Puasa bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadan, malah Nabi Muhammad SAW akan mengamalkan puasa secara berkala sepanjang tahun.
Puasa dipercayai bukan sahaja mempunyai faedah fizikal, seperti mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan pembakaran lemak, tetapi ia juga menggalakkan disiplin rohani dan fokus dalam beribadat.
Sebagaimana sabda Nabi, “Jika seseorang tidak menjauhi perkataan dusta dan perbuatan dusta ketika berpuasa, maka Allah tidak peduli jika dia menahan makan dan minum.” (Bukhari, 1241)
Beberapa dekad yang lalu, kita telah melihat pelbagai usaha dijalankan untuk menghubungkaitkan teknologi dengan kepercayaan agama.
Bagi umat Islam, ini juga berdasarkan bagaimana Islam diamalkan pada zaman moden dengan menjadikan teknologi dan agama menjadi lebih serasi dan harmoni.
Semak hari-hari sunah untuk berpuasa sepanjang tahun ini untuk ditandakan dalam kalendar anda:

Isnin dan Khamis
Aishah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah berpuasa pada hari Isnin dan Khamis (at-Tirmidzi, 745).
Dengan berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis, kita akan dapat menunjukkan rasa cinta dan ketekalan dalam beribadah kepada Allah SWT.
Ini akan dapat mengajar kita untuk istiqamah dalam beramal ibadat dalam mencari keredaan Allah SWT.
Puasa dua kali seminggu bukan sahaja sunah Rasulullah, malah dikatakan sebagai rutin yang menyihatkan tubuh badan anda.
Kajian menunjukkan bahawa puasa berselang-seli membolehkan badan menyahtoksik dan meningkatkan kadar metabolisme seseorang, membolehkan pembakaran lebih banyak kalori.
Hari Putih
Hari Putih atau dikenali sebagai ‘Al-Ayyam al-Bid’ dalam bahasa Arab, ialah tiga hari berturut-turut yang jatuh pada setiap 13, 14 dan 15 hari dalam bulan Islam. Ia dipanggil Hari Putih kerana bulan purnama bersinar terang pada hari tersebut.
Umat Islam digalakkan berpuasa selama tiga hari ini pada setiap bulan Islam kecuali pada 13 Zulhijjah, kerana tiga hari berturut-turut selepas Hari Raya Haji merupakan hari-hari Tashriq di mana ketika ini umat Islam melakukan ibadah korban.

Puasa 6 pada bulan Syawal
Walaupun mungkin sukar untuk terus berpuasa setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, umat Islam dijanjikan fadilat dan ganjaran yang besar sekiranya menjalankan ibadah puasa enam pada bulan Syawal.
Diriwayatkan pula oleh Ibn Khuzaimah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Puasa bulan Ramadan mendapat pahala sepuluh sepertinya dan puasa enam hari mendapat pahala dua bulan dan itulah puasa sepanjang tahun.”
Maka barang siapa yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal dan sepanjang bulan Ramadan akan mencatat pahala puasa sepanjang tahun.
Terdapat beberapa cara untuk melakukan puasa ini. Namun, diharamkan berpuasa pada 1 Syawal kerana ia adalah hari untuk meraikan kemenangan setelah berpuasa sebulan.
Anda boleh melakukan ibadah puasa secara enam hari berturut-turut atau diselang-selikan mengikut kemampuan asalkan ibadah ini dilakukan pada sepanjang bulan Syawal.
Berpuasa pada bulan Syaaban
Syaaban adalah bulan di mana mukjizat paling banyak berlaku, seperti terbelahnya bulan dan perubahan kiblat. Pada bulan ini, kita harus berusaha untuk beramal sebanyak mungkin.
Salah satu kelebihan berpuasa di bulan Syaaban ialah ia dapat dijadikan sebagai tarbiah Ramadan, baik rohani mahupun jasmani.
Ramai ulama Islam menyatakan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam keampunan dan keberkatan.

Jika mahu, ia boleh diisi dengan zikir serta doa memohon keampunan atas dosa-dosa lampau. Keesokan harinya pada 15 Syaaban, umat Islam sering berpuasa.
Namun, pada separuh kedua Syaaban tidak dibenarkan untuk berpuasa, kecuali bagi orang yang mempunyai kebiasaan berpuasa secara tetap.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh beberapa ulama daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Apabila sudah separuh Syaaban, janganlah kamu berpuasa.” (at-Tirmidzi, 738)
Hari ke-10 Muharam - Hari Asyura
Puasa pada 10 Muharam, yang dikenali sebagai Hari Asyura, menghapuskan dosa setahun yang lalu. Umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa sehari sebelum dan selepas Asyura, pada 9 dan 11 Muharam.
Mengapa digalakkan berpuasa pada hari tersebut? Ia adalah untuk memperingati hari Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan pengikutnya daripada musuh mereka.
Hari ke-9 Zulhijjah - Hari Arafah
Bulan Zulhijjah dikenali sebagai bulan haji. Walaupun tidak semua daripada kita berpeluang untuk menunaikan rukun Islam kelima ini, ada yang boleh kita lakukan untuk meraih keberkatan bulan ini.

Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, puasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun.
Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi SAW bersabda
صِيَامُ يَومِ عرفة أَحْتَسِبُ عَلَى الله أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ التي قَبْلَهُ والسنة التي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah, Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.”
Riwayat Muslim (1162)
Untuk mengetahui dengan tepat tarikh-tarikh penting dalam bulan Islam ini, anda boleh merujuk portal rasmi e-solat.
Istiqamah adalah kunci
Jika mahu menjejak amalan puasa anda, boleh cuba pelbagai aplikasi penjejak tabiat (habit tracker) yang di pasaran aplikasi atau boleh gunakan kalendar harian seperti Google Calendar.
Boleh juga cuba menjejak puasa anda dengan aplikasi kerohanian seperti Muslim Pro dan Qalby App yang turut dilengkapi fungsi senarai doa harian dan al-Quran.
Seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, Rasulullah ditanya, “Amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?” Baginda bersabda, “Amalan yang paling tetap walaupun sedikit.” Baginda menambah, “Janganlah kamu memikul dirimu, kecuali amal yang menurut kemampuanmu.” (Bukhari, 6465)
Ingatlah, amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang tekal walaupun ia kecil. - Getaran, 6 Februari 2022
Gambar : Unsplash dan Pexels