Hublot dan Takashi Murakami baru-baru ini mengumumkan projek artistik keempat mereka dengan melancarkan 13 NFT dan 13 jam tangan baharu yang unik. Kolaborasi unik ini dilihat membawa fesyen dan seni ke satu peringkat berbeza.
"Apabila kerjasama saya dengan Hublot diumumkan, kami memaklumkan bahawa kami akan menggunakan bentuk ekspresi artistik baharu. Selepas menghasilkan semua jam tangan serta karya seni digital ini bersama-sama, kami kini sedang menggambarkan cara baharu untuk mengakses seni kontemporari,” ulas Takashi Murakami.
13 NFT unik ini diilhamkan daripada permainan video dan rancangan TV Jepun tahun 1970-an. Sementara jam tangan Classic Fusion Takashi Murakami All Black yang merupakan kerjasama pertama antara pembuat jam tangan Switzerland ini dengan Takashi Murakami yang telah dilancarkan pada Januari 2021 lalu.

NFT ini dipautkan pada 13 jam tangan Classic Fusion edisi terhad baharu dan unik yang akan dipamerkan di pameran Watches & Wonders 2023 di Geneva.12 daripada jam tangan ini akan tersedia untuk pembelian secara eksklusif dalam talian di www.hublot.com/en-us.
Namun, ia hanya boleh diakses oleh pemilik kepada sekurang-kurangnya satu daripada 324 NFT yang telah dikeluarkan pada bulan April 2022 lalu yang merupakan sebahagian daripada kerjasama ketiga antara Hublot dengan Takashi Murakami.
324 NFT ini pada asalnya ditawarkan kepada para pemilik kepada salah satu daripada dua model jam tangan Hublot dan Takashi Murakami (Classic Fusion Takashi Murakami All Black & Classic Fusion Takashi Murakami Sapphire Rainbow) sebelum jam tangan tersebut dibenarkan untuk didagangkan di OpenSea.
Penjualan akan bermula pada awal bulan April 2023 di Geneva bagi membolehkan mana-mana pengumpul yang berminat dengan salah satu daripada jam tangan baharu ini untuk mengumpul salah satu daripada NFT yang tersedia di OpenSea.
Setiap daripada pembeli bertuah yang membeli salah satu daripada 12 buah jam tangan unik baharu ini akan menerima NFT eksklusif yang sepadan.

Hublot dan Takashi Murakami membawa jam tangan ini sebagai sebuah karya seni ke tahap baharu dengan menghubungkan seni halus pembuatan jam tangan dengan seni digital. Jam tangan yang ke-13 daripada koleksi ini yang dilancarkan di New York ialah Classic Fusion Takashi Murakami Black Ceramic Rainbow yang merupakan karya agung koleksi ini.
Dengan mengambil inspirasi daripada kedua-dua jam tangan yang dilancarkan sebelum ini, jam tangan kali ini memberi tafsiran semula terhadap lambang ikonik Takashi Murakami - bunga tersenyum.
Kini, 12 kelopak bunga yang diperbuat daripada delima, nilam, batu kecubung, tsavorite dan topaz membentuk kecerunan warna yang sempurna. Dengan sistem galas bebola hebat yang dibangunkan oleh para jurutera Hublot, kelopak bunga ini menghasilkan warna berpusing yang menarik ketika ia berputar pada paksi dalam setiap pergerakan.
Kesan kinetik kelopak bunga ini menghasilkan kesan yang menakjubkan terhadap bekas seramik hitamnya yang berukuran 45mm. Bahagian tengah bunga tersenyum ini diletakkan di atas kaca nilam untuk menghasilkan kesan tiga dimensi.

Sebanyak 12 rujukan lain yang akan tersedia untuk dibeli oleh para pemilik NFT pada platform e-dagang yang khusus, adalah untuk mengingati bunga induk ini dan mewakili salah satu daripada kelopaknya. 12 rujukan untuk 12 jarum jam pada permukaan jam berserta 12 NFT.
Para pengumpul akan mempunyai tempoh selama satu tahun di mana mereka berpeluang untuk berdagang 12 NFT tersebut pada platform OpenSea.
Pada bulan April 2024, iaitu pada penghujung tempoh tawaran tersebut, hanya pengumpul yang telah berjaya mengumpul kesemua 12 NFT unik baharu ini yang akan layak untuk membeli jam tangan ke-13 yang amat dicari-cari: iaitu Classic Fusion Takashi Murakami Black Ceramic Rainbow.
Sekiranya tiada seorang pun yang berjaya mengumpulkan kesemua 12 NFT tersebut, jam tangan ini akan dilelong oleh Hublot bagi mengumpul dana untuk tujuan amal. - Getaran, 5 Februari 2023