Berita Terkini

17 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Maya Karin: Saya Tak Rasa Tergugat

Selepas dua dekad menebar bakat, bintang tersohor tanah air, Maya Karin berkongsi perihal perjalanan kerjaya dan kehidupannya kini.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Apr 2021 8:54AM

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sudah lama saya tidak bersua muka dengan wanita jelita yang bernama penuh, Maya Karin Roelcke ini. Dan biarpun sudah lebih dua dekad meminjamkan bakatnya untuk tatapan ramai di layar perak sehingga menjulang ajnas anugerah, Maya masih orang yang sama.

Kalau di Malaysia, pelakon, pengacara dan penyanyi berdarah kacukan Melayu-Jerman ini sudah boleh dianggap bertaraf superstar kerana latar belakangnya yang begitu hebat.

Maya pernah memenangi pelbagai penghargaan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Namun semua itu sedikit pun tidak mengubah keperibadiannya yang sangat merendah diri.

Sebaik sahaja tiba di perkarangan lobi One World Hotel Petaling Jaya di Bandar Utama, yang telah sudi menaja lokasi penggambaran kami, saya disambut dengan senyuman mesra Maya yang teruja melihat saya di pintu masuk sejurus dirinya turun dari kereta.

Ini kerana kami sudah lama saling mengenali, sedari awal kemunculannya dalam dunia seni hiburan sekitar dua puluh tahun yang lalu. 

Selama tempoh yang panjang itu, kami hanya sempat bertemu di acara-acara khas ataupun di sesi wawancara serta fotografi yang telah dijadualkan. Dan kesempatan seperti itu langka, kerana jadual Maya yang sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti kesenian serta kegiatan peribadi.

Lantas, kesudian Maya meluangkan masa untuk menjadi sampul digital terbaru kami memang sangat dihargai (Danke schön, Maya!)

“Semasa diberitahu oleh pengurus saya ada sesi wawancara dan fotografi, saya terus menerimanya kerana dah lama tak beraksi depan kamera. Rindu nak ambil gambar untuk media,” katanya penuh kegembiraan.

Biarpun tiba dengan wajah polos, Maya tetap cantik. Ya, kalau menurut saya, itulah kelebihan bintang yang ada aura tersendiri. Sesuai gelarannya seorang bintang filem yang telah membawa pulang aneka anugerah berprestij, Maya masih mampu tampil jelita dan penuh keyakinan biarpun sudah menjangkau usia 40-an. 

Malah pagi itu, Maya kelihatan semakin cantik dan tampak begitu langsing serta segar.

“Sebenarnya sekarang saya sibuk dengan aktiviti sukan. Sebab tu gelap sikit,” dia berjenaka.

Katanya, sejak Pandemik COVID-19 melanda dunia hingga terlaksananya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, Maya seperti semua orang lain, menemui banyak waktu yang terluang. Atas dasar itu, dia memilih untuk bersukan dan bersenam.

“Setiap hari ada sahaja aktiviti sukan yang saya lakukan. Ada juga yang lasak. Tapi saya sedang cuba untuk mengurangkan kegiatan saya dan sedang cuba memilih tiga aktiviti sukan sahaja.”

Siapa yang sangka rupa-rupanya Maya seorang yang sangat aktif bersukan. Menurutnya, dia dan adik-beradiknya dulu sering menggondol semua trofi sukan di zaman persekolahan mereka. 

“Sejujurnya saya tak tahu sukan apa yang belum saya cuba. Saya dah cuba hampir kesemua sukan yang ada. You name it. Dari jetski, motorcross, ski salji, ski air, hoki, bola keranjang, bola jaring, dodge ball, apa lagi? Semuanya pernah saya cuba.

“Ibu bapa saya memang telah mendedahkan adik-beradik saya dengan pelbagai kelas serta aktiviti sukan sewaktu kecil, ini termasuk menunggang kuda, bermain tenis dan macam-macam lagi,” jelas Maya.

Menurutnya lagi, kegiatan sukannya juga membantu meluaskan jaringan sosialnya dan mempertemukannya dengan pelbagai kenalan baru yang bukan ditemui di acara-acara berkaitan kerja.

“Bila bertemu di acara makan atau keluar minum bersama rakan-rakan baru ini, kami boleh membahaskan apa sahaja. Dari politik, falsafah hinggalah ke dunia hiburan.

“Saat saya bersosial inilah juga saya dapat berjumpa mereka yang sukakan aktiviti sukan yang sama dan kemudian membawa kepada aktiviti harian saya. Lebih-lebih lagi sewaktu PKP di mana saya banyak waktu senggang.

“Malah, sejak saya berkongsi di media sosial yang saya sudah mula bermain golf, saya terima begitu banyak pelawaan daripada ramai orang, khasnya VIP yang ingin bermain golf dengan saya. Ramai di kalangan mereka yang bergelar ‘dato’ mengajak saya untuk bermain golf bersama,” jelas Maya dengan senyuman.

“Apapun, peluang untuk beriadah ini saya terima dan gunakan sepenuhnya. Saya tak mahu merungut tentang kekurangan kerja seni buat kami di bidang ini, sebaliknya saya ambil yang positif.

“Lagipun dulu kalau sibuk bekerja, saya tiada masa nak bersenam dan terpaksa curi-curi waktu lapang untuk ke gimnasium. Kini semuanya saya dapat rancang dengan baik sementara belum boleh bekerja sepenuhnya,” tambah Maya lagi. 

Bercakap soal kerja, Maya sebenarnya baru sahaja selesai mempromosikan filem Bulan dan Pria Terhebat yang sayangnya tidak dapat ditayangkan sepenuhnya di pawagam tahun lalu seperti rancangan asal. Jadi untuk tahun ini ia hanya sempat ditayangkan di saluran khas stesen TV berbayar.

“Tapi jumlah kutipan sudah tentulah tidak sama dengan jumlah kutipan di pawagam kalau ditayangkan di saluran khas TV berbayar sahaja.

“Biarpun saya hanyalah pelakon pembantu dalam filem itu, saya sentiasa memberikan yang terbaik tiap kali saya bekerja dan sentiasa menyimpan harapan besar untuk semua filem yang membabitkan lakonan saya, tidak kiralah watak besar atau kecil.

“Ada beberapa filem lagi yang telah saya selesaikan tapi masih menanti waktu tayangan gara-gara pandemik ini. Ini termasuklah filem Olympic Dreams dan Abang Long Fadil 3 yang ditunggu ramai.

“Saya yakin filem itu boleh mengaut untung yang banyak jika ditayangkan sepenuhnya di pawagam. Tapi apakan daya. Semuanya terpulang kepada pihak penerbit,” ujar Maya tentang perkembangan kerjayanya.

Biarpun tawaran filem banyak tergendala gara-gara COVID-19, Maya sempat berkongsi bahawa dia tidaklah mengharapkan kepada lakonan sebagai mata pencarian utamanya.

“Alhamdulillah, sejak awal lagi saya menceburi bidang ini saya sudah membuat pelaburan hartanah. Sekurang-kurangnya di usia tua nanti, walau apa pun terjadi saya tahu saya ada tempat tinggal dan buat masa sekarang, ini menjadi sumber pendapatan saya selain berlakon,” katanya.

Saat ditanya sampai bila dia ingin berlakon, Maya memberitahu jika diizinkan dia ingin melakukannya sehingga ke hujung nyawa. Namun bila disoal jika dia rasa tergugat dengan bakat-bakat baharu yang muncul setiap hari dengan ratusan ribu pengikut di media sosial, Maya menjawab ringkas.

“Tidak, saya tak rasa tergugat.”

“Sejujurnya ada ramai pelakon baharu yang cantik jelita dan berbakat sekarang.

“Saya tidak menafikannya tetapi sejujurnya saya dah lama tak nampak yang betul-betul menyerlah atau luar biasa. Seperti pertama kali kita melihat Sharifah Amani dalam Sepet atau Fazura dalam Bicara Hati, kita dapat melihat ada sesuatu yang istimewa, ada karisma pada diri mereka. Itu maksud saya.

“Dan kalau nak berbicara tentang bakat-bakat baharu yang mempunyai ratusan ribu pengikut di media sosial, ia isu yang tak berkesudahan. Saya sedia maklum itulah era yang kita lalui sekarang tapi saya masih berpegang teguh pada tunjang utama seorang anak seni, iaitu bakat. Itu yang paling penting. Yang lain-lain tu bonus.

“Saya sendiri terpaksa menyertai dunia media sosial untuk kekal relevan kerana saya tahu itu tuntutan masa kini. Pada masa yang sama saya juga tahu demografik para pengikut saya secara terperinci,” tambahnya lagi.

Menurut Maya kebanyakan pengikutnya terdiri daripada golongan wanita (sebanyak 55 peratus dan rata-rata pengikutnya berumur antara 24 hingga 35 tahun). Yang paling mengejutkan katanya, kedudukannya di media sosial lebih menyerlah di kawasan seperti Shah Alam, Kelantan dan Terengganu!

