Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jangan Buat Tafsiran Sendiri, Fahami Apa Itu Nilai Ujian PCR

Melangkah menuju endemik, sudahkah kita faham sepenuhnya tentang nilai pada ujian PCR dan bilakah ujian itu perlu dilakukan?

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Mar 2022 6:46PM

Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Memandangkan alat ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi satu keperluan dalam rumah kita sama seperti kelengkapan dandanan diri yang lain, dua garisan merah bukan lagi sesuatu yang membingungkan seperti dahulu. 

Tetapi bagaimana pula dengan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR)? Sejauh mana anda fahami dan dan bagaimana kita mahu mentafsir keputusannya?

Pakar Perunding Penyakit yang juga seorang Profesor Perubatan di International Medical University (IMU), Profesor James Koh Kwee Choy menjelaskan asas-asas nilai kitaran ambang (CT-cycle threshold) dan apa yang perlu kita tahu tentang ujian PCR.

“Nilai CT adalah nilai kitaran ambang,” maklum Profesor James. Semasa ujian PCR, calitan tekak atau hidung atau kedua-duanya sekali dilakukan dan diuji menggunakan mesin PCR.

Pakar Perunding Penyakit merangkap Profesor Perubatan International Medical University (IMU), Profesor James Koh Kwee Choy
Pakar Perunding Penyakit merangkap Profesor Perubatan International Medical University (IMU), Profesor James Koh Kwee Choy

“Ujian PCR bertindak mengesan asid ribonukleik (RNA) yang dibawa virus.” 

“Namun begitu, mesin berkenaan tidak dapat mengesannya hanya melalui sampel calitan asal yang diambil daripada anda kerana bahan genetik virus terlalu sedikit untuk dikesan.

“Sampel berkenaan perlu diproses menggunakan mesin PCR yang dapat memperincikan bahan genetik kepada jumlah yang mencukupi untuk dikesan.

“Nilai CT memberitahu kita bilangan kitaran yang dilalui bagi membiakkan bahan genetik virus yang mencukupi untuk kita mengesannya,” jelas Profesor James.

 

Apakah perbezaan antara asid deoksibonukleik (DNA) dan RNA? 

“DNA adalah kombinasi genetik yang menentukan antaranya warna mata dan rambut kita, ciri-ciri wajah dan sebagainya,” jelas Profesor James. “RNA pula adalah penyampai yang membawa arahan-arahan tertentu.

“Virus COVID-19 ada RNA dan sejurus memasuki badan, ia membebaskan RNA tersebut. Apabila sel-sel kita menerima RNA virus itu, mereka mendapat ‘arahan’ untuk mereplikakan virus itu dan membuat lebih banyak virus.”

Virus COVID-19
Virus COVID-19

 

Mentafsir Nilai CT

Apabila kita menerima keputusan ujian PCR, nilai CT yang rendah menunjukkan ia hanya memerlukan sedikit sahaja kitaran untuk membiakkan cukup bahan genetik virus untuk dikesan. Ini bermakna anda mempunyai beban virus yang tinggi dan positif COVID-19. 

Sementara itu, nilai CT yang tinggi pula membawa maksud yang mesin PCR telah melalui banyak kitaran sebelum bahan genetik virus dapat dikesan.

Pada asasnya: lebih rendah nilai CT maka beban virus dan risiko jangkitan adalah lebih tinggi. Sebaliknya apabila nilai CT adalah lebih tinggi, maka lebih rendahlah beban virus dan risiko jangkitan.

Walau bagaimanapun, lazimnya nilai CT tiada kaitan dengan teruknya gejala yang dihidapi seseorang individu. 

Sumber: covid-19.moh.gov.my
Sumber: covid-19.moh.gov.my

“Sesetengah orang mungkin mempunyai nilai CT yang rendah (kebolehjangkitan tinggi) tetapi tidak bergejala. Sesetengah orang yang lain pula tinggi nilai CT-nya (kebolehjangkitan rendah) tetapi bergejala,” jelas Profesor James. 

Setiap negara mempunyai nilai CT yang berbeza dalam mentafsir keputusan ujian PCR.

Di Malaysia, ambangnya adalah 40, iaitu nilai CT kurang daripada 40 dikira sebagai positif COVID-19, manakala ambang melebihi 40 dikira sebagai negatif.

Negara India mengguna pakai 24 sebagai ambang nilai CT dan China pula mengguna pakai 30. 

Sesetengah keputusan ujian hanya memberitahu yang kita positif atau negatif COVID-19 tanpa memaparkan nilai CT kerana ada makmal yang mahu memudahkan keputusan ujian supaya dapat mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan.

Jika mahu tahu apakah nilai CT ujian anda, bolehlah memintanya.

 

Mana yang lebih bagus? PCR atau RTK?

Sebenarnya ada kelemahan jika terlalu bergantung kepada ujian PCR.

Menurut Profesor James, sekiranya anda diuji positif, anda mungkin akan terus didapati positif menerusi ujian PCR beberapa minggu selepas itu kerana ujian PCR mengesan bahan genetik – tetapi tidak dapat membezakan antara virus boleh hidup dan yang tidak boleh hidup. 

Sekiranya ia adalah virus yang tidak boleh hidup, ujian PCR masih boleh mengesan bahan genetik tersebut dan memberikan keputusan positif.

Ini bermakna ujian PCR itu tidak boleh digunakan sebagai satu kriteria untuk membebaskan seseorang daripada kuarantin. Adalah memadai untuk menjalani tempoh kuarantin mandatori mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa perlu membuat ujian yang lain.

Biarpun ujian PCR lebih sensitif berbanding ujian RTK (alat ujian pantas – Rapid Test Kit) yang hanya mengesan protein pepaku – ia membolehkan diagnosis segera dibuat iaitu dalam tempoh beberapa minit sahaja, sedangkan ujian PCR mengambil masa antara 24 jam ke 48 jam. 

Sebab itulah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai untuk melakukan ujian RTK dan tidak bergantung kepada ujian PCR. 

“Ia lebih masuk akal kerana ujian PCR memerlukan anda ke makmal atau ke kemudahan kesihatan dan dalam proses itu anda berpotensi mendedahkan lebih ramai orang kepada virus.

“Ujian PCR lebih tepat diagnosisnya, tetapi tidak begitu berguna bagi tujuan pemantauan kendiri kerana kosnya yang tinggi dan isu-isu logistik,” terang Profesor James. 

Perlu juga diingat bahawa kekerapan ujian, iaitu membuat ujian RTK mingguan bukanlah satu keperluan jika anda tidak bergejala atau bukan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Namun, ia adalah satu tindakan yang baik untuk melindungi orang lain jika anda sering keluar berjumpa ramai orang.

 

Ketepatan Ujian

Kesemua ujian yang dijalankan hanya akan tepat jika pengambilan sampel dilakulan dengan tepat.

Alat ujian di rumah boleh menjadi satu masalah yang besar kerana tiada kawalan kualiti dalam pengambilan sampel calitan hidung atau tekak. Boleh jadi akan berlaku pencemaran sampel atau persekitaran ujian.

“Belilah alat ujian yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak kira berapa harganya – variasi harga lazimnya bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan, contohnya pada pembungkusan.

Ikutlah arahan yang diberikan mengikut jenama-jenamanya,” nasihat Profesor James.

Gambar Fail
Gambar Fail

Satu lagi persoalan yang sering bermain di fikiran ramai ialah, mengapa ada masanya keputusan RTK adalah negatif (biarpun dibuat berkali-kali), tetapi apabila ujian PCR dibuat, keputusannya positif? 

“Jika kita melakukan ujian RTK terlalu awal, ujian itu tidak berupaya mengesan virus kerana replikasi virus mengambil masa. Ujian PCR pula lebih sensitif untuk mengesan bahan genetik yang tidak dapat dikesan ujian RTK.

“Biarpun begitu, sebaliknya boleh berlaku di mana ujian RTK didapati positif tetapi ujian PCR pula negatif. 

“Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada ujian RTK positif-palsu atau ujian PCR negatif-palsu. Ini termasuklah faktor masa dan kaedah pengambilan sampel dan pencemaran sampel,” terang Profesor James.

 

Apa yang anda perlu lakukan jika anda merupakan kontak rapat? 

Menurut Profesor James, perkara pertama yang penting untuk anda ketahui adalah maksud ‘kontak rapat’. 

“Anda adalah seorang kontak rapat jika anda ada bersama-sama dengan seseorang yang diuji positif lebih daripada 15 minit, berjarak kurang satu meter dan tidak memakai pelitup separa muka ketika makan bersama, misalnya. 

“Biarpun kontak rapat yang tidak bergejala tidak perlu lagi melakukan kuarantin kendiri, tindakan mengambil kira sebarang gejala yang mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas itu adalah sesuatu yang bijak. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

“Berdasarkan garis panduan semasa KKM, anda perlu melakukan ujian RTK pada hari pertama dan ketiga. Andai bergejala, lakukan kuarantin kendiri dan tempohnya bergantung kepada status vaksinasi anda.”

“Orang yang baru sembuh daripada jangkitan, anda diingatkan bahawa tiada tempoh ‘berbulan madu’ di mana anda yakin yang anda tidak akan dijangkiti sekali lagi. 

“Tiada sebarang kajian yang menunjukkan tempoh imuniti badan selepas dijangkiti COVID-19. Ia sangat bergantung kepada individu dan keberkesanan jangkitan berikutnya, selain individu itu terdedah kepada varian apa.

“Saya fikir adalah selamat untuk mengatakan yang kesembuhan dari COVID-19 tidak menjamin imuniti kepada jangkitan seterusnya,” jelas Profesor James.

 

Cabaran Pada Masa Hadapan

Ketika kita bersedia untuk memasuki fasa endemik, kita akan melihat lebih banyak kes tetapi kehidupan akan mula kembali kepada keadaan yang hampir sama sebelum pandemik.

Namun begitu, masalah paling besar yang akan berterusan menjadi ancaman kepada masyarakat adalah maklumat yang salah. 

“Berita palsu dan bagaimana ia merebak dari mulut ke mulut, misalnya mengaitkan kematian dan penyakit dengan vaksinasi, akan kekal menjadi salah satu daripada masalah terbesar kita,” terang Profesor James. - Getaran, 27 Mac 2022

Tulisan sumbangan : International Medical University (IMU)

Gambar : unsplash dan International Medical University (IMU) kecuali tertera

Isu Pada

Coach Eddy Berbicara Tentang Kecergasan Dan Menjadi Pilihan Selebriti

26 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 3 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 3 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini