanya.

Antara menu yang ada di Chong Kok 
Antara menu yang ada di Chong Kok 

Sebelum ini, roti bakar di Chong Kok hanya menggunakan roti putih, namun sesuai peredaran zaman, pelanggan boleh memilih sama ada mahu menggunakan roti mil penuh (wholemeal) atau ban. 

Jelas E Siang, Chong Kok turut menawarkan menu roti goyang atau roti bakar bersama telur separuh masak.

“Idea ini sebenarnya datang daripada emak saya. Dia sudah bosan dengan roti bakar biasa yang dinikmati setiap hari, jadi satu hari, dia hasilkan menu telur separuh masak yang diletakkan di atas roti bakar, dan dimakan bersama kicap serta serbuk lada putih,” jelasnya.

Pelbagai menu menarik lain yang ada disediakan di hadapan kaunter pembayaran
Pelbagai menu menarik lain yang ada disediakan di hadapan kaunter pembayaran

Semasa meninjau menu lain di hadapan kaunter pembayaran, penulis tertarik dengan nasi lemak yang dihantar oleh peniaga Melayu kerana mendapati, terdapat dua jenis bungkusan iaitu nasi lemak dalam bungkusan daun pisang dan nasi lemak Pulau Ketam. 

Kata E Siang, nasi lemak Pulau Ketam amat terkenal di Klang kerana sambalnya dimasak menggunakan kaedah tradisional Melayu.

 Nasi lemak Pulau Ketam yang terkenal dengan sambal kering tradisional Melayu
Nasi lemak Pulau Ketam yang terkenal dengan sambal kering tradisional Melayu

“Nasi lemak Pulau Ketam memang famous dekat Klang kerana sambal yang ada bersama nasi itu sedikit berbeza. Sambal tersebut dipanggil sambal kering yang dimasak dengan cara orang Melayu dulu-dulu. Kuih muih Melayu yang dijual di sini juga masih menggunakan kaedah penyediaan secara tradisional,” katanya.

Chong Kok ialah simbolik kepada perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia
Chong Kok ialah simbolik kepada perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia

Kepada pelanggan yang baru pertama kali mahu mengunjungi kopitiam ini, anda disarankan tiga menu signature Chong Kok iaitu nasi lemak, roti bakar bersama mentega dan sekaya serta telur separuh masak.

Jangan lupa pesan juga secawan kopi panas untuk melengkapkan hari!

 Restoran Sururi yang terkenal dengan sup daging istimewa masih kekal bertahan sejak 1986
Restoran Sururi yang terkenal dengan sup daging istimewa masih kekal bertahan sejak 1986

Restoran Sup Sururi 1986

Lokasi seterusnya adalah sebuah premis yang menyediakan hidangan berasaskan sup daging iaitu Restoran Sururi. Terlerak di Wisma Masjid Alam Shah, Jalan Tun Razak, restoran ini sudah beroperasi sejak 1986.

Seawal jam 9 pagi, pelanggan sudah mula beratur untuk memesan semangkuk sup panas.

Aroma rempah ratus menjadikan sup ini begitu berperisa, manakala daging digunakan juga berjaya menyerap manis pedas rempah dengan sempurna, menghasilkan gabungan rasa yang cukup menggoda selera.

Enak dinikmati bersama sepinggan nasi panas atau aneka mi, Sup Sururi pasti membuat anda ketagih. Sukar digambarkan keenakan rasa sup ini, tapi sekali cuba, pasti mahu lagi!

Rashidi Razak, menantu kepada pengasas Restoran Sururi merangkap tukang masak sup Sururi.
Rashidi Razak, menantu kepada pengasas Restoran Sururi merangkap tukang masak sup Sururi.

Rashidi Razak, iaitu menantu kepada pemilik restoran berkata, sup daging Sururi pada awalnya hanya disediakan sebagai hidangan istimewa setiap Jumaat.

Sambutan yang semakin menggalakkan menyebabkan mereka mula menyenaraikan sup berkenaan sebagai antara hidangan tetap untuk dijual, setiap Isnin hingga Jumaat.

“Bermula dari hanya seperiuk setiap Jumaat, kuantitinya semakin bertambah, sehingga bapa mertua saya mengambil keputusan untuk mengekalkan ia dalam menu. 

“Alhamdulillah dapat buat hari-hari. Selepas itu ada permintaan untuk sup kambing pula dan sekarang, sup kambing ini kami sediakan pada setiap hari Khamis,” katanya..