“Saya memang tak sangka. Tapi itulah kuasa media sosial. Oleh kerana itulah saya jadikan lakonan sebagai jentera penjenamaan saya dan bukan sumber pencarian utama,” tambahnya lagi.

Oleh sebab itu juga, Maya tidak pernah keberatan mengambil watak sampingan atau pembantu dalam sesebuah filem.

“Ingat, sebagai pelakon kita tidak harus menolak tawaran menjadi pelakon pembantu semata-mata kerana ia watak sampingan. Jangan juga terima tawaran tanpa menyelidik kekuatan watak sampingan tersebut, kerana ada pelakon pembantu yang kadang lebih menyerlah dari pelakon utama sendiri.

“Pelakon antarabangsa Dame Judi Dench pernah memenangi anugerah berkat lakonannya selama lapan saat sahaja dan Renée Zellweger pula pernah menang anugerah Oscar sewaktu menjadi pelakon pembantu kepada Nicole Kidman.”

“Jadi ada banyak cara sebenarnya untuk menyerlah. Anda tidak perlu menjadi pelakon utama untuk menonjol kerana jika tiada aura tersbut anda akan tetap tenggelam.

“Maaf, tapi kalau saya memegang watak pelakon pembantu saya tetap akan berlakon seperti watak utama, kerana itulah saya yang sebenar. Saya berikan yang terbaik,” tegas Maya berani.

Di tengah-tengah wawancara ini Maya tiba-tiba tersenyum selepas mendapat pesanan ringkas di telefon bimbitnya. 

Oh, my date just texted me back. It feels good knowing that I have a date tonight,” jelas Maya sambil tertawa kecil.

Lantas saya pun berpindah topik dan bertanyakan perihal kehidupan cintanya.

You know, saya pernah terbangun jam dua atau tiga pagi dan merasa terganggu melihat kandungan media sosial yang tika itu saya anggap ‘terlalu merimaskan’ hingga saya unfollow semua dalam senarai yang saya ikuti.”

“Mungkin waktu itu saya berasa murung atau tertekan, saya tidak pasti.

“Jadi saya hubungi Bront Palarae, kawan baik saya dan juga rakan layar kegemaran saya kalau berlakon. Dia menasihati saya dengan berkata media sosial itu papan iklan diri saya. Dan saya boleh kongsi apa sahaja yang saya mahu dan tidak perlu risaukan apa yang orang lain fikirkan. Ia milik saya. Jenama saya.

“Selepas itu barulah saya berasa tenang dan mengikuti semula mereka yang sudah saya ikuti sebelum ini.

“Namun sejak 10 tahun bercerai dengan bekas suami, saya tak boleh bohong. Memang kadangkala saya berasa sunyi. Kesepian. Apatah lagi di tengah musim PKP ini. Saya tidak boleh bekerja dari rumah seperti orang lain.

“Biasanya kalau sedang menjalani penggambaran saya dikelilingi ramai orang. Para kru yang bertugas, rakan artis dan sebagainya. Tapi bila PKP ini saya hanya sendirian. Lebih-lebih lagi sekarang saya ada kediaman sendiri dan tinggal sendirian di rumah. Jadi rasa sepi itu pasti timbul dan sometimes you feel totally alone,” kata Maya menjelaskan suasana.

“Seperti orang lain sudah tentu saya inginkan pasangan dalam percintaan. Dan bukan tidak ada pelawaan. Ada. Tapi pilih pasangan bukanlah mudah. Kita mesti berhati-hati dan buat pilihan yang paling tepat. Jadi sementara ini, saya masih belum berpunya dan sebab itu saya masih boleh keluar dengan orang untuk berkenalan,” jawab Maya sambil menutup bicara dengan senyuman manisnya.

Apapun langkah seterusnya yang akan diambil oleh Maya, kami yakin dia akan membuat keputusan yang terbaik dan kami di Getaran akan terus menyokongnya. Semoga kesunyian Maya akan terubat tidak lama lagi. – Getaran, 10 April 2021.

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Maya Karin

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Shah Shamshiri

Penata Gaya : Vee Mukhtaram

Busana : Milik Penata Gaya

Solekan: Jib Salim

Dandanan: Jib Salim

Jurugambar & Arahan Seni : Azim Rahman

Video Belakang Tabir : Syeda Imran

Suntingan Video Belakang Tabir : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Peridot Lounge di One World Hotel, Petaling Jaya (Terima Kasih Puan Feryal Khalil Mufti dan pihak pengurusan hotel)

Isu Pada

Maya Karin: Saya Tak Rasa Tergugat

10 Apr 2021

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut