Kereta dan fesyen merupakan dua dunia yang berbeza.
Namun ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk mencipta sebuah kereta yang eksklusif hasil daripada kolaborasi beberapa jenama mewah dua industri tersebut.
Terdapat sesetengah model yang hanya mengeluarkan beberapa unit sahaja sepanjang zaman bagi mengekalkan keistimewaannya.
Dalam masa yang sama, kerjasama yang dilaksanakan dapat meningkatkan nilai kualiti jenama sesebuah produk itu.
Hari ini kami berkongsi lima jenis kereta mewah hasil kolaborasi syarikat automobil dan beberapa jenama fesyen terkemuka di dunia.

Peugeot 206 Lacoste
Kolaborasi antara kereta model Peugeot 206 yang berasal dari Perancis bersama Lacoste tercipta pada 1984.
Ini adalah antara jenama yang terawal yang berkolaborasi untuk menghasilkan sebuah model kereta edisi khas.
Lacoste yang sinonim dengan jenama pakaian sukan tenis mengadakan kerjasama ini dalam bentuk tajaan buat Kejohanan Tenis Antarabangsa Roland Garros pada tahun yang sama.
Reka bentuk khas yang dihasilkan dapat dilihat menerusi tapak dalamnya yang berwarna hijau gelap dan warna putih pastel di bahagian badan kereta berserta pelekat logo rasmi Lacoste iaitu lambang buaya.
Ia diadaptasikan daripada salah satu jenis pakaian Lacoste iaitu ‘chemise’ yang bermaksud kemeja.
Kereta ini juga menggunakan warna hijau yang sama pada nombor plat.
Model ini menghasilkan kejayaan serta-merta dan menyebabkan ia dibuat semula disebabkanpermintaan yang tinggi pada tahun tersebut hingga 1986.
Namun, kini terdapat beberapa pemilik ingin menjualnya di platform dalam talian dengan anggaran harga RM35,000 seunit.

Volkswagen Golf GTI Adidas
Sebuah lagi jenama pakaian sukan yang berkolaborasi dengan jenama kereta adalah Adidas dan Volkswagen pada 2010.
Kereta yang berasal dari Jerman ini mengeluarkan dua jenis model iaitu spesifikasi tiga pintu dan lima pintu. Namun jika dilihat reka bentuknya tidak banyak perubahan.
Jalur Adidas yang melambangkan jenama tersebut hanya dapat dilihat pada tempat duduk kereta yang diperbuat dari kulit. Hasil gabungan ini menjadikan harga keluaran edisi tersebut agak mahal. Dengan mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi, harga maksimum bagi sebuah unit mencecah RM118,369.

Fiat 500C Gucci
Fiat adalah jenama kereta mewah dari Itali dan model 500C mereka merupakan kenderaan jenis sedan yang mempunyai saiz yang agak comel dengan tiga pintu sahaja.
Manakala Gucci pula jenama mewah yang tidak asing lagi bagi dunia fesyen yang berasal dari negara yang sama.
Model Fiat 500C Gucci ini dikeluarkan secara eksklusif pada 2011 dan ia hasil sentuhan pereka fesyen Itali terkenal bernama Frida Giannini.
Beliau yang menjadi pengarah kreatif Gucci ketika itu telah mengadakan kolaborasi bersama Fiat Style Centre. Mereka berjaya mencipta sebuah kereta yang dipenuhi dengan aksesori mewah berserta garisan warna rasmi Gucci iaitu hijau-merah-hijau pada bahagian tepi dan atas bumbung kereta.
Jalur ini juga ada pada bahagian tempat duduk yang diperbuat daripada kulit dan tali pinggang keledar.
Selain daripada itu, terdapat abjad ‘G’ di bahagian tengah rim tayar dan tombol gear bagi menampakkan kemewahan dan menandakan ia direka oleh Gucci.
Harga bagi seunit model khas ini bermula RM114,200 mengikut aksesori yang dipasangkan.

Land Rover Defender Paul Smith
Jenama Land Rover yang terkenal dengan prestasi kenderaan mewah pacuan empat roda dan berasal dari England ini pula telah menjalankan kerjasama bersama jenama Paul Smith pada 2016.
Barangan jenama ini yang kebiasaannya direka dengan jalur warna-warni berjaya menghasilkan sebuah kenderaan yang mempunyai 27 warna pada bahagian luar.
Pada bahagian tempat duduknya pula diperbuat daripada kulit yang berwarna hitam dengan jahitan warna biru kontras.
Menariknya, hanya ada satu unit kenderaan yang dibuat dan ia dicipta sebagai tanda meraikan kolaborasi dua jenama mewah yang direka sendiri oleh pengasas jenama Paul Smith.
Kos pembuatan kenderaan mewah ini tidak dapat dikenal pasti namun sesetengah pihak menjangkakan ia menelan belanja sekurang-kurangnya RM242,000 untuk dibuat.

Lamborghini Murciélago LP640 Versace
Lamborghini merupakan kereta mewah berkuasa tinggi dan berasal daripada Itali. Ia telah menggabungkan model Murciélago bersama jenama fesyen terkemuka dunia Versace untuk mengeluarkan edisi khas yang memukau mata dunia pada 2006.
Sarung kain lembut daripada Versace menghiasi dalaman kereta bermula dari tempat duduk, atap dalam kereta, papan pemuka sehingga ke bahagian konsol tengah.
Hiasan tersebut melambangkan rekaan Yunani yang padan dengan jenama Versace.
Menariknya, kereta ini hanya dikeluarkan sebanyak 20 buah sahaja. Selain itu, pembeli kereta model khas ini akan diberi barangan eksklusif semasa pelancarannya seperti beg pakaian, kasut, sarung tangan pemandu dan jam tangan daripada jenama Versace.
Memiliki varian warna putih dan hitam, harga bagi model edisi khas ini mencecah RM4 juta seunit. - Getaran, 27 Mac 2022
Sumber: nssmag.com