Berita Terkini

7 jam yang lalu: 11,000 ketua isi rumah di Selangor bakal terima manfaat Bakul Rahmah 7 jam yang lalu: Pelantikan Anifah sebagai Senator akan tingkatkan ekonomi Labuan - LCC 7 jam yang lalu: Dapatan kajian semakan Akta Pengemis selesai September ini - Nancy Shukri 7 jam yang lalu: JPN, SPRM tumpas sindiket seludup pendatang tanpa izin Filipina melalui jalan udara 12 jam yang lalu: Australia: Acara Earth Hour dibatalkan susulan amaran ribut petir

IKUTI KAMI


Kontroversi Filem Di Malaysia

Melihat kepada isu tentang kontroversi serta pengharaman filem di Malaysia, ia bukanlah perkara baru kerana saban tahun pasti akan ada filem terbitan tempatan mahupun antarabangsa yang akan berhadapan dengan situasi sebegini. 

TARA Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jan 2023 9:30PM

Antara filem-filem kontroversi di Malaysia. Dari kiri filem...dalam botol, Dukun dan Fantasi.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dunia sinema Malaysia kembali hangat dengan munculnya satu trailer filem berjudul Pulau yang memaparkan sekumpulan anak muda sedang beriadah di sebuah pulau peranginan. 

Treler filem itu menyaksikan beberapa aksi panas lagi mendebarkan melibatkan gadis berbikini serta memakai pakaian yang mencolok mata.

Seperti biasa apabila timbul kontroversi sebegitu maka timbullah pelbagai persoalan tentang bagaimana filem tersebut boleh lulus untuk ditayangkan di pawagam. 

Pelbagai pihak juga menuntut agar filem ini diharamkan kerana telah melanggar tata susila negara ini. 

Berikutan itu, penerbitnya Fred Chong telah tampil untuk memberikan penjelasan berkaitan kontraversi yang timbul. 

Menurutnya filem Pulau telah mendapat kelulusan daripada pihak berwajib pada bulan September 2022. Filem ini juga telah membuat beberapa suntingan bagi mendapatkan kelulusan tersebut. Justeru itu tidak timbul tentang kenapa filem itu perlu dihalang dari ditayangkan.

Tambahnya lagi filem itu bukan filem lucah sebaliknya ia adalah filem yang bergenre seram. Lebih dari itu filem ini juga bertujuan untuk mengetengahkan keindahan pulau yang ada di negara ini serta memaparkan keunikan latarbelakang pelbagai kaum di Malaysia.

Melihat kepada isu tentang kontroversi serta pengharaman filem di Malaysia, ia bukanlah perkara baru kerana saban tahun pasti akan ada filem terbitan tempatan mahupun antarabangsa yang akan berhadapan dengan situasi sebegini. 

Filem-filem gagal ditayangkan atas pelbagai sebab seperti menyetuh sensitiviti agama, politik, bersifat perkauman, seksual serta hubungan terlarang.

Di antara filem tempatan yang pernah dihambat kontroversi adalah Fantasia arahan Aziz M. Osman pada tahun 1991. Ia adalah kisah Silbi yang merogol dan menghisap darah anak dara semasa bulan purnama sebagai prasyarat untuk awet muda. 

Disebabkan jalan ceritanya itu, pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah meminta penerbit filem untuk memotong beberapa babak bagi memenuhi kriteria untuk kelulusan dan setelah memenuhi arahan tersebut, filem itu masih gagal untuk ditayangkan. 

Filem Fantasia akhirnya berjaya ditayangkan setelah Perdana Menteri meminta ianya disemak semula dan setelah melalui sekali lagi proses suntingan, filem tersebut berjaya ditayangkan dengan judul baru Fantasi.

Masih ingatkah lagi kisah tragis pembunuhan Datuk Mazlan Idris oleh Mona Fandey?

Kisah tersebut telah diangkat untuk dijadikan filem oleh pengarah hebat Dain Said. Filem yang berjudul Dukun ini merupakan adaptasi daripada kisah sebenar pembunuhan tersebut. Disebabkan jalan ceritanya, filem Dukun gagal untuk ditayangkan pada 2007. 

Selain itu filem ini turut mendapat mendapat bantahan dan tentangan daripada ahli keluarga yang terlibat. Sungguh pun demikian filem ini akhirnya berjaya menjengah ke panggung pada tahun 2018. 

Filem Muallaf arahan sutradara unik Malaysia Yasmin Ahmad tidak terkecuali dari dihimpit kontroversi. Filem ini mengisahkan 3 orang individu yang mencari kedamaian melalui agama. 

Selain isu agama, babak pelakon utamanya Sharifah Amani yang membotakkan kepala turut mengundang pelbagai kecaman.

Filem Muallaf ditayangkan terlebih dahulu di Singapura dan setahun kemudian barulah ditayangkan di Malaysia. Biarpun dihimpit kontroversi, Sharifah Amani berjaya menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2010.

Membaca tajuknya sahaja sudah tahu ia akan mengundang kontroversi, .…Dalam Botol arahan Khir Rahman mengisahkan tentang seorang lelaki normal yang kemudiannya bertukar menjadi perempuan. 

Filem ini mengundang pelbagai kritikan kerana mengangkat tema cukup tabu iaitu homoseksual dalam kalangan lelaki Melayu.

Pelakon utamanya, Arja Lee juga dikatakan berbogel untuk menjayakan satu babak di dalam bilik air. 

Filem yang ditayangkan pada 2011 ini turut membariskan ramai pelakon terkenal diantaranya ialah Fauziah Ahmad Daud, Diana Dannielle, Wan Raja, Norma Damanhuri dan Pekin Ibrahim. Penerbit filem dan penulis skrip pula ialah Raja Azmi.

Filem dari luar negara juga tidak terkecuali diharamkan tayangannya di Malaysia. Filem berjudul Noah yang diterbitkan pada tahun 2014 diharamkan siarannya kerana filem ini memaparkan tentang kisah Nabi Nuh. 

Watak utamanya dilakonkan oleh pemenang anugerah Akademi, Russell Crowe dan dibantu oleh ramai pelakon berbakat diantaranya ialah Emma Watson, Jennifer Connelly dan Anthony Hopkins. Filem ini juga diharamkan tayangannya oleh banyak negara-negara Islam.

Filem adiwira kesayangan ramai Thor: Love and Thunder juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi pengharaman pada tahun 2022. Filem ini tidak mendapat kebenaran untuk disiarkan di panggung wayang kerana mempromosikan budaya LGBT serta terdapatnya adegan Thor sedang berbogel. 

Pengumuman ini membuatkan ramai pemintanya berasa kecewa kerana kali terakhir filem Thor muncul secara solo adalah pada 2017.

Filem animasi Lightyear yang diterbitkan tahun 2022 juga tidak terlepas dari kontroversi serta diharamkan tayangannya bukan sahaja di Malaysia tetapi pelbagai negara di seluruh Asia dan Asia Barat. 

Filem terbitan Disney ini dikatakan cuba mempromosi dan menormalisasi isu lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Pihak Disney juga enggan berkompromi dengan membuat suntingan dan mahukan filem itu ditayangkan seadanya. 

Menyorot kembali kepada kontroversi penyiaran filem di Malaysia, dapatlah difahami bahawa situasi seperti pertikaian pelbagai pihak, kecaman mahupun saranan agar filem diharamkan dari tayangan akan sentiasa berlaku. 

Perkara ini bukan terjadi di negara kita tetapi berlaku di negara-negara lain juga. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap negara mempunyai nilai-nilainya yang tersendiri untuk dipertahankan seperti ideologi politik, agama, adat resam dan lain-lain lagi.

Berbalik kepada kontroversi yang melanda filem Pulau, ramai pihak yang memberikan pendapat bahawa filem itu seharusnya dilihat sebagai satu naskah filem yang kreatif.

Jangan hanya berdasarkan satu trailer pendek maka filem ini perlu diharamkan tayangannya. 

Jika dilihat pada barisan pelakonnya, ia terdiri dari pelbagai bangsa sesuai dengan keadaan negara kita yang majmuk. Mereka sangat berpengalaman dalam dunia lakonan dan sudah tentu arif tentang keadaan sensitiviti masyarakat negara ini. 

Justeru itu tidak timbul isu eksploitasi murahan untuk melariskan filem. Salah seorang pelakonnya, Ikmal Amry juga sempat menitip pesan buat semua, “siapa tidak suka, tidak perlu tengok”. – Getaran, 29 Januari 2023 

Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).





 

Isu Pada

Jalan Jauh Ayda Jebat

28 Jan 2023

Sorotan

1

Hapus Monopoli PUSPAKOM Buka Ruang Tambah Baik Perkhidmatan

2

KKM Teruskan Ops Kebersihan Di Bazar, Pastikan Keselamatan Makanan Diambil Berat

3

Pelbagai Tokoh Sertai MARA Demi Pastikan Integriti, Tadbir Urus Dapat Ditambah Baik

Disyorkan untuk anda

TARA 19 jam yang lalu

Banyak Cabaran Yang Dilalui Vino G Bastian Kala Menghidupkan Watak Tokoh Penting Buya Hamka

oleh Helmi Anuar

TARA 7 jam yang lalu

Kartunis Tazidi Yusof, Merakam Nostalgia 

Selain melukis mengenai Tarzan, Tazidi turut berkolaborasi dengan Jaafar Taib dalam ruangan Kalau. Ruangan ini adalah mengenai kisah masyarakat umum yang sering...

oleh Muhammad Rasfan Abu Bakar

TARA 11 jam yang lalu

Inisiatif 'Women Take the Wheel' Tingkatkan Pengalaman Wanita Membeli Kereta

Wanita akan diberi bimbingan, terutamanya dalam aspek teknikal dan hal-hal berkaitan peringkat awal proses pembelian kereta di Carsome.

oleh Izwan Ramlan

TARA 19 jam yang lalu

Thanuja Ananthan Bukan Hanya Glitz And Glam

oleh Rubini Nagarajah