 Sururi Marzuki (pengasas sup daging Restoran Sururi) bersama isterinya, Sharifah Rabeah Syed Yaacob
Sururi Marzuki (pengasas sup daging Restoran Sururi) bersama isterinya, Sharifah Rabeah Syed Yaacob

Jelas Rashidi, sebelum memulakan perniagaan, bapa mertuanya mendapatkan nasihat daripada seorang peniaga soto terkenal di Kampung Pandan.

Lelaki dikenali sebagai Wak Selamat itu katanya, menasihatkan bapa mertuanya memberi tumpuan kepada satu hidangan utama.

“Mengambil nasihat itu, bapa mertua saya cuba menyediakan sup dan bereksperimen dengan pelbagai jenis resipi, sehingga bertemu yang benar-benar menepati seleranya,” katanya.

Menu 'signature' iaitu sup gearbox, sup daging lembu, sup kambing dan sup keting
Menu 'signature' iaitu sup gearbox, sup daging lembu, sup kambing dan sup keting

Ditanya mengenai kaedah penyediaan, Rashidi memberitahu mereka menggunakan 150 kilogram daging lembu setiap hari, dan 100 kilogram daging kambing untuk setiap Khamis.

“Daging ini perlu diempukkan terlebih dahulu dan mengambil masa sehingga empat jam untuk memastikan ia benar-benar empuk.

“Proses memasak bermula seawal jam 4 pagi bagi memastikan setiap bahan tumisan benar-benar masak. Yang penting sukatan untuk setiap bahan perlu tepat,” katanya.

Setiap pagi proses kawalann kuantiti akan dijalankan oleh Rasyidi untuk memastikan sup dimasak dengan baik
Setiap pagi proses kawalann kuantiti akan dijalankan oleh Rasyidi untuk memastikan sup dimasak dengan baik

Sebelum mula dijual katanya, sup akan menjalani proses kawalan kualiti bagi memastikan rasanya menepati citarasa.

“Ada kala, kualiti garam digunakan tidak sama malah tahap kemasinan juga berbeza. Kerana itu penting untuk kita memeriksa terlebih dahulu sup yang akan dijual,” katanya.

Konsep layan diri diperkenalkan bagi memudahkan pelanggan memesan makanan
Konsep layan diri diperkenalkan bagi memudahkan pelanggan memesan makanan

Jika anda mahu berkunjung ke restoran ini, sila ambil maklum bahawa ia menggunakan konsep layan diri.

“Bila kita buat layan diri ini memudahkan orang. Iyalah ada yang suka rasa pedas, masam atau tak nak sayur. Jadi mereka boleh mengambil sendiri sambal kicap, limau dan daun sup mengikut citarasa masing-masing,” pesannya.

 Sup kambing hanya disediakan pada setiap hari Khamis 
Sup kambing hanya disediakan pada setiap hari Khamis 

Mengakui bapa mertuanya seorang yang sangat teliti, Rashidi berkata ciri itu menjadikan kualiti sup disediakan kekal tidak berubah.

“Harapan saya rasa sup ini masih sama walaupun untuk 10 tahun lagi dan meninggalkan kenangan manis kepada semua pelanggan,” katanya.

 Rashidi berharap 10 tahun akan datang, sup daging Sururi ini dapat meninggalkan kesan yang baik kepada pengunjung 
 Rashidi berharap 10 tahun akan datang, sup daging Sururi ini dapat meninggalkan kesan yang baik kepada pengunjung 

Dia menasihatkan sesiapa yang berniat untuk memulakan perniagaan berasaskan makanan, agar menimba pengalaman dari bawah, termasuk bekerja sebagai pelayan dan tukang masak.

Semua proses ini katanya, akan menjadi pengalaman yang amat berguna apabila mahu membuka restoran sendiri. - Getaran, 16 September 2023

Teks dan penyelaras: Izwan Ramlan

Gambar muka hadapan : Salwa Farhana Ismail

Jurufoto : Nooreeza Hashim

Suntingan teks : Sophia Ahmad

Rekaletak : Jusmiyati Jufri

Isu Pada

Resipi Berzaman Lahirkan Perpaduan

16 Sep 2023

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 2 bulan yang lalu

Makanan Di Gaza Tidak Mencukupi - Agensi PBB

2

TARA 3 bulan yang lalu

Di Mana Mahu Dapatkan Pakaian Untuk Percutian Musim Sejuk? 

3

TARA 3 bulan yang lalu

5 Berita Hiburan Paling Panas Dan Jadi Bualan Netizen Sepanjang 2023

4

TARA 3 bulan yang lalu

5 Filem, Siri Menarik Di Netflix Untuk Tontonan Cuti Tahun Baharu

Sorotan

1

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

2

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

3

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

4

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

5

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

6

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

7

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM