Berita Terkini

20 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Masa Depan Adalah (Lepak) Kolektif

Masih ramai yang kurang faham dengan maksud 'kolektif', terutama sekali jika ia ada hubung kait dengan seni. Minggu ini, Mohd Jayzuan bercerita tentang kolektif, lepak dan Projek Rabak yang dimulakannya.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Mar 2021 9:00AM

Lawatan 'Hubs For Good' ke UK tajaan British Council. Gambar: Arkib Projek Rabak

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kerja kolektif macam berkenduri, sekumpulan manusia bersetiakawan dalam satu gerakan bagi mencapai perkara-tujuan yang mereka ghairah-idamkan

Beberapa tahun ini budaya berkolektif di Malaysia kelihatan makin rancak dengan munculnya pelbagai kolektif yang banyak dibangunkan seniman dan pekerja budaya.

Ini satu petanda bagus, perfecto, sempoi baqhang-- mengambil sendiri tindakan mewujudkan ekosistem tanpa terlalu atau langsung tak bergantung kepada pihak-pihak yang kadangkala mengunakan artis-seniman hanya untuk menagih saham dan sudah pasti dambakan ‘street cred’. 

Dalam situasi Malaysia yang tak begitu pedulikan seni sebagai mata pelajaran penting di sekolah, kolektif mengambil tempat sebagai penyelamat itu.

Mendorong pemimpi untuk percaya dan tetap semangat mengharung arus ombak-badai-ribut-petir menempuh pandangan rendah masyarakat terhadap bidang seni apatah lagi karier sebagai artis-seniman.

Jack Malik di Pasar Loken, Ipoh (2018). Gambar: Hadib Salam
Jack Malik di Pasar Loken, Ipoh (2018). Gambar: Hadib Salam

Kolektif tak ubah seperti ‘support group’, menawarkan bantuan serta kelapangan mental-fizikal tanpa memikirkan balasan sebagai hal utama. Bermasyarakat dalam kolektif adalah pilihan terbaik setiap sosok ada bagi mencapai impian terutama yang aneh atau asing jika mengikut pandangan jalur konvensional. 

Jangan pandang sebelah mata kuasa berkolektif dan komuniti. Tristan Tzara dalam kubur tahu tentang itu. 

Berkolektif adalah cara yang lebih afdol untuk masa hadapan, orang-orang bersama zakat-bakat untuk mencapai satu (dua, tiga atau lebih) tujuan tanpa terlalu menekankan tentang keuntungan wang semata.

Sebab utama jalan kolektif ini harus dirayakan kerana ia lebih manusiawi berbanding sistem kerja kapitalis yang jelas mementingkan hanya untung-rugi, bayar, bayar, bayar dan sentiasa penting diri. Kolektif harus berjiwa mempunyai 'kimia' antara satu sama lain lalu bergandingan menggalas tanggungjawab. 

Untuk berkolektif adalah untuk bergotong-royong, tidak berkelas-kelas dan nyah-elit

Projek Rabak, kolektif multidisiplin saya bersama kawan-kawan menjana pendapatan melalui berkolektif. Berada bersama kolektif tak bermakna harus poket berhabuk pokai.

Dhan Illiani Yusof, Arus Binti (2019), Jakarta. Gambar: Arkib Projek Rabak
Dhan Illiani Yusof, Arus Binti (2019), Jakarta. Gambar: Arkib Projek Rabak

Ia lebih tentang bagaimana untuk seimbangkan keghairahan berseni-budaya dan bukan hanya mengenai keuntungan melulu. Itu menurut firasat saya elemen sungguh penting dan amat mustahak perlu difahami sebelum mahu berkolektif.

Dalam dunia yang banal ini, semua harus ada batas dan cara yang paling cun adalah bersederhana.

Rabak tidak menolak buta-buta, masih berkerjasama dengan pelbagai lapisan dan pasaran, daripada organisasi dalam dan luar negara, kerajaan negeri, persatuan, syarikat-syarikat persendirian (ada juga yang elit dan terlalu korporat), individu, BBNU, otai atau petai semuanya kami hulurkan jabat selagi ia berkompromi tak melampaui garis etika Rabak. 

Masih tetap bikin aktiviti D.I.Y (do it yourself) bersama kumpulan atau individu persendirian yang kebanyakan programnya tak mendatangkan RM pun, ia sungguh penting pada gerakan kecil kami kerana rutin ini membuatkan Rabak sentiasa sedar, rendah diri dan sebagai peringatan bukan semua hal adalah tentang Ringgit, Pound, Dolar, Taka, Rupee, Peso, Baht mahupun ufti. 

Sentiasa beringat yang dari D.I.Y kami datang, kepada D.I.Y kami beri.

Dhan Illiani Yusof, Arus Binti (2019) Yogyakarta. Gambar: Arkib Projek Rabak
Dhan Illiani Yusof, Arus Binti (2019) Yogyakarta. Gambar: Arkib Projek Rabak

 

DALAM PENUH SERIUS RABAK BERMAIN 

Pada 26 Januari 2021 lalu, Rabak menyambut ulang tahun ke-10 dan tanggal 16 Mac 2021 pula adalah ulang tahun ke-8 Khizanat, ruang seni budaya ditubuhkan Rabak.

Melihat atau membaca pada pencapaian ini, ia kedengaran atau kelihatan gah dan romantik sekali, perlu diingat-tekankan, berkolektif bukan kerja cincai. Dalam bermain santai ria, ada disiplin, komitmen dan ketekalan wajib dipasak.

Rabak mengambil serius kerja kolektif, setiap daripada kami ada peranan masing-masing daripada tukang merancang, menguruskan projek, penulis proposal, menyelia sosial media, memasak, krew malahan ada yang kepakarannya sebagai sahabat ‘road trip’ mencari makan sedap.

Setiap individu memegang peranan penting melancarkan operasi kolektif, Rabak melampaui dan tak hanya tentang seni-budaya.

Pernah satu ketika, Rabak menjaga sebuah Sekolah Pondok jauh di hujung sempadan negara, Pengkalan Hulu. Mudah, apa saja yang buatkan Rabak tertarik, kami akan terjun ke dalamnya dan cipta ekosistem. 

Latihan atau praktis berkolektif Rabak sangat suang, kami menganggap Rabak adalah sekolah tempat belajar dan meneroka.

Dhan Illiani Yusof, Arus Binti, Ipoh (2019). Gambar: Hadib Salam
Dhan Illiani Yusof, Arus Binti, Ipoh (2019). Gambar: Hadib Salam

Peranan Rabak fokus mengasah-tajamkan potensi terutamanya segi artistik, falsafah, ilmu, jaringan serta dalam masa sama membuka-beri peluang serta pendedahan sejauh-banyak mana yang mungkin dan cuba menyokong apa-apa yang kami gemari serta selesa.

Dengan ekosistem yang kami bentuk, Rabak sentiasa buka pintu bukan hanya pada seniman atau pekerja budaya malahan orang kebanyakan untuk menggali peluang dan rayakan hidup. Di kem Rabak bukan semuanya seniman atau pekerja budaya, yakin saya katakan, lebih ramai orang biasa berbanding artis dalam lingkaran kami. Semuanya melepak tanpa kisah tentang darjat dan kelas. 

Seni adalah perkara kedua atau ketiga atau boleh jadi keempat dalam hierarki keutamaan dalam ber-Rabak.

Mohd Jayzuan, Sefa, Iqbal Razak, Ipoh (2019). Gambar: Arkib Projek Rabak
Mohd Jayzuan, Sefa, Iqbal Razak, Ipoh (2019). Gambar: Arkib Projek Rabak

Perkara yang paling dirayakan adalah berkawan, berkenalan dengan orang pelbagai latar supaya rangkaian dapat berkembang---ini penting kerana ia membantu menambah perspektif baru serta menyumbang dinamik yang lebih bermacam-macam.

Saya pasti, sah dan sohih akan menguap berair mata berkali-kali di meja mesyuarat kalau semua di Rabak adalah seniman dan berbicara hanya topik-topik tegang yang mendalam. 

Rabak juga sangat meraikan humor dan hal-hal yang tak begitu serius sebagai salah satu etos. Gelak sana-sini sampai jatuh kerusi. 

Joni Mustaf, Orkestra Lorong (2019), Ipoh. Gambar: Sufian Abas
Joni Mustaf, Orkestra Lorong (2019), Ipoh. Gambar: Sufian Abas

 

LEPAK DULU, SENI-BUDAYA KEMUDIAN 

Melepak intipati paling penting dalam kepanjangan umur Rabak. Mungkin kadangkala tanpa sedar saya melihat Rabak lebih kepada kumpulan melepak berbanding kolektif artis.

Rutin lepak ini untuk Rabak tempat membentang idea, berkongsi falsafah, hasilkan pandangan baru, mengkritik, mengembangkan jaringan dan paling syok sekali sudah tentu bersembang kosong tentang hal yang tak penting sama sekali pada seni-budaya sambil melihat masa yang bagai emas berlalu pergi. 

Ramai orang punya masalah beri perhatian dan tak berani diri di bilik mesyuarat berhawa dingin lalu pendapat-ideanya berkubur begitu saja.

Jika melepak situasi itu lebih santai, longgar dan mesra-hubungan buatkan orang-orang lebih yakin membentang, berkongsi dan mengeluarkan modal-modal dalam kepala. Tak takut tersasul atau terasa tolol. 

Kelas Puisi, Gudskul, Jakarta (2019)
Kelas Puisi, Gudskul, Jakarta (2019)

Saya meyakini dengan melepak banyak aksi (atau boleh jadi hanya cakap-cakap dan ianya bukan perkara buruk!) dapat dipicu. Sebagai kumpulan yang menganut mazhab lepak tegar, melalui pengalaman terbukti rutin melepak membuka lebih banyak ruang, pintu dan jalan meneruskan kembara. Mahu ke mana? Tepuk dada tanya idea gila. 

Ini serius bukan tahyul-mahyul, inilah adunan yang diperap diramu dimasak secukup rasa buat pengembangan dan menghidupkan sepanjang saya berkolektif.

Dengan sistem teruk di sekitar kita yang tak produktif membantu tumbesaran seni-budaya ke tahap sepatutnya, menubuhkan kolektif, meneguhkan komuniti dan memperkasakan ekosistem sendiri adalah caranya.

Percayalah berkolektif bukan jalan yang mudah tapi ia satu pilihan yang kita semua ada dan sesungguhnya revolusi itu benar.

Dunia harus diteroka, hidup wajib dihidupkan, ada nasi makan, ada kolektif kita lepak. - Getaran, 28 Mac 2021

Mohd Jayzuan seniman beragam-disiplin, pengasas kolektif artis; Projek Rabak dan hab budaya; Khizanat. Sentiasa Simpang Pulai.

Isu Pada

Sharifah Sakinah Kalis Peluru

27 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Kilang Ubat Di Ipoh Musnah Terbakar

2

Semasa 5 bulan yang lalu

Kes Denggi Di Ipoh Naik 265 Peratus, Musim Hujan Berterusan Antara Faktor

3

Video & Galeri 6 bulan yang lalu

Jom Makan-Makan Di Ipoh? Wajib Cuba 4 Restoran Ini!

4

Video & Galeri 6 bulan yang lalu

Ate Kome, Moh Ke Ipoh!

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan