Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Nafas Cinta Baharu Mizz Nina

Dahulu cintanya kepada dunia seni persembahan menjadikan dirinya penghibur popular, kini Mizz Nina ada nafas cinta yang lebih besar kepada Penciptanya. Ikuti wawancara TARA bersama personaliti berwawasan ini.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Mar 2021 9:00AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

TERPESONA, itu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan ini setiap kali terbaca kisah hijrah pemilik nama, Shazrina Azman ini. Kesungguhan dan kecintaannya pada agama Allah membuatkan bukan sedikit yang terinspirasi.

Benarlah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Andai kebaikan yang didambakan, pasti Allah lorongkan jalan yang mudah.

Itulah yang terjadi kepada Shazrina atau nama pentasnya, Mizz Nina. Wanita yang pernah mewarnai industri hiburan negara, penyanyi yang pernah menjadi kesayangan ramai. 

Bukan calang-calang kolaborasi yang pernah Mizz Nina lakukan. Colby O’Donis, Theo Martin, Jay Park dan Flo-Rida antara nama-nama besar yang pernah menjadi rakan duetnya.

Bahkan, ketika dia sedang melakukan jelajah USA bagi mempromosikan singlenya bersama Flo Rida – 'Take Over' pada 2012, Mizz Nina diberi peluang mengacarakan The MTV Iggy Show (Episod 12) secara langsung di Times Square, New York.  Jadi, tidaklah keterlaluan jika dikatakan dia lebih dulu menggapai bintang di negara ‘Uncle Sam’ itu. 

Namun, itu kisah lama. Dia kini bukanlah wanita yang hanya mengejar nikmat dunia. Menjadi prahara dunia hiburan bukan lagi pilihan hatinya. Sebaliknya, wanita yang bakal menginjak ke usia 41 ini punya misi yang lebih besar.

Dia mahu terus menghambakan diri kepada yang Esa, dia mahu terus istiqamah menyebarkan dakwah dengan caranya yang tersendiri. Bukan mendesak, malah jauh sekali menunjuk-nunjuk.  Jika dulu vokalnya lantang mengajak berlagu, tarinya ligat pelawa menari, kini geraknya santun memberi inspirasi.

 “Ku bukan wanita biasa, 

Ku takkan tersisa, 

Di langit awan terbuka, 

Sinarkan cahaya, 

Ku takkan menyerah dan mengalah”

Itu bait-bait lirik lagu, ‘Rentak Yang Sama’ yang pernah didendangkan oleh Mizz Nina. Benar, dia bukan wanita biasa, namun dia tidak terlepas dari khilaf dan kini telah menemui hidayahNya.

Diam bukan bererti kosong

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini, Getaran terpanggil untuk mengintai kehidupan Mizz Nina. Kerana kami tahu, biarpun dia jauh daripada kemilau populariti, namun pasti ada buah tangan istimewa daripada figura ini. Temujanji termeterai, tersingkaplah semua yang sedang direncanakan oleh insan bergelar Hajjah ini.

Bagai yang dikata, Mizz Nina memang punya sesuatu yang istimewa buat peminatnya. Dia tampil dengan buku pertamanya berjudul, ‘Light For The Lost Soul’. Buku yang menceritakan perjalanan hidupnya ketika dia memutuskan untuk meninggalkan dunia popular dan tahap pencarian yang dilaluinya ketika mengejar cahaya keimanan.

“Ya, saya baru sahaja selesaikan buku pertama bersama Iman Publication. Buku berjudul ‘Light For The Lost Soul’ ini merupakan siri trilogi yang akan berkongsi tentang perjalanan saya dalam mencari diri serta perkongsian lmu-ilmu agama yang telah saya pelajari."

"Walaupun saya adalah penulisnya, tetapi ia adalah hasil kolaborasi dan kupasan idea saya bersama pasukan kreatif Iman Publication. Kami berbincang bersama-sama tentang pengisian dari satu bab ke satu bab yang lain.”

“Buku ini adalah perkongsian ilmu, bukan biografi, bukan memoir. Ia adalah cerita selepas saya berhijrah. Bukan 100 peratus tentang my journey, tetapi ia adalah perkongsian tentang apa yang saya alami, hadapi selepas gaya hidup berubah.” – Mizz Nina

“Secara asasnya, saya mengambil isu-isu yang pernah diperbincangkan dalam Dopstv (saluran gaya hidup Islam yang diasaskan oleh Mizz Nina bersama dua lagi rakannya), Islamic retreat yang pernah saya hadiri serta kelas-kelas pembelajaran agama yang pernah saya sertai dari dulu hingga kini."

"Buku ini adalah perkongsian ilmu, bukan biografi, bukan memoir. Ia adalah cerita selepas saya berhijrah. Bukan 100 peratus tentang my journey, tetapi ia adalah perkongsian tentang apa yang saya alami, hadapi selepas gaya hidup berubah."

"Ia adalah perkongsian ilmu dengan para pembaca,” ulas wanita yang mesra disapa sebagai Nina ini.

Bercerita lanjut tentang penghasilan siri pertama yang memakai judul ‘Seeking Contentment For The Troubled Heart’, isteri kepada vokalis Hujan, Noh Salleh ini mengakui bukan mudah untuk menghasilkan sebuah buku. Biarpun ia adalah perkongsian berdasarkan pengalamannya sendiri, namun segalanya sangat baru buat dirinya.

“Pertama sekali, awalnya bukan mudah untuk saya mengatakan ya untuk buku ini. Iman Publication approach saya tahun lalu. Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk terima walaupun sebenar sudah lama berhajat untuk punya buku sendiri."

"Namun setelah berbincang dengan pihak mereka dan yakin projek ini akan berhasil, saya bersetuju untuk meneruskannya. Saya mahu tinggalkan legasi. Seandainya saya sudah tidak ada di dunia ini, sekurang-kurangnya saya mempunyai buku untuk ditinggalkan. Biarpun begitu, saya masih berhati-hati sebelum bulatkan hati.”

I did my own research about this publication dan rupa-rupanya saya kenal dengan penulis-penulis mereka seperti Ustaz Mizi Wahid, Aiman Azlan dan Ayesha Syahira. Bahkan, saya baca buku-buku mereka. Saya rasa garapan buku-buku penulis ini bagus dan kerana itulah saya akhirnya bersetuju."

"Selain itu saya juga lihat Iman Publication buat rangka promosi yang bagus untuk setiap buku terbitan mereka. Sebelum ini bukan tidak ada penerbit lain yang datang membuat tawaran, tetapi Iman Publication menepati ciri-ciri yang saya mahukan.”

“Paling penting, selain menulis mereka juga benarkan saya buat rakaman suara tentang apa yang ingin ditulis dan rakaman itu mereka bantu terjemahkan dalam penulisan. Kerjasama seperti ini sangat memudahkan saya yang tidak punya pengalaman dalam bidang penulisan. Sebab itu, kami mampu hasilkan siri pertama ini dalam tempoh masa yang agak singkat, hanya beberapa bulan sahaja. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami,” ujar Nina teruