Afrika Selatan adalah negara yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarah penubuhannya. Ia juga terkenal di seluruh dunia gara-gara sistem Apartheid yang pernah mendiskriminasi penduduk asli negara tersebut yang berkulit hitam dengan komuniti penjajah yang berkulit putih.
Namun itu semua kisah lama. Kini Afrika Selatan sudah bangkit dan boleh dianggap sebagai negara paling maju dan pesat membangun di benua Afrika.
Negara ini juga mempunyai cuaca empat musim yang menyenangkan. Oleh kerana kedudukannya di Hemisfera Selatan Bumi, ia mempunyai sistem cuaca yang mirip dengan Australia dan New Zealand, di mana musim sejuk berlaku di pertengahan tahun dan musim panas di penghujung tahun.
Pengunjung yang melawat Afrika Selatan untuk kali pertama boleh memulakan lawatan di kota Johannesburg. Ia merupakan bandar terbesar dan adalah salah satu daripada enam ibu kota negara tersebut.
Di situ, anda disarankan untuk menyingkap sejarah perjalanan penduduk mereka dalam mencapai demokrasi di Constitution Hill.
Ia merupakan bekas penjara dan tugu ketenteraan yang kini berfungsi sebagai sebuah muzium yang menceritakan tentang masa silam Afrika Selatan yang penuh cabaran. Ia juga kini menempatkan mahkamah perlembagaan yang memperjuangkan hak penduduk tempatan.
Untuk memudahkan aktiviti jalan-jalan, naik sahaja bas persiaran ‘Hop On Hop Off’ yang akan membawa anda sekeliling kota Johannesburg.
Salah satu destinasi yang harus disinggah dalam perjalanan bas tersebut adalah Carlton Centre, sebuah bangunan pencakar langit yang menawarkan pemandangan indah bandar Johannesburg dari ketinggian sekitar 223 meter.
Teruskan pula perjalanan ke muzium Apartheid yang menceritakan segala kisah pahit penduduk asal Afrika Selatan selain perjuangan tokoh dunia Nelson Mandela.
Untuk mengetahui lebih banyak tentang ikon kebebasan itu, singgahlah ke kawasan Soweto yang juga merupakan daerah popular Afrika Selatan.
Daerah ini merupakan kawasan tempat tinggal kebanyakan penduduk kulit hitam Afrika Selatan dan di sini juga terletaknya muzium Mandela atau lebih dikenali sebagai Mandela House. Ia pernah menjadi tempat tinggal Nelson Mandela dari 1946 hingga 1962.
Tidak jauh dari situ juga adalah sebuah restoran popular bernama Sakhumzi yang menghidangkan pelbagai juadah tempatan yang enak.
Malah, berkat jumlah penduduk beragama Islam yang agak ramai di Afrika Selatan, daging yang digunakan di situ adalah halal seperti kebanyakan daging yang dijual di restoran dan pusat membeli-belah seluruh Afrika Selatan.
Ini memudahkan pengunjung Muslim untuk mencari makanan yang halal tanpa was-was. Di kawasan Soweto juga terletaknya Orlando Towers yang kini menjadi tempat untuk aktiviti lompatan Bungee.
Untuk sedikit intaian seni serta budaya, jangan lupa ke daerah Maboneng. Kawasan ini kaya dengan pelbagai kedai serta kafe yang dipelopori oleh para seniman muda yang mula mencipta nama di Afrika Selatan. Pelbagai fesyen dan karya seni yang dapat anda lihat serta beli di sini.
Selesai bersiar-siar di Johannesburg, panjangkan langkah ke Pretoria, ibu kota pentadbiran Afrika Selatan yang hanya terletak sekitar 30 minit dari pusat bandar Johannesburg dengan menaiki kereta.
Di Pretoria pengunjung boleh melihat deretan patung-patung gangsa pejuang yang pernah menyumbang kepada pembebasan diskriminasi serta kemerdekaan Afrika Selatan di Long March to Freedom National Heritage Monument. Ini termasuklah patung Mahatma Gandhi dan juga Nelson Mandela.
Tidak ketinggalan adalah Freedom Park yang merupakan tapak bersejarah dan kini berfungsi sebagai tugu peringatan mereka yang tewas ketika berjuang untuk Afrika Selatan.
Tidak jauh dari situ juga adalah monumen Voortrekker, sebuah tugu yang dibina untuk memperingati komuniti petani kulit putih yang berhijrah dari Eropah (khasnya dari Belanda) dan meninggalkan Cape Colony (Tanjung Harapan) sekitar awal tahun 1800-an.
Ia banyak menceritakan tentang pertemuan pertama pendatang kulit putih dengan penduduk asli Afrika Selatan.
Dan sebuah lagi tempat yang harus dikunjungi adalah kawasan Union Buildings yang merupakan pusat administrasi seperti Putrajaya di Malaysia. Dan di sinilah terletaknya patung gergasi Nelson Mandela yang merupakan lambang utama penduduk Afrika Selatan.
Di sekelilingnya adalah kawasan taman indah yang juga dijadikan tempat rekreasi dan riadah penduduk yang kadangkala ingin bersenam atau berkelah.
Dari Pretoria, tidak lengkap rasanya jika tidak ke Cape Town, sebuah bandar raya yang sangat popular di Afrika Selatan.
Terdapat pelbagai cara untuk ke sana dari Pretoria atau Johannesburg. Namun satu pengalaman yang wajar dicuba sekiranya berkemampuan adalah dengan menaiki kereta api mewah Rovos Rail yang memakan masa selama dua malam dari stesen khas mereka di Pretoria.
Ia benar-benar sebuah pengalaman yang unik di mana tamu kereta api dilayan dengan begitu istimewa.
Selain tempat penginapan yang luas, makanan yang enak dan minuman serta hidangan percuma sepanjang perjalanan, tamu juga berpeluang melawat beberapa kota lain yang terdiri daripada singgahan Rovos Rail seperti Kimberley yang terkenal dengan perlombongan berlian Afrika Selatan dan juga sebuah kota lama yang unik bernama Matjiesfontein.
Di Cape Town pula pastikan anda singgah ke kawasan dermaga Victoria dan Alfred (V&A Waterfront) yang terkenal dengan pelbagai tarikan dan pemandangan indah.
Tidak ketinggalan, adalah persiaran bot sekeliling perairan dermaga ini yang memberi peluang pengunjung menyaksikan lelumba serta anjing laut yang bermain sepanjang hari.
Di dermaga ini juga anda boleh menaiki bas pelancong 'Hop On Hop Off' sekali lagi untuk melawat sekitar Cape Town.
Jangan lepaskan peluang mengunjungi Table Mountain untuk menikmati panorama indah dari atas gunung dengan menaiki kereta kabel. Lawati juga rumah berwarna-warni di Bo Kaap yang merupakan kawasan perumahan penduduk Melayu Muslim Afrika Selatan yang sering menjadi tarikan pelancong asing.
Yang pasti ini hanyalah sedikit intaian ke dalam keindahan Afrika Selatan. Ada banyak lagi yang menarik di sana dan jika anda ingin tahu, terbanglah ke sana apabila keadaan memungkinkan nanti! - Getaran, 23 Mei 2021.
Semua gambar, kecuali tertera: Shah Shamshiri