Hujung minggu lalu telah berlangsung Konsert Raya Sepanjang Zaman yang menampilkan penyanyi-penyanyi hebat seperti Datuk Hail Amir, Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof yang bertempat di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.
Konsert yang berkonsepkan lagu raya ini telah berlangsung selama hampir dua jam dengan diiringi oleh lebih 60 pemain muzik orkestra yang diketuai oleh konduktor muzik, Ahmad Muriz Che Rose.
Lagu-lagu raya malar segar telah digubah semula dalam susunan simfoni orkestra sekaligus mengangkat legasi karya seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi melalui interpretasi simfoni hasil gubahan Jenny Chin, Gerard Salonga, Luqman Aziz, Ilham Subri dan Ahmad Muriz sendiri.
Konsert pada malam itu dibuka dengan mainan muzik orkestra lagu-lagu raya malar segar seperti Suara Takbir, Hari Bahagia, Pulanglah dan Balik Kampung.
Tepukan gemuruh bergema di seluruh pelusuk dewan usai tamat persembahan pertama ini. Rata-rata kagum dengan susunan muzik orkestra yang dipersembahkan untuk babak pengenalan ini.
Seterusnya penyanyi bersuara lunak, Bob Yusof memulakan persembahan solo dengan mendendangkan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf.
Kekuatan vokal Bob yang disuntik dengan penghayatan yang sungguh mendalam berjaya menyentuh emosi hadirin yang hadir.

Usai Bob membuat persembahan, muncul pula legenda muzik dari seberang tambak iaitu Sanisah Huri menyampaikan lagu raya ‘evergreen’ beliau yang berjudul Aidilfitri.
Saya begitu kagum dengan ton suara Sanisah yang masih kedengaran sama. Biarpun pada mulanya Sanisah kelihatan sedikit bergelut dengan iringan muzik orkestra, namun dia berjaya menghabiskan keseluruhan lagu dengan baik.
Sorakan penonton juga membuatkan beliau lebih bersemangat untuk berikan yang terbaik. Dan ini diakui oleh beliau sendiri sewaktu memberikan ucapan di atas pentas.
Menurut Sanisah, ini adalah kali pertama dia menyanyi dengan iringin orkestra dan kali pertama juga dia diundang untuk membuat persembahan di DFP.
.jpg)
Selesai Sanisah membuat persembahan, giliran penyanyi bersuara lantang iaitu Ziana Zain pula mengambil alih pentas. Muncul dalam busana indah, pastinya kemunculan Ziana sangat dinanti-nantikan peminat setianya yang hadir.
Sebelum memulakan persembahan, Ziana sempat menyapa tetamu kehormat iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir bersama isteri.
.jpg)
Ziana menyampaikan lagu rayanya yang berjudul Indah Di Hari Raya dengan begitu cemerlang. Suaranya yang lantang kedengaran begitu jelas dan menusuk kalbu.
Keterujaan juga jelas terpancar di wajah Ziana kerana ini juga merupakan kali pertama dia menghiburkan penonton di dewan berprestij ini.
Katanya ini adalah hadiah hari jadi paling bermakna buatnya. Akhirnya impian Ziana untuk membuat persembahan di DFP tercapai pada tanggal 6 Mei 2023.
Kemudian Ziana menjemput penyanyi legenda iaitu Datuk Hail Amir untuk berduet dengannya menerusi lagu raya ikonik, Seloka Hari Raya dendangan asal Datuk Hail Amir bersama Uji Rashid. Telatah lucu mereka berdua membuatkan penonton tidak kering gusi.
.jpg)
Usai selesai sesi duet, Hail meneruskan dengan sesi solonya pula membawakan lagu medley daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjudul Dendang Perantau dan Suara Takbir.
Bob kembali ke pentas untuk sesi keduanya membawakan lagu medley daripada Datuk M Nasir iaitu Satu Hari Di Hari Raya dan Salam Dunia. Pada malam itu juga Bob turut mendendangkan lagu Cahaya Aidilfitri daripada kumpulan Black Dog Bone.
Turut dinyanyikan adalah lagu daripada Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang berjudul Selamat Hari Raya dan Hari Yang Mulia yang dinyanyikan secara duet bersama Ziana Zain. Ziana turut menyampaikan lagu daripada Datuk Sheila Majid yang berjudul Hari Mulia.
.jpg)
Tidak lengkap rasanya andai Sanisah Huri tidak menyampaikan lagu rayanya yang syahdu iaitu Bersabarlah Sayang. Sanisah telah menyampaikan lagu ini dengan sangat baik dan menyentuh emosi.
Beliau turut mendendangkan lagu berjudul Suasana Riang Di Hari Raya dendangan asal Junainah M Amin yang pada saya sangat sesuai dengan suaranya.
Konsert pada malam itu ditutup dengan lagu Joget Aidilfitri yang dinyanyikan bersama oleh keempat-empat bintang.

Pastinya konsert ini akan memberikan seribu kenangan manis buat penonton yang hadir terutamanya buat peminat setia keempat-empat bintang ini.
Bagi saya sendiri, ini adalah antara konsert yang saya nantikan kerana saya belum pernah melihat Sanisah Huri menyanyi secara ‘live’. Begitu juga dengan Datuk Hail Amir.
Biarpun persembahan mereka tidak sempurna seperti penyanyi yang lebih muda, namun mereka tetap berusaha memberikan yang terbaik dan tampil dengan penampilan yang begitu indah buat tatapan peminat.
Idea menggabungkan bintang-bintang legenda dan penyanyi popular adalah sangat bagus dan perlu diteruskan kerana ini dapat memberikan peluang buat generasi baru untuk mengenali penyanyi-penyanyi veteran yang masih ada di dalam industri seni. Syabas diucapkan kepada Orkestra Filharmonik Malaysia. – Getaran, 13 Mei 2023