Berita Terkini

9 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Lebaran 'Aku Seorang', 'Aku Mahu' Dan Yang Terakhir

Perang emosi di musim perayaan sesuatu yang di luar jangkaan. Inilah ujian, inilah pertimbangan yang harus kita semua hadapi, lebih-lebih lagi saat wabak enggan mengundur diri.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 May 2021 10:59AM

Gambar: Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jam melewati 15 minit jam empat petang (ketika artikel ini ditaip), usai melayari The Times Of India (edisi 8 Mei 2021), saya jadi ngeri sendiri, membayangkan angka kematian lebih dari 4000 orang sehari. 

Membayangkan betapa parah dan lemasnya rakyat dan kerajaan negara India dalam memperjuangkan nafas, nafas rakyat dan juga nafas ekonomi. 

Merenung bagaimana nasib salah sebuah negara pengeluar vaksin yang akhirnya terpaksa melipat ganda penghasilan bukan kerana tingginya permintaan dari negara lain tetapi, untuk rakyat negaranya sendiri.

Ya, India adalah negara kedua penduduk teramai di dunia dengan bilangan 1,326,093,247 orang warganegara. 

Situasi COVID-19 di India. Gambar fail AFP.
Situasi COVID-19 di India. Gambar fail AFP.

Langit di luar kelam kelabu, pembayang akan berlakunya hujan lebat atau ribut petir. Lagi tiga hari lagi, kita semua akan melambaikan salam perpisahan pada Ramadan dan memberikan giliran Syawal menjengah datang. 

Mungkin tidak ramai peniaga-peniaga kecil yang berniaga pada petang ini, pun begitu, terjentik juga di hati, memikirkan bagaimana nasib mereka berniaga dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini. Apakah berbaloi andai modal tidak membenihkan untung?

Dan saya juga tidak kurang terhibur dengan gelagat rakan-rakan di muka buku yang berforum secara kecil-kecilan (bosan guna perkataan membawang) bermula kekeliruan mereka tentang PKP 3.0 di Selangor atau di Kuala Lumpur, sehingga saya turut menyakat salah seorang teman yang ingin datang beraya tetapi keliru dengan S.O.P perjalanan ketika itu.

Dengan berseloroh, saya menjawab, “Tempat tinggal aku tengah-tengah, Selangor boleh, Kuala Lumpur pun boleh…fuhh…jangan nak mengata!”

Kekeliruan terjawab dengan beberapa susulan pengumuman oleh kerajaan dan seperti biasa, bermulalah perang emosi yang akhirnya membawa kepada pelbagai keluh-kesah dan luahan rasa. 

Isu paling ketara, TIDAK DAPAT BERAYA DAN TIDAK DAPAT PULANG KE KAMPUNG HALAMAN. 

Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof
Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof

Ya, ini masuk tahun kedua kita menyambut Aidilfitri dalam kekangan ancaman wabak COVID-19. Dua tahun kita tidak meraikannya seperti dulu dan seperti selalu. 

Situasi ini mula memberi tekanan hebat buat semua warganegara dan netizen di Malaysia. Bilangan kes asyik meningkat (kalau turun pun sedikit sangat) sepanjang Ramadan, jualan di bazar juga terganggu angkara cuaca yang tidak menentu dan klimaks kepada semua ini, tentunya PKP3.0 yang dilaksanakan pada 6 Mei lalu. 

Jari telunjuk mula popular ketika ini. Saling salah-menyalahi dan menjadi  lebih parah bila golongan selebriti juga turut terbabit mengundang kecaman netizen dengan isu melanggar S.O.P. 

Ada yang kata, pihak berkuasa double standard dengan golongan-golongan ahli politik dan selebriti kayangan sehingga mereka ‘kebal’ dari dikenakan hukuman setimpal. Sedangkan rakyat marhain ada yang rela dipenjara dari membayar kompaun lebih RM60 ribu angkara melanggar S.O.P

Ini semua salah itu, salah ini. Kalau tidak buat begitu, tidaklah jadi begini? Dia boleh buat, mengapa aku tidak? 

