Biarpun tahun ini dipenuhi dengan lagu-lagu raya baharu yang dipersembahkan pelbagai penyanyi generasi masa kini, namun masih ada yang mengambil inisiatif untuk merakamkan semula lagu raya lama dalam versi baharu.
Antara lagu-lagu raya lama yang menjadi pilihan mereka adalah ‘Suasana Hari Raya’ nyanyian Anuar dan Ellina, ‘Seloka Hari Raya’ (Uji Rashid dan Hail Amir), ‘Suatu Hari Di Hari Raya’ (Datuk M. Nasir), ‘Balik Kampung’ (Sudirman Haji Arshad) dan ‘Dendang Perantau’ (Tan Sri P. Ramlee).
Ada juga yang memilih lagu yang jarang sekali dirakamkan semula seperti ‘Senandung Hari Raya Untukmu’ nyanyian Dayangku Intan, ‘Pulang Di Hari Raya’ (Noor Kumalasari) serta ‘Kepulangan Yang Dinanti’ (Aman Shah).
Ada di antara lagu raya lama dalam versi baharu yang menjadi dan ada juga nyanyian atau susunan muziknya mencacatkan lagu itu.
Apapun, jom kita lihat senarai lagu-lagu raya lama yang diberi nafas baharu ini.
‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ – Famili Kita
Kesemua bekas peserta Gegar Vaganza Musim 8 (GV8) telah bergabung tenaga dan mengeluarkan duit poket sendiri untuk merakamkan semula lagu ‘Suasana Di Hari Raya’ nyanyian asal Anuar dan Ellina dengan versi mereka sendiri.
Mereka terdiri daripada Adibah Noor, Aliff Aziz, Ani Mayuni, Aweera, Azan Scan, Bandi Amuk, Datuk Fazley Yaakob, Nico G, Nikki Palikat, Saiful Apek dan Yassin, Suki Low, Shidee dan Upiak Isil.
Melalui versi baharu yang digubah semula oleh Oja, lagu yang diberikan judul ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ ini juga menampilkan forte muzik mereka masing-masing termasuk rock metal, rap dan dangdut. Namun, yang menarik ia langsung tidak mencacatkan lagu versi asalnya.
Menariknya, kesemua bekas peserta GV8 yang menamakan diri mereka sebagai Famili Kita juga turut menghasilkan muzik video ala drama yang cukup mencuit hati. Video ini turut berada dalam senarai trending di tangga kelima YouTube.
‘Seloka Hari Raya’ – Sarah Suhairy dan Sufian Suhaimi
Ramai penyanyi yang berusaha merakamkan semula lagu ‘Seloka Hari Raya’ nyanyian asal pasangan duet legenda, Uji Rashid dan Hail Amir ini. Namun, ada yang tidak berjaya dengan versi baharu mereka.
Versi penyanyi generasi baharu, Sarah Suhairi dan Sufian Suhaimi cukup menjadi sekali dan langsung tidak mengecewakan. Vokal mereka berdua juga sangat sesuai untuk membawakan lagu raya yang sekian lama menjadi kegemaran kita semua.
‘Senandung Hari Raya Untukmu’ – Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Alif Aziz
Sedap sungguh vokal Datuk Sri Siti Nurhaliza membawakan lagu ‘Senandung Hari Raya Untukmu’ nyanyian asal Dayangku Intan ini. Bahkan, Siti juga berjaya menjadikan lagu raya itu sebagai lagunya sendiri.
Menggandingkan Siti dengan Alif sebagai pasangan duet untuk lagu ini mungkin adalah suatu kelainan yang cuba dilakukan. Tapi, apa yang pasti vokal dan persembahan Siti lebih menyerlah berbanding Alif.
‘Aidilfitri’ - Lia Aziz
Artis baharu Rusa Music, Lia Aziz membawakan lagu ‘Aidilfitri’ nyanyian asal Sanisah Huri. Dendangan Lia untuk lagu ini wajar dipuji. Sedap suaranya membawakan lagu ini, mungkin kerana lenggok merdunya persis suara Sanisah Huri.
‘Suatu Hari Di Hari Raya’ – Yamani Abdullah
Anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah ini memang tidak dinafikan mewarisi suara dan bakat nyanyian bapanya.
Bahkan, dia juga mampu menyanyikan lagu Datuk M. Nasir dengan baik. Terasa betul emosi dan feel sewaktu membawakan lagu ini sambil mengekalkan keaslian melodi dan lirik asalnya.
‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’ – Tomok
Ini bukan kali pertama Tomok merakamkan lagu Sudirman Haji Arshad ini. Kali pertama sewaktu dia masih lagi bersama New Boyz.
Kini, Tomok kembali merakamkan lagu ini secara solo dan selepas melalui kematangan hidup dengan mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata. Memang ada beza versi nyanyiannya bersama New Boyz dan secara solo.
‘Pulang Di Hari Raya’ – Beby Acha
Lagu ini tidak akan menjadi jika ia tidak dinyanyikan penghibur versatil, Noor Kumalasari. Namun, siapa sangka bahawa Beby Acha mampu membawakan lagu ini dengan baik sekali. Memang kena dengan vokalnya.
‘Selamat Hari Raya’ – Danial Zaini dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia
Tidak semua orang mampu menyanyikan lagu Frank Sinatra Malaysia, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dengan baik kerana vokal beliau cukup melekat padu dengan lagu ‘Selamat Hari Raya’ ini.
Percubaan Danial Zaini untuk membawakan lagu ini bersama Pancaragam Polis Diraja Malaysia wajar dipuji. Namun, kita masih lagi akan teringat-ingat vokal Ahmad Jais.
‘Kepulangan Yang Dinanti’ – Syafiq Farhain
Tidak pasti apa yang tidak kena dengan suara Syafiq Farhain. Sengaunya lain macam. Malah, suara bapanya Allahyarham Saleem tidaklah sesengau ini.
Namun, Syafiq Farhain mampu memberikan suntikan emosi terhadap lagu raya yang pernah dipopurkan Aman Shah ini.
‘Suasana Hari Raya’ – Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie
Sebuah lagi lagu ‘Suasana Hari Raya’ versi baharu tahun ini. Disampaikan secara duet oleh Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie. Tiada yang istimewa dengan lagu raya Anuar dan Ellina mereka ini. Vokal Sheryl Shazwanie lebih menyerlah di dalam lagu ini.
‘Balik Kampung’ – Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma dan Asyraf Nasir
Pada asalnya lagu nyanyian Sudirman Haji Arshad ini bukanlah sebuah lagu raya. Tapi, lama-kelamaan ia menjadi sebuah lagu kemestian yang dimainkan setiap kali menjelangnya lebaran.
Lagu ini telah banyak dirakamkan semula penyanyi-penyanyi lain. Namun, versi ini mendapat kritikan peminat setia yang selama ini membesar dengan lagu ini. Soal mereka, mengapa lagu ini ditokok-tambah sehingga menghilangkan keaslian lagu asalnya?
‘Dendang Perantau’ – Kizo
Inilah lagu raya yang paling legenda sekali kerana ia dipersembahkan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Versi ‘Dendang Perantau’ Kizo ini diberi suntikan metal dan rentak 60-an, mengingatkan kita kepada kumpulan XPDC.
Tapi, wajarkah sebuah kumpulan baharu membawakan lagu seorang penyanyi legenda seperti P Ramlee. Pasti ramai peminat setia P. Ramlee yang tidak akan menyenangi versi mereka ini, bahkan ia mampu mengundang kontroversi.
‘Salam Aidilfitri’ - Nrocinu
Setiap kali menjelang lebaran, band muzik Nrocinu pasti akan merakamkan sebuah lagu raya untuk dimuatkan dalam platform YouTube mereka. Tahun ini, mereka memilih untuk merakamkan semula lagu raya nyanyian Datuk Jamal Abdillah berjudul Salam Aidilfitri.
Walaupun ia versi rock metal, namun melodi asalnya tetap dikekalkan. Namun, tidak semua orang mampu menerima versi mereka ini, walaupun mereka cuba berdakwah menerusi lagu. - Getaran, 8 Mei 2022