Berita Terkini

10 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Rasa Tak Puas Tonton Konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan

Menyaksikan S. Atan diberikan penghormatan oleh DFP saat karya-karyanya dipersembahkan MPO bersama penyanyi senior Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz adalah suatu momen yang cukup luar biasa.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 May 2022 2:00PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Malam yang membangkitkan nostalgia! Itulah yang boleh disimpulkan tatkala menyaksikan konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan yang dipersembahkan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini. 

Konsert yang berdurasi selama satu jam ini menghimpunkan lagu-lagu raya lama yang hit, klasik dan ikonik yang dipersembahkan dalam bentuk orkestra sama ada secara instrumental mahu pun berserta dengan penyanyi. 

Sekaligus, ia berjaya membawa kita menelusuri semula segala kenangan silam yang pernah kita lalui terhadap keseronokan, keterujaan dan kesibukan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri terutama sewaktu membesar sebagai kanak-kanak dan remaja. 

Lagu-lagu raya ini telah menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam hidup kita setiap kali menyambut raya. Bahkan, sehingga saat ini pun, sambutan raya terasa kosong atau tidak lengkap jika lagu-lagu raya lama ini tidak berkumandang. 

Begitulah impaknya, lagu-lagu raya lama dahulu jika dibandinkan dengan sekarang. Maka, usaha DFP dan MPO membawakan konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan yang julung kali diadakan ini, wajar sekali dipuji. 

Esensi konsert ini bukan terletak pada lagu-lagu raya lama yang ikonik ini semata-mata tetapi apa yang lebih penting ia turut membawa kita mengenali dan mendekati sosok karyawan muzik yang selama ini bertanggungjawab menghasilkan puluhan lagu-lagu raya yang selama ini kita nikmati zaman-berzaman. 

Terima kasih buat S. Atan. Lagu-lagu raya ciptaan beliau seperti Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Balik Kampung (Sudirman Haji Arshad), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid), Inang Di Aidilfitri (Zaleha Hamid & Sudirman Haji Arshad), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave) dan Joget Hari Raya (Zaleha Hamid & Herman Tino) cukup memberikan impak di dalam kehidupan kita semua. 

Menyaksikan S. Atan diberikan penghormatan oleh DFP apabila karya-karya lagu beliau diangkat dan dipersembahkan MPO iringi persembahan beberapa penyanyi berkaliber tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz adalah suatu momen yang cukup luar biasa. 

Bersesuaian dengan tema Aidilfitri, MPO yang dipimpin Ahmad Muriz Che Rose ini membuka persembahan dengan beberapa lagu raya klasik ciptaan komposer lain iaitu Selamat Hari Raya, Bila Takbir Bergema, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri yang disusun oleh Ilham Subri. 

Gabungan lagu medley yang dipersembahkan MPO ini membuai jiwa dan persembahan di dalam bentuk orkestra simfoni menjadikan lagu-lagu ini lebih penuh dan setiap alatan muzik memberikan nyawa kepada lagu-lagu ini.

Datuk Jamal Abdillah muncul mempersembahkan lagu raya nyanyiannya sendiri iaitu Salam Aidilfitri dengan suara maskulin emasnya yang tidak pernah lapuk dek zaman itu, sebelum muncul kembali dengan lagu Menjelang Hari Raya dan lagu duet Joget Hari Raya bersama Azlina Aziz. 

Beliau diusik Azlina kerana tidak mengenakan baju raya pada malam itu dan kemudian memberitahu bahawa Azlina sudah makin bijak bergurau. Apapun, paduan suara dan nyanyian mereka memang cukup kena dan serasi sekali. 

Maestro-komposer S. Atan turut mengiringi persembahan Jamal dengan bermain akordion menerusi lagu Salam Aidilfitri. 

Kemunculan Azlina memang dinanti-nantikan. Azlina berjaya membawakan versi lagu Hari Mulia dengan caranya sendiri. Namun, menyaksikan Azlina membawakan lagu rayanya sendiri iaitu Indahnya Beraya Di Desa adalah suatu momen yang cukup mahal. 

Mahal kerana kita jarang sekali menyaksikan Azlina membawakan lagu raya ini di mana-mana persembahan berbanding Jamal dengan lagu Salam Aidilfitri. 

Azlina juga memberitahu bahawa dia sangat berterima kasih kepada S. Atan kerana menciptakan lagu raya tersebut buat dirinya. 

“Selalu orang bertanya, ke mana perginya Azlina Aziz. Lama tak dengar cerita. Tapi, setiap kali menjelang raya, pasti lagu raya Azlina Aziz ini orang tidak akan lupa dan akan dengar,” katanya yang masih kelihatan anggun dan menawan pada usianya yang bakal melewati 60 tahun pada 6 Jun ini. 

Azlina turut berduet dengan Jay Jay menerusi lagu Inang Di Aidilfitri dan lucu sekali apabila dia mengusik vokalis Carefree itu kerana terlalu banyak bercakap pada malam konsert. 

Jay Jay pula menggalas tugas untuk membawakan lagu Cahaya Di Aidilfitri dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf. Memang sesuai sekali vokalnya membawakan lagu-lagu tersebut. Bak kata Ahmad Muriz, dia memilih Jay Jay kerana percaya akan kemampuannya itu. 

MPO turut membawakan sebuah lagi persembahan instrumental medley menerusi lagu Suara Takbir, Aidilfitri Hari Mulia, Pulanglah dan Balik Kampung yang disusun Luqman Aziz. Rendisi mereka untuk lagu Aidilfitri Hari Mulia dan Pulanglah memang cukup hebat sekali. 

Tidak hairanlah ada penonton yang dilihat menitiskan air mata. Barangkali, mereka berasa cukup terkesan dengan emosi lagu-lagu itu. 

Persembahan konsert ini diakhiri dengan lagu Balik Kampung nyanyian beramai-ramai Jamal, Jay Jay dan Azlina Aziz serta S. Atan. 

Konsert selama satu jam itu berlalu dengan cepat. Memang tidak puas rasanya mendengar persembahan lagu-lagu raya klasik ini. 

Pasti ramai yang berharap DFP dan MPO akan terus mengadakan konsert lagu-lagu raya yang seperti ini di masa akan datang. DFP dan MPO harus mengadakannya lagi! Lagipun terbukti bahawa konsert ini mendapat sambutan apabila tiketnya habis dijual. - Getaran, 29 Mei 2022.

Gambar: DFP 

Isu Pada

Menggapai Awan Biru

28 May 2022

Berita Berkaitan

1

Selebriti 4 hari yang lalu

‘Saya Belum Layak Dapat Gelaran Biduanita’ - Ziana Zain 

2

Muzik 5 hari yang lalu

Konsert Aina Abdul Penanda Aras Baharu MPO - Konduktor

3

Selebriti 3 minggu yang lalu

 Alif Satar Perluas Kempen #GengSubuhMacamJumaat Ke UK

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Kematian Akibat Tembakan Di Dewan Konsert Di Moscow Melepasi 60 Orang

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan