Berita Terkini

15 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Siti Nurhaliza – Kejora Hati Kita

Dalam berjuta-juta bintang, ada satu yang paling gemilang. Dan yang satu itu tentunya kejora hati kita semua iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Siti adalah bukti bahawa bintang sejati bukan dicipta tetapi dilahirkan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Jan 2022 9:09AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bintang paling gemilang. Itulah gambaran paling tepat untuk penyanyi nombor satu negara kita iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Siapa sahaja yang tidak mengenali Siti Nurhaliza?

Sejak dari awal kemunculannya pada tahun 1995 menerusi pertandingan Bintang RTM, kemilau sinar bintangnya terpancar megah malah tidak pernah sedikit pun sinaran itu pudar dari terus menerangi industri seni tanah air. 

Hari ini pada tahun 2022, Siti Nurhaliza masih kekal relevan dan akan terus relevan sampai bila-bila. 

Buktinya, lagu-lagunya paling banyak distrim di aplikasi muzik Spotify bagi tahun 2021 dengan jumlah penstriman melebihi 30.7 juta. Lagu-lagunya didengari oleh lebih 2.3 juta pendengar dari 152 buah negara.

Jika mahu bercerita mengenai kejayaan yang diraih beliau sepanjang bergelar anak seni, percayalah, tidak cukup aksara untuk digunakan.

Pelbagai genre album dan lagu telah dihasilkannya. Pop, tradisional, Inggeris, ketuhanan dan kanak-kanak semuanya sudah berada dalam resumenya.

Puluhan konsert telah dijayakannya malah jauh terbang mengalunkan suara emasnya hingga ke bumi Inggeris dan Australia.

Itu belum dikira dengan ribuan anugerah yang telah diterimanya. Mungkin boleh dimuatkan dalam sebuah muzium agaknya. 

Biarpun nama Siti Nurhaliza berdiri megah di aras yang paling tinggi, namun tidak bermakna tiada air mata yang tertumpah ke bumi dan tiada pengorbanan yang dipertaruhkan oleh anak jati kelahiran Pahang ini. 

Masa remajanya tidak seperti anak muda lain. Kebebasan adalah perkara paling besar yang harus dikorbankannya sejak menjejakkan kaki ke industri seni tanah air ketika berusia 16 tahun. 

Menjadi Siti Nurhaliza sememangnya tidak mudah. Apa sahaja yang dilakukannya akan diperhatikan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. 

Namun satu yang pasti tentang Siti, jati dirinya sebagai anak timur sangat tinggi. Imejnya sopan nan menawan. Tutur bicaranya berlapik manis seindah bahasa. 

Hati siapa saja yang tidak terpesona dengannya?

Sebelum membina mahligai cinta bersama Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa, satu Malaysia penasaran siapakah yang selayaknya bertakhta di hati Siti Nurhaliza.

Walaupun pilihan Siti bukanlah seperti fantasi kebanyakan peminatnya, namun usah dilupa, Siti juga manusia biasa yang punya sekeping hati yang bisa jatuh cinta dengan sesiapa sahaja yang berjaya mencuri hatinya.

Berkahwin ataupun tidak, kerjaya Siti tetap berkembang dari tahun ke tahun. 

Saban tahun Siti akan pastikan peminat dapat memiliki album terbaharu untuk dijadikan halwa telinga mereka. 

Begitu juga usai beliau melahirkan puteri sulung yang dinantinya selama 12 tahun. Siti tidak memilih untuk berehat terlalu lama.

Selepas kelahiran Siti Aafiyah pada tahun 2018, Siti kembali dengan konsert berskala besar di tiga buah negara termasuklah Indonesia, Singapura dan Malaysia pada tahun 2019.

Dan kini anda boleh saksikan sendiri konsert serta dokumentari di sebalik tabir pembikinan konsert jelajah itu di saluran Astro First bermula 30 Disember 2021. 

 

Filem Dokumentari 

Jujur saya agak terpegun menonton filem dokumentari yang diberi tajuk Siti: Are You Ready? ini sewaktu menghadiri tayangan perdananya minggu lalu. 

Filem ini digarap dan disunting dengan baik oleh dua anak muda, M. Azhar Rot dan Anz Izwan.  Anda pasti terasa sangat dekat dengan Siti saat menonton dokumentari yang berdurasi 1 jam 20 minit ini.

Gambar Ihsan SNP
Gambar Ihsan SNP

Filem ini juga akan membuatkan anda mengerti betapa seorang Siti Nurhaliza sangat gigih bekerja dan begitu komited dengan kerjanya.

Mungkin kerana usia mudanya sudah terisi dengan jadual kerja yang sangat padat. Jadi tabiat kuat bekerja itu terbawa-bawa hingga usia dewasa biarpun sudah berkeluarga. 

Namun apa yang paling mencuri tumpuan saya sepanjang menonton filem ini ialah, terdapat babak di mana anda akan melihat buat pertama kalinya seorang Siti Nurhaliza berada dalam emosi amarah.

Saya sudah pernah melihat Siti tersenyum, ketawa dan menangis, namun saya belum pernah melihat Siti dibelenggu rasa marah. Saya pasti anda juga begitu.

Saat itu saya mengerti betapa Siti meletakkan 100 peratus jiwa dan raganya terhadap seni muzik yang dicintainya. 

“Sebenarnya ada banyak babak yang dipotong. Ada babak saya campak meja dan kerusi, semua ada!” jawabnya sambil berjenaka saat ditanya adakah dia seorang yang garang sewaktu bekerja. 

“Apa yang saya cakap pada Shiraz (penerbit bersama konsert Siti Nurhaliza on Tour) tu kira dah habis garang dah tu. Eh! sebenarnya tak habis lagi.

“Apa yang anda lihat tu sebenarnya saya tengah tahan. Lepas tu saya jeling Kak Rozi. Masuk Kak Rozi, masuk!” kongsi Siti mengenai salah satu babak tegang dalam filem dokumentari berkenaan.

“Untuk membuat sebuah konsert yang besar ia datang dengan tanggungjawab yang sangat besar. Biarpun semua telah bekerja keras, andai satu masalah itu nak jadi, maka akan terjadi jua.

“Namun saya rasa kalau ada perancangan yang betul dan teliti, InsyaAllah semuanya boleh berjalan dengan lancar. Konsert ini sebenarnya adalah satu pelajaran juga untuk kami sepasukan kerana telah melalui dan merasai pelbagai cabaran.

“Filem dokumentari ini adalah satu cerita kisah benar yang saya nak beritahu kepada masyarakat. Apa yang anda lihat di atas pentas selama dua jam dengan penuh kagum, di sebaliknya terdapat pelbagai cabaran yang kami lalui.

“Kami jadikan ia konsert yang berjaya sebab rasa tanggungjawab dan cinta kami pada muzik, peminat dan masyarakat,” katanya yang mengharapkan agar filem dokumentari ini bakal menjadi inspirasi dan rujukan buat anak muda serta kaum wanita di luar sana. 

 

Rangkuman 2021

Tahun 2021 menyaksikan pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup Siti. Ada manis dan pahit serta disulami pengajaran, namun momen paling terbahagia buatnya sudah tentu saat kelahiran putera kesayangannya iaitu Muhammad Afwa yang kini sudah berusia lapan bulan.

“Saya boleh katakan ada kenangan manis dan sangat istimewa kerana kelahiran anak kedua saya iaitu Muhammad Afwa yang menjadi pelengkap kepada diri saya kerana saya ada seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Juga pelbagai anugerah dan penghargaan yang saya terima tahun ini. 

“Tetapi kegembiran itu turut diselitkan dengan kesedihan juga apabila negara kita dilanda musibah banjir dan saya turut terkesan kerana kampung saya juga terjejas serta ramai individu yang terkesan dengan musibah ini.  Malah saya tak sangka banjir ini boleh berlaku di Shah Alam.

“Inilah masanya untuk saya dan peminat sama-sama membantu mereka yang memerlukan. 2021, Alhamdulillah bagi saya ada penghargaan, ada kenangan manis dan juga pengajaran,” ujarnya sewaktu berkongsi dengan pihak Getaran.

 

Perancangan Tahun 2022

Setiap kali masuk tahun baru, pasti setiap dari kita mempunyai azam baru untuk direncanakan serta dilunaskan.

Begitu juga dengan Siti. Katanya, untuk tahun 2022, dia bercadang untuk bekerjasama dengan lebih ramai anak muda dan kembangkan lagi empayar perniagaannya.

“Selalunya setiap tahun saya akan rancang untuk terbitkan lagu ataupun album baharu. Tetapi kali ini mungkin kita bekerja dengan orang yang berbeza.

“Anak-anak muda yang lebih kreatif kerana zaman sekarang sudah berbeza. Saya bukan lagi nak berlawan dengan anak-anak muda tetapi kita nak berkolaborasi. 

“Selain itu sebagai seorang usahawan sudah tentu saya juga ingin kembangkan lagi empayar perniagaan saya dan menolong lebih ramai orang untuk sama-sama berjaya sebagai usahawan dan juga membantu mereka yang berada di dalam kesusahan. 

“Saya juga berharap impian saya untuk membuat persembahan pada tahun 2022 dapat ditunaikan. Tetapi semuanya bergantung kepada situasi COVID-19.

“Saya harap kita boleh sama-sama melaluinya dengan baik supaya lebih ramai orang dapat bekerja, khususnya buat anak-anak seni.

“Yang penting kita patuh SOP dan tata cara norma baharu,” bingkasnya menutup bicara.

Kami mendoakan semoga segala impian kejora hati Malaysia ini akan terus tercapai. Selamat Tahun Baru Siti!  - Getaran, 1 Januari 2022

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Siti Nurhaliza

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Helmi Anuar

Solekan : Epie Temerloh

Busana : Rizman Ruzaini

Jurugambar : Mohd Azim Rahman

Suntingan Video : Muharram Kasim

Sekalung penghargaan buat Rozie Abdul Razak dan Siti Nurhaliza Production (SNP)

Isu Pada

Siti Nurhaliza – Kejora Hati Kita

01 Jan 2022

Berita Berkaitan

1

Selebriti 2 bulan yang lalu

Siti Nurhaliza Bagi Maklum Balas Terhadap Saranan Mufti Pulau Pinang

2

Muzik 3 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

3

Muzik 4 bulan yang lalu

Siti Nurhaliza Ingin Anjur Konsert Di Stadium Nasional Bukit Jalil Sebelum Bersara

4

Selebriti 5 bulan yang lalu

Siti Nurhaliza Kembali Dikritik Peminat 

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis