Berita Terkini

12 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 5 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Mengamati Indah Eksotika Kemboja

Editor Gaya Hidup dan Hiburan, Shah Shamshiri berkongsi pengalamannya sewaktu mengunjungi negara Kemboja.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 16 May 2021 10:59AM

Gambar: Anne Nicole, Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejarah lampau negara yang pernah dijajah kuasa Perancis ini sering menjadi tajuk menarik dalam rancangan-rancangan televisyen serta rencana-rencana politik di akhbar dan majalah tertentu.  

Dari zaman kegemilangan empayar Khmer, sehinggalah ke penjajahan Perancis kemudian jatuh ke tangan seorang pemimpin kejam bernama Pol Pot di bawah rejim Khmer Rouge dan akhirnya kembali ke bawah payung pemerintahan kerajaan baru hari ini.

Sekarang di bawah kedaulatan keluarga diraja,  Kemboja telah melewati pelbagai perubahan yang membentuk keadaan negaranya masa kini.

Biarpun kisah silam yang keruh negara ini tidak akan dapat dilupakan namun kehidupan tetap berterusan dan hari ini Kemboja muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara. 

Semua ini berkat kewujudan Angkor Wat, kuil terbesar di dunia yang dibangunkan pada abad yang ke-12.  

Angkor Wat. Gambar: Paul Szewczyk, Unsplash
Angkor Wat. Gambar: Paul Szewczyk, Unsplash

Ketibaan saya pada waktu pagi di Kemboja disambut cuaca yang menyenangkan. Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Siem Reap dari Phnom Penh dengan menaiki pesawat Cambodia Angkor Air, saya dijemput oleh pihak hotel yang menaja penginapan saya di sana. 

Berbanding kebiasaan di mana saya sering disambut oleh pemandu teksi atau kereta hotel, kali ini saya disapa seorang lelaki muda yang bernama Lon, seorang penunggang tuk-tuk (auto rickshaw). Lelaki berbangsa Khmer ini menunggu kehadiran saya dengan senyuman di pintu ketibaan dengan memegang sebuah papan hitam kecil yang bertulis nama saya.

Saya mengikut dia ke tuk-tuknya dan benar-benar teruja melihat pengangkutan yang menjemput saya. Berbeza dengan tuk-tuk yang pernah saya naiki di India dan Thailand, tuk-tuk di sini mirip sebuah kereta kuda, cuma perbezaannya adalah kereta-kereta kuda ini ‘ditarik’ oleh motosikal.

Beca motor atau tuk tuk di Siem Reap
Beca motor atau tuk tuk di Siem Reap

Jalan sepanjang ke hotel saya diwarnai pelbagai pemandangan. Bangunan-bangunan di pusat kota Siem Reap masih kental dengan pengaruh Perancis lama. 

Kesemua kenderaan bergerak perlahan dan kadangkala benar-benar menguji kesabaran sang pemandu. Jalan-jalannya juga penuh dengan butiran debu yang tiap kali terasa melekat di pakaian saya. Keadaan jalan juga tidak konsisten, ada jalan tar dan jalan tanah merah.  

Sebaik sahaja keluar dari pusat kota Siem Reap, jalan-jalan pintas menuju ke hotel saya masih lagi jalan-jalan tanah merah yang berlopak lecak dan tidak rata. 

Saya lalui kawasan kampung dan dapat rasakan yang hari semakin panas. Rupa-rupanya kepanasan di Kemboja boleh mencapai sehingga 45 darjah celcius pada musim panas. 

Sungguhpun begitu, perjalanan saya sangat berbaloi kerana sebaik sahaja masuk ke perkarangan hotel, semua rasa rimas dan melekit seakan-akan hilang. 

Hotel Navutu Dreams Resort & Spa memang unik kalau dibandingkan banyak hotel lain. Resort ini dimiliki oleh sebuah keluarga Itali yang juga mempunyai resort terkenal di bawah nama Navutu di pulau Fiji yang turut mendapat rekomendasi pelbagai media antarabangsa lain. 

Hotel Navutu Dreams Resort & Spa
Hotel Navutu Dreams Resort & Spa

Kemudahan dan perkhidmatan lima bintang mereka memang tidak terkata dan seperti semua ahli media, saya diberi layanan yang paling istimewa. 

Semua tamu di hotel ini diberi seorang pemandu tuk-tuk khas sebaik sahaja memesan bilik. Jadi perkhidmatan pemandu tersebut sudah termasuk dalam bil hotel sepanjang penginapan! 

