Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Lestari Laungan Laos

Laos boleh dikatakan destinasi percutian yang 'underrated.' Sebenarnya ia sebuah negara yang menarik dan mempunyai magis tersendiri.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Mar 2021 8:45AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di antara kesemua negara-negara di Asia Tenggara, Laos merupakan negara yang paling kurang mendapat liputan seranta berbanding jiran-jirannya yang lain. Namun begitu ramai yang tidak sedar bahawa negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai tarikan tersendiri yang sering menjadi tumpuan para pelancong asing. 

Seperti jiran-jiran Indochina terdekatnya (Vietnam dan Kemboja), Laos merupakan sebuah negara bekas jajahan Perancis dan pengaruh peninggalan negara Eropah tersebut masih tersisa di beberapa pelosok negara ini.

Selain seni bina bangunan-bangunannya yang masih kental dengan unsur-unsur Perancis, papan-papan tanda di Laos juga masih banyak menggunakan Bahasa Perancis selain Bahasa Inggeris dan Lao sendiri. Dan dari apa yang sering dipromosi di media massa, Laos paling dikenali melalui Luang Prabang, salah satu kota di utara negara tersebut.

Kota ini adalah salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO dan sangat terkenal dengan keindahan semulajadinya selain kuil-kuil Buddha serta bangunan-bangunan purba lain yang mempunyai sejarah masing-masing. Luang Prabang juga menjadi titik pertemuan Sungai Nam Khan dan Sungai Mekong, sungai gah tersohor di Indochina.

Sayang sekali, tiada penerbangan langsung ke Luang Prabang dari Kuala Lumpur, namun pelawat boleh transit dari Bangkok atau mengambil penerbangan ke Vientiane, ibu kota Laos. Dan dari situ boleh menaiki pesawat syarikat penerbangan tempatan Laos ke Luang Prabang.

Biasanya, majoriti penumpang di dalam pesawat dari Vientiane ke Luang Prabang semuanya terdiri daripada warga asing. Ini jelas ternyata kerana harga tiketnya yang agak mahal dan destinasinya yang lebih menyerlah sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Bagi yang mahu menikmati pemandangan mungkin boleh menaiki kereta atau bas dari Vientiane ke Luang Prabang. Namun, harus diingatkan bahawa perjalanannya memakan masa lebih kurang enam jam!

Atas dasar itu, menaiki kapal terbang lebih disaran daripada menempuhi jalan darat. Apatah lagi dengan keadaan jalan raya mereka yang belum sempurna. 

Kala masih di udara dan sebelum mendarat di Luang Prabang, kota itu kelihatan kaya dengan alam semulajadi. Bukit-bukit dan gunung-gunung nan hijau dihiasi pohonan rimbun sambil diselangi bumbung-bumbung tajam berwarna emas daripada ajnas pagoda, stupa dan kuil-kuil Buddha di persekitarannya.

Kelihatan Sungai Mekong mengalir dan persekitarannya dengan jelas.  

Antara tarikan di Luang Prabang termasuk puncak Gunung Phou Si yang juga menempatkan salah satu kuil Buddha terkenal di situ iaitu Wat Tat Chom Si. Kuil berstupa emas itu dapat dilihat dari jauh pada waktu malam dengan calitan lampu yang menandakan kedudukan kuil tersebut.  

Jangan lupa juga ke pasar malam di jalan utama Luang Prabang iaitu Jalan Sisavangvong. Pasar malam itu memang dipenuhi dengan ratusan warga asing kerana ia menjual aneka barangan kraftangan dan cenderahati Laos.

Dari kain skirt tradisional buatan tempatan sehinggalah kemeja-T, rantai kunci, malah makanan serta minuman dan macam-macam lagi. Seperti semua pasar, pengunjung boleh tawar-menawar untuk mendapatkan harga terbaik.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan kain tenunan tradisional buatan Luang Prabang buat para wanita. Kain tenunan ini boleh juga dijadikan kain samping Baju Melayu buat Aidilfitri nanti.

Pasar malamnya memang panjang jadi pastikan anda benar-benar berjalan dari hujung ke pangkal Jalan Sisavangvong untuk memastikan yang anda tidak ketinggalan apa-apa yang menarik.

Selesai membeli-belah boleh mencuba masakan tradisional Laos iaitu sejenis salad yang digelar 'lap paa' berupa hasil campuran ikan yang dimasak dengan sayur. Ia lebih enak dimakan dengan nasi putih.

Bagi para pengunjung yang beragama Islam dan ingin memakan daging serta ayam, terdapat juga sebuah restoran India halal di jalan tersebut. 

Luang Prabang punya banyak kuil-kuil serta bangunan-bangunan tradisional yang boleh dilawati. Yang tidak harus dilepaskan adalah Haw Kham, bekas istana diraja yang kini dijadikan muzium kebangsaan. Seni binanya memang indah dan sangat teliti.

Jangan lupa juga untuk berkunjung ke kuil Vat Xieng Toung, kuil paling tua serta paling cantik di Luang Prabang. Dan sudah tentu, anda harus ke puncak Gunung Phou Si dengan mendaki sekitar 320 anak tangga untuk sampai ke Wat Tat Chomsi dan melihat sendiri keindahan panorama Luang Prabang dari atas.

Di dalam kuil Wat Tat Chomsi juga ada ramai para penganut Buddha yang datang untuk melihat nasib mereka ditilik oleh seorang sami yang menjaga stupa itu. 

Sekiranya berkunjung ke Jalan Sisavangvong di waktu pagi, pengunjung dapat melihat upacara pemberian sedekah kepada para sami yang lalu.

Malah ramai pelancong asing juga turut serta mengambil bahagian dengan bersedekah memberi makanan kepada para sami dengan memasukkan barangan ke dalam belanga besar yang dibawa mereka tika berjalan menerima sumbangan. 

Pelancong juga harus menikmati makan malam di salah satu daripada puluhan kafe dan restoran yang terletak di tepian Sungai Mekong. Terdapat banyak kafe dan restoran yang sangat trendy dan chic di sepanjang sungai Mekong di Luang Prabang.

Ada juga restoran yang memainkan muzik jazz yang sangat menenangkan. Suasana lebih santai dengan kedudukan kerusi mejanya yang terletak di luar bersebelahan aliran sungai Mekong di waktu malam.

Ia benar-benar menyenangkan dan lebih sesuai jika anda bersama orang tersayang kerana ramai warga asing menikmati makan malam romantis di restoran-restoran ini.

Malah, makan malam romantis di tepi Sungai Mekong memang menjadi salah satu saranan buat pelancong asing yang berwisata ke situ. Maka tidak hairanlah jika suasananya sedemikian rupa!

Destinasi seterusnya sudah tentulah Vientiane, ibukota Laos. Pengunjung yang baru tiba di kota itu biasanya akan terus mengerumuni dataran utama Vientiane untuk melihat Tugu Patouxay yang merupakan replika gerbang Arc de Triumph di Paris versi Laos (sejajar dengan pengaruh Perancis negara tersebut).

Namun Patouxay berbeza kerana senirekanya berunsur agama Buddha dan lebih tinggi dari gerbang di Paris.

Ada juga Stupa Hitam yang dikenali sebagai That Dam, sebuah stupa purba di tengah Vientiane.

Selain istana lama dan persiaran utama di Vientiane, pengunjung boleh juga ke pasar malam Vientiane di tengah kota dan mencuba, satu lagi makanan tradisional Laos iaitu ikan panggang garam yang dimakan bersama nasi putih dan sos kicap asam seperti di Malaysia.

Namun apa yang membezakan ikan panggang ini dengan ikan bakar Malaysia adalah taburan garam di atas ikannya kala dibakar. Rasanya memang enak dan sangat disyorkan kepada sesiapa sahaja yang ke Laos.

Ia biasanya dibakar di depan restoran yang menjualnya dan hanya ikan bergaram sahaja yang dibakar. Jadi ini tidak meragukan mereka yang beragama Islam untuk menikmatinya!

Biarpun negaranya kurang popular namun masih indah dengan keunikannya tersendiri. Penduduknya sopan, ramah dan sangat baik hati. Selain itu, kosnya juga tidak terlalu mahal dan sangat berpatutan.

Jika anda terdengar laungan negara Laos di telinga anda, sahutlah dengan hati kerana kenangan berkunjung ke sana pasti lestari dan kekal abadi! Kopchai (Terima Kasih) Laos! - Getaran, 14 Mac 2021

Semua gambar: Shah Shamshiri (kecuali gambar Tugu Patouxay)

Isu Pada

Nuansa Baharu Hip Hop

13 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

JWP Gerakkan Usaha Promosi Produk Pelancongan Domestik - Dr Zaliha

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Ada Potensi Luas Untuk Kukuhkan Perkongsian ASEAN - Australia - Anwar

3

Semasa 2 bulan yang lalu

Acara Pelancongan Negeri Sembilan Perlu Beri Impak Maksimum - Aminuddin

4

Semasa 3 bulan yang lalu

PM Akan Pengerusikan Mesyuarat Berkala Persiapan Malaysia Selaku Pengerusi ASEAN 2025

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi