Setiap tahun, pada malam Hari Raya, pasti adik saya akan menghantar mesej berserta pautan kepada lagu dendangan arwah Sudirman, ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf.’ Ini cara beliau menyakat saya yang saban tahun berhari raya di perantauan.
Malah, apabila saya dipinjamkan ke sebuah badan pemikir di Kuala Lumpur tahun lepas, dia masih menghantar mesej yang sama. Maklumlah, tahun lepas walaupun di tanah air, saya tak berpeluang pulang ke kampung halaman kerana PKP.
Dalam tempoh dua puluh tahun saya tinggal di luar negara, boleh dibilang dengan jari sebelah tangan saya pulang berhari raya Aidilfitri.
Ini adalah kerana kekangan tugasan. Jika hari raya jatuh pada waktu semester sedang berjalan, maka agak susahlah untuk saya mendapat cuti untuk pulang ke Malaysia.
Jadi, untuk mengubat hati dan meneruskan suasana riang hari raya, saya biasanya membuat perancangan untuk menyambut lebaran beramai-ramai dengan rakan-rakan di sini.
Ketika saya masih belajar, persiapan untuk Aidilfitri sebenarnya agak lebih teratur, kerana komuniti pelajar dari rantau Nusantara yang kecil rata-rata tinggal di kampus universiti.
Dek semua ‘sekapal’ kerana tidak pulang beraya, daripada bersedih seorang diri di bilik masing-masing, kami gantikan dengan suasana yang dicipta sendiri. Malam raya diwarnai dengan sesi takbir dari rumah ke rumah merentasi kampus yang seluas 500 hektar itu.
Ini disusuli dengan sesi gotong royong dan bantuan memasak di rumah yang telah dipilih sebagai ‘port’ pertama seusai solat sunat Aidilfitri. Sebenarnya, aturan ‘makan-makan’ telah dibuat lebih kurang seminggu sebelum hari raya, jadi kalau ada 8 tuan rumah, maka ada jadual yang disusun seolah-olah rumah terbuka.
Oleh kerana kuliah berjalan seperti biasa, Hari Raya bukanlah cuti am di sini, biasanya jadual dibuat mengikut waktu makan. Makan malam di Rumah B, makan tengah hari esoknya di rumah C dan seterusnya.

Lazimnya pada hari raya pertama kami mengenakan busana tradisi, jadi menghadiri kuliah dengan memperagakan baju kurung atau baju melayu bersamping lengkap! Memang menjadi perhatian orang ramai dan kadang-kadang ada yang mahu bergambar bersama.
Setelah bekerja, biasanya persiapan hari raya lebih sederhana, Saya meraikannya dengan kawan-kawan rapat dan selalunya dibuat selepas waktu pejabat.
Pagi hari raya saya akan turut serta solat sunat di pusat ibadat di kampus dan kemudian masuk ke pejabat seperti biasa. Kalau ada kelas, maka mengajarlah. Dan sering nampak rompong kerusi-kerusi yang biasanya diduduki oleh para pelajar Muslim. Tentu mereka berseronok meraikan hari raya di rumah bersama keluarga!
Antara tabiat saya dan kawan-kawan di sini ialah untuk berkumpul dan menonton rancangan TV dari Malaysia. Maklumlah, zaman sudah berubah dan siaran dapat diperolehi secara streaming dari laman web dan YouTube.
Dapatlah dengar takbir dari Masjid Negara dan menonton drama-drama swasta yang, lazimnya, tidak ditonton pun kalau di tanah air. Apabila jauh di mata, iklan sabun Axion pun mampu mencuit perasaan!
Teknologi memang sangat membantu. Ketika saya mula bertapak di UK, dapat membuat panggilan telefon pun suatu nikmat yang tidak terkata.
Mencabar juga nak mendapatkan ruangan masa yang sesuai, kerana mak ayah juga sibuk menerima tetamu dan berkunjung ke sana ke mari.

Sekarang, sudah ada video call di mana boleh menatap wajah mereka yang tersayang dan kadang-kadang, boleh turut serta dalam sesi bergambar walaupun wajah kita hanya terpapar di skrin tablet.
Sambutan peringkat komuniti Islam di sini juga tidak kurang hebatnya. Birmingham di mana saya tinggal mempunyai antara komuniti Islam terbesar di United Kingdom dan berbagai acara diadakan yang boleh dihadiri oleh orang ramai. Ini termasuklah solat sunat Aidilfitri beramai-ramai di padang besar yang disewa khas.
Bagi mereka yang tinggal di London atau berdekatan pula, dapat berjumpa dengan orang Malaysia lain kerana kedutaan dan juga pihak Malaysia Hall sering mengadakan acara rumah terbuka.
Saya pernah menghadiri sekali dua acara ini dan memang seronok dapat menjamu selera dengan makanan tradisional yang dimasak oleh orang lain. Semasa saya pelajar, ini lebih bermakna kerana dapat berjumpa rakan taulan yang mungkin datang dari seluruh negara.
Tetapi setelah bekerja, sudah tidak ramai lagi kenalan seperti dahulu. Lagipun, sekarang sudah pandai masak rendang sendiri, jadi…

Ah, memang manis kenangan lama, lebih-lebih lagi tahun ini nampaknya kita semua beraya dalam pandemik untuk kali kedua. Saya agak tersentuh juga mendengar cerita kawan-kawan di Malaysia yang terpaksa berhari raya jauh dari keluarga dan saudara mara dek PKP.
Pasti terbit perasaan kecewa dan sedih tidak dapat mencium tangan orang tersayang memohon maaf di pagi 1 Syawal seperti biasa.

Namun dengan kes harian yang hampir mencecah 5,000 di Malaysia, memang meresahkan dan sedikit terbantut niat untuk terlalu seronok tahun ini. Saya doakan kalian kuat menghadapi dugaan ini dan terus berhati-hati untuk mengelakkan wabak terus merebak luas.
Salam Aidifitri semua, maaf zahir (dan batin, kalau ada!) - Getaran, 16 Mei 2021