Bayangkan betapa mudahnya untuk bergerak kerana kita tidak perlu mencari dan menawar harga tambang tuk-tuk (apa lagi saya yang ditaja. Bersyukur tak terkata). 

Setelah meletakkan beg dan menunaikan solat serta menukar pakaian, saya terus dibawa oleh pemandu tuk-tuk saya ke Angkor Wat!

Sememangnya itulah destinasi yang saya tunggu-tunggu sebaik sahaja tiba di sana.  Saya diberitahu yang sebenarnya terdapat lebih daripada seribu kuil di sekitar kawasan itu, namun para pelancong biasanya melawat yang sempat sahaja. 

Untuk masuk ke kawasan kuil di situ, pelancong asing harus membeli pas laluan. Terdapat beberapa pilihan (pas laluan sehari, tiga hari dan sebagainya).

Saya memilih pas laluan sehari yang pada waktu itu berharga US$20. (Penggunaan Dollar Amerika di sini lebih mudah kerana mata wang tempatan Riel belum digunakan secara meluas dan sukar didapati di luar Kemboja). 

Lon, pemandu tuk-tuk saya memberitahu dia akan menunggu di kawasan lapang di depan kuil di mana terdapat banyak gerai-gerai serta kenderaan-kenderaan lain yang menunggu penumpang masing-masing.

Kawasan jualan di luar Angkor Wat
Kawasan jualan di luar Angkor Wat

Melihat Angkor Wat buat pertama kali membuat saya rasa begitu teruja. Kompleks kuil terbesar di dunia ini benar-benar gah dan kadangkala saya tertanya-tanya bagaimana manusia pada zaman dahulu yang tidak mempunyai mesin serta peralatan canggih dapat membina sebuah kuil yang begitu tekun seni pembinaannya.

Kalau lihat di media massa kita tidak akan tahu betapa besar sebenarnya Angkor Wat ini. 

Kala melangkah masuk saya dihampiri beberapa orang yang menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong namun saya menolak kerana ingin melihat dan merayau-rayau sendiri. 

Terdapat juga ramai pemandu pelancong rasmi yang memakai pakaian seragam khas dan mereka bertutur dalam pelbagai bahasa. 

Oleh kerana Kemboja sebuah bekas jajahan Perancis, ramai pelancong Perancis yang mengunjungi kuil ini. 

Setiap pelusuk saya lalui dan semakin kagum hati ini. Besar, hebat dan cantik! 

Dindingnya berukir kisah silam dengan lukisan dan pahatan serta beberapa tiang dilitupi tulisan Sanskrit. Beberapa penjuru kuil dihiasi berhala yang masih disembah kerana ada kayu colok yang dibakar serta makanan dipersembahkan. 

Penganut bersembahyang di dalam kawasan kuil
Penganut bersembahyang di dalam kawasan kuil

Anak-anak tangganya kecil dan sempit namun masih boleh digunakan pelawat. Ada kuil-kuil kecil di dalamnya yang dibina sebagai menara dan memberikan pemandangan kawasan yang menakjubkan.

Setelah puas keluar masuk saya berehat seketika sambil meneguk air kelapa muda yang dijual dengan harga US$1 di tepi kawasan kuil. 

Di situ terdapat sederet gerai yang menjual makanan, minuman serta cenderahati untuk pelawat yang datang. Setelah beberapa jam beradu tenaga dengan bahang kepanasan dan keringat yang jatuh saya menemui Lon dan dihantar pulang. 

Selepas puas berehat, malam itu pemilik hotel menyuruh saya menikmati makan malam di restoran Itali milik mereka  yang bernama Il Forno di Pub Street, jalan paling popular di kota Siem Reap. Ia dipenuhi puluhan pub, kafe, restoran dan kedai yang kebanyakannya dikerumuni pelancong asing. 

Besoknya selesai sarapan di tepi kolam renang, saya dibawa ke sebuah lagi hotel butik lima bintang yang menaja penginapan saya. Maison Polanka merupakan dua buah rumah kampung lama orang Khmer Kemboja yang dijadikan sebuah hotel eksklusif lima bintang. 

Saya ditempatkan di salah satu rumah yang telah dikhaskan untuk saya sendiri. Di luar kelihatan seperti sebuah rumah kampung biasa, di dalam ia sebuah mahligai kayu yang mewah. Terletak di kawasan kampung yang menenangkan, rumah penginapan mewah ini memang eksklusif dan pernah mendapat liputan Conde Nast Traveller.

Ia dimiliki oleh seorang warga Perancis yang telah memulihara rumah lama ini dan menjadikannya sebuah penginapan lima bintang. Pengurus hotelnya juga berbangsa Perancis dan sepanjang saya di Siem Reap saya puas bertutur dalam bahasa Perancis! 

Dari situ saya menaiki tuk-tuk ke Old Market atau Phsar Chas untuk membeli oleh-oleh. Pilihan kedai memang banyak dan seperti biasa anda harus bijak menawar.

Kain sutera Kemboja cantik-cantik belaka di situ. Jadi saya membeli beberapa untuk ibu dan kakak ipar saya. Tidak lupa cenderamata kecil untuk ahli keluarga dan teman-teman yang lain.

Keesokan pagi saya dijemput bas mini dari hotel saya ke stesen bas utama. Saya sengaja memilih untuk menaiki bas kerana harganya murah dan basnya juga lebih canggih dari saya sangkakan. 

Perjalanan dari Siem Reap ke Phnom Penh yang mengambil masa hampir enam jam pada harga US$13 benar-benar tidak terasa kerana basnya selesa, moden serta lengkap dengan perkhidmatan wi-fi dan ‘pramugara’!

Sepanjang perjalanan saya menonton filem sambil melayari internet dan memuat naik beberapa foto pengembaraan saya di Kemboja.     

Di Phnom Penh, walaupun masa terhad saya masih sempat bersiar-siar dan berjalan jauh. Dari kawasan istana ke Tugu Kemerdekaan (Independent Monument), saya telusuri padang-padang serta taman-taman besar yang kadangkala mengingkatkan saya kepada kota Paris.

Tugu Kemerdekaan di Phnom Penh. Gambar: Unsplash
Tugu Kemerdekaan di Phnom Penh. Gambar: Unsplash

Susunan persiaran Phnom Penh yang berdekatan Sungai Bassac persis boulevard utama Paris di Champs-Elysee. Dan menurut saya, berbanding Ho Chi Minh di Vietnam, bayangan Perancis Phnom Penh jauh lebih ketara! 

Pelancong asing di Phnom Penh pasti memilih untuk melawat Killing Fields atau tempat pembunuhan massa yang pernah digunakan oleh Pol Pot semasa pemerintahan Khmer Rouge dulu. 

Jika tidak ada juga yang memilih untuk membeli-belah di Russian Market seperti saya. Apapun tujuan anda, Phnom Penh juga tidak kurang menariknya untuk tujuan wisata. 

Pasar di Phnom Penh
Pasar di Phnom Penh

Makanan halal mudah didapati di sini (malah bersebelahan hotel saya, The Frangipani Royal Palace Hotel & Spa terdapat sebuah restoran Indonesia halal yang dimiliki seorang lelaki berbangsa Sunda berasal dari Bandung!)

Pesan saya, kalau berpeluang mengembara jenguklah negara ini.  Apatah lagi sekarang penerbangan tambang rendah sering menawarkan promosi tiket murah jadi rugi jika tidak mengambil kesempatan atas harga-harga istimewa ini.

Jauh perjalanan memang luas pemandangan dan kita di Malaysia jarang mengambil tahu tentang negara-negara ASEAN selain Singapura, Indonesia dan Thailand. Saya percaya ramai yang akan menyenangi Kemboja kerana seperti bunganya, negaranya juga seindah namanya! - Getaran, 16 Mei 2021

Semua gambar: Shah Shamshiri kecuali tertera

Isu Pada

Kemilau Bintang Wany Hasrita

15 May 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Ada Potensi Luas Untuk Kukuhkan Perkongsian ASEAN - Australia - Anwar

2

Semasa 2 bulan yang lalu

PM Akan Pengerusikan Mesyuarat Berkala Persiapan Malaysia Selaku Pengerusi ASEAN 2025

3

Semasa 4 bulan yang lalu

PM Tiba Di Jepun Untuk Lawatan Kerja 5 Hari

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Wanita Kemboja, Anak Dakwa Melayu Malas Dituduh Di Mahkamah Esok

Sorotan

1

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

2

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

3

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

4

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

5

Aktiviti Gunung Berapi Cetus Pemindahan Ratusan Orang Di Sulawesi Utara Indonesia

6

Pinjaman RM1.8 Bilion Dipindahkan Ke Luar Negara Tanpa Usaha Wajar โ€“ Saksi

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini โ€“ Rafizi