Semudah itu kita menghamburkan kata. Bukan kamu seorang saja. Bukan kamu seorang saja yang membeli baju raya berpasang-pasang akhirnya duduk diam beraya di dalam rumah sendiri.  

Bukan kamu seorang saja yang ada kampung halaman tetapi tidak boleh pulang meraikan Aidilfitri. Bukan juga kamu seorang saja yang terpisah dengan orang tersayang ketika menyambut Lebaran. Dan mengapa pula perkara tidak wajar yang ingin kita contohi? 

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman
Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Andai dia mati, anda juga ingin ikut dia mati? Saya sekadar bertanya sahaja. Isu keadilan janganlah ditimbang-tara sedemikian. Mohon kita semua berfikiran wajar dan matang.

Bila kita mula menanamkan mindset 'aku seorang saja', maka sifat pentingkan diri-sendiri mula tumbuh dengan subur. Demi  ‘aku seorang’ kita tidak endah akan amaran dan tegahan dari kerajaan.

Argh, peduli apa? Raya tetap raya! Maka ‘aku seorang’ pun berduyun-duyun dengan ‘aku seorang’ yang lain ke pusat membeli-belah. Oh, di sana beli satu percuma satu. Berhimpit-himpit dan berpusu-pusu. Berebut-rebut akhirnya terlupa akan natijah yang bakal diterima.

Itu belum lagi ‘aku seorang’ yang tetap mahu melewati sempadan demi menyambut Syawal bersama keluarga. Atau ‘aku seorang’ yang merasakan perlunya melaram ke sana-ke mari berkunjung tanpa henti kerana terlanjur membeli banyak pakaian ketika membeli-belah. Tidaklah teruk sangat rasa ‘aku seorang’ kamu sebab kamu masih  boleh saja membeli-belah dan sebagainya?

Maka, berhentilah menjadi ‘aku seorang’ yang bakal memalitkan kesalan tidak berpenghujung. Inilah yang kini terjadi di negara India, angkara terlalu yakin dan gembira keterlaluan, akhirnya negara mereka dilanda musibah wabak COVID-19 paling kritikal.

Jangan diraikan perkara yang boleh mengundang bencana, terutama sekali ketika musim penularan wabak ini. Selagi tiada penawar muktamad, jangan pentingkan diri atau ambil kesempatan. Buruk padahnya nanti.

Ingat, ekonomi kita dan dunia amnya makin melesu. Maka, berbelanjalah dengan bijak lagi waras lebih-lebih lagi sewaktu menyambut musim perayaan.

Bila PKP3.0 berlaku, banyak perkara atau perbelanjaan dapat dijimatkan. Kos makanan dan pakaian misalnya. Kerana persiapan ala kadar hanya tertumpu kepada apa yang perlu. Bukan apa yang kita mahu.

Gambar: Alif Omar
Gambar: Alif Omar

Andai kita masih berdegil dengan mengikut jejak langkah ‘aku seorang’ dan ‘aku mahu’, maka bersedialah berdepan dengan malapetaka yang kita tempah sendiri.

Petugas barisan hadapan yang ada kian lelah, lokasi penempatan pesakit juga semakin sesak. Kerajaan sudah berperanan semampunya. Ingatlah, panjang akal kita, maka panjanglah juga nyawa kita. 

Mari, ayuh kita lakukan sekali lagi. Jika sebelumnya (PKP1.0) kita berjaya melaluinya dengan tenang dan syukur, mengapa tidak untuk kali ini?

Ketepikan usikan ‘ini mungkin Ramadan atau Aidilfitri  yang terakhir’ kerana andai kita masih ingkar atau main langgar, percayalah ‘yang terakhir’ pula akan berterusan menghantui tanpa henti, mengambil alih dan seterusnya melenyapkan terus  ‘aku seorang’ dan ‘aku mahu’ yang ada dalam jiwa kau dan aku! - Getaran, 9 Mei 2021

Isu Pada

Faizal Tahir : Saya Akan Terus Menyanyi

08 May 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut