Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


'Survival' Hutan Kita Terletak di Tangan Orang Asal

Temu bual eksklusif bersama Wendi Sia, penulis dan pengamal seni - Gerimis Art Project, berbicara tentang kelangsungan hutan, budaya dan kesenian Orang Asal.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Mar 2021 8:45AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Bumi yang tiada rimba, Seumpama hamba. Dia dicemar manusia. Yang jahil ketawa”

Bait lirik ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin ini masih membekas di ingatan. Sungguhpun dikeluarkan 30 tahun lalu pada 1991 (tahun penulis dilahirkan), tampaknya senario kemusnahan alam sekitar dan hutan masih rancak berterusan. Bermaharajalela. 

Sepertinya, tiada perubahan, malah lebih membinasakan. Dari saat penulis menyanyikan lagu ini di sekolah rendah bersama rakan-rakan di perhimpunan sekolah, sehingga kini Bumi menangis sepi. Ditarah dan diperah. Tak berdaya melawan tangan-tangan manusia durjana.

Namun tak semua manusia itu celaka. Ada juga manusia yang menyatu dengan alam semula jadi. Bernafas seiring dengan desiran angin di hutan. Orang Asal menduduki Semenanjung Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia sejak azali lagi. 

Wendi Sia (paling kanan duduk) dan GAP bersama masyarakat Semai di Itah, Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang
Wendi Sia (paling kanan duduk) dan GAP bersama masyarakat Semai di Itah, Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang

Syahadan, hubungan Orang Asal dengan hutan tidak boleh disangkal-sangkal. Lagipun, merekalah golongan rentan yang terdedah dengan kerakusan pihak-pihak tertentu dalam menjarah khazanah hijau negara kita. 

Melihat kepada kemusnahan hutan kita yang makin menjadi-jadi, kami mengambil kesempatan ini untuk menemubual penulis dan pengamal seni, Wendi Sia dari Gerimis Art Project (GAP).

Projek ini menggabungkan seni, budaya dan cinta pada alam sekitar, agar menimbul minat dan kesedaran terhadap masyarakat Malaysia, amnya.

1 - Boleh terangkan kepada pembaca dan rakyat Malaysia (yang mungkin tidak mengetahui) apa itu Gerimis Art Project?

Gerimis Art Project (GAP) adalah prakarsa artistik dan usaha arkib kandungan budaya dan seni, kolaborasi antara Orang Asal bersama artisan kontemporari tempatan. Semua projek GAP yang dijalankan mendapat keizinan dan restu mereka.

Kami bekerjasama dengan sebilangan masyarakat Orang Asal yang sudah pun memimpin usaha mereka sendiri dalam mengenali, memelihara dan mendokumentasikan seni, budaya dan tradisi mereka. Dengan kerjasama erat ini, tujuan kami adalah untuk mempermudahkan wacana autonomi Orang Asal melalui rangkaian karya seni, fotografi, instalasi dan pameran. 

Ringkasnya, karya kami memberi tumpuan bagi memahami hubungan Orang Asal dengan tanah air kita melalui kisah-kisah seni dan budaya mereka. Kami berharap projek ini dapat mendekatkan rakyat Malaysia dengan warisan semula jadi yang kita miliki. Melihat desakan untuk melindungi ‘pemandangan’ yang kian pantas menghilang ini. Berdiri sama tinggi di samping penjaga sejati rimba yakni Orang Asal dalam mempertahankan hutan kita.

Wendi Sia dan Sebastian Heng
Wendi Sia dan Sebastian Heng

2 - Bagaimana GAP bermula? Apakah tujuan utama GAP dijalankan?

Saya bersama pengasas-bersama GAP, Sebastian Heng banyak meluangkan masa untuk aktiviti luar. Dari masa ke masa, kami mendaki hutan dan berkhemah, kami melihat banyak pemerasan dan pemusnahan hutan yang terjadi. Dari situ terlintas untuk melakukan sesuatu mengenainya. Sekurang-kurangnya mencetuskan ‘perbualan’ tentang eksploitasi tersembunyi ini dan menyebarkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang permasalahan yang melanda hutan kita. 

Apakah kami mampu melakukannya sendiri? Atau bekerjasama dengan Orang Asal yang turut sama berjuang?

Tambahan pula, tidak ramai yang mengetahui tentang kisah dan sejarah hutan-hutan ini seperti mana Orang Asal mengetahuinya. Oleh itu, projek ini benar-benar adalah gabungan seni, cinta akan alam dan usaha melindunginya. Sebagai pengamal seni, kami ingin berhubungan dengan pengamal seni dari kalangan Orang Asal dan menciptakan ‘sesuatu’ bersama. Kami percaya kisah-kisah kecil ini bakal mendedahkan kisah yang lebih besar. Ia miliki kekuatan untuk mengungkapkan masalah struktur kepada masyarakat kita. 

Misalnya, kisah Perkampungan Temuan di Puchong. Tok Batin mereka memberitahu kami tentang bagaimana pemandangan hutan berubah di hadapan matanya. Dahulunya dalam, Sungai Rasau kini sudah menjadi cetek kerana terlalu banyak pembangunan berlebihan yang dijalankan (yang turut menjadi salah satu punca banjir di Puchong). Sekarang, anda boleh melintas Sungai Rasau dengan hanya berjalan kaki. Ia menunjukkan bagaimana kita telah mengabaikan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar. 

3 - 'Solastagia.' Boleh ceritakan lebih lanjut tentang buku ini?

‘Solastalgia’ adalah kemuncak dari hampir tiga tahun kerja lapangan antara 2018 hingga 2020. Dalam buku ini, kami berusaha untuk menghubungkan ‘hutan’, ‘kraf’ dan ‘manusia’. Menyatakan hubungan mereka antara satu sama lain, melalui serangkaian perbualan, pemerhatian dan refleksi yang ditemui dan dialami sepanjang sesi kembara kami. 

Dari utara ke selatan Banjaran Titiwangsa, hingga ke hujung Semenanjung, kami membawa pembaca meneroka sembilan perkampungan Orang Asal. Menyelongkar kisah peribadi dan cereka rakyat mengenai hubungan antara hutan, kraf dan manusia. Hubungan manusia dan alam ini saling berkaitan dengan tanah dan tradisi. Kelangsungan seni dan budaya mereka bergantung pada kelangsungan hutan.

‘Solastalgia’ adalah panggilan untuk kita menilai semula hubungan kita dengan alam semula jadi. Ia panggilan untuk memberi hak kepada Orang Asal ke atas tanah adat, wilayah rayau dan sumber daya leluhur mereka. 

4 - Perwakilan Orang Asal (seni, budaya dan lagu) di media arus perdana dan media bebas. Apa pendapat anda?

Bukanlah satu rahsia bahawa kisah dan sejarah Orang Asal tidak diberi perhatian dan keadilan yang selayaknya dalam buku teks sekolah kita (dikecualikan secara sistematik). Semasa Pameran GAP di George Town Festival lalu, ramai pengunjung yang hadir ke reruai kami mengakui mereka tidak menyedari terdapat 18 puak Orang Asal di Semenanjung Malaysia. Mereka juga tidak sedar bagaimana mereka boleh ‘tertutup mata’ daripada melihat ketidakadilan yang terjadi di kalangan masyarakat Orang Asal dan hutan kita, hanya kerana tiada kesedaran yang sewajarnya.

Sama ada media arus perdana atau tidak, Orang Asal selalunya dikategorikan sebagai ‘lain-lain’ atau disoroti kerana ‘kelainan’ mereka. Sebenarnya, kita tidak patut melihat mereka dengan kaca mata sebegitu atau melihat ‘pergelutan’ mereka hanya sekadar hiburan. Harus akui, kehilangan kepelbagaian bio dan rimba yang mereka panggil sebagai rumah itu adalah pergelutan hakiki yang mereka hadapi pada hari ini. Dalam jangka masa panjang, semuanya akan berbalik kepada kita semula seperti banjir, kehilangan sumber makanan serta kepupusan flora dan fauna. 

5 – Harapan anda untuk kelestarian budaya, kesejahteraan hidup dan masa hadapan Orang Asal di Semenanjung Malaysia.

Harapan saya agar Orang Asal diberikan hak tanah adat, wilayah rayau dan sumber daya mereka.

Selama berkurun-kurun, Orang Asal menetap di persekitaran hutan dan menggunakan sumbernya tanpa cela. Mereka punya ilmu luas tentang bagaimana untuk menguruskan tanah dan sumbernya. Pengetahuan ekologi tradisional ini turun-temurun dari nenek moyang mereka. 

Inilah masanya untuk kita memberi pengiktirafan. Belajar dan bekerja bersama mereka untuk kesinambungan dan kelangsungan hutan kita. Tidak lupa juga kepada karya, budaya dan tradisi mereka. Akhir kata, Orang Asal adalah penyelesaian, bukan permasalahan. 

Layari Gerimis Art Project  untuk maklumat lanjut. – Getaran, 14 Mac 2021

Semua gambar: GERIMIS ART PROJECT

Isu Pada

Nuansa Baharu Hip Hop

13 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 22 jam yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 4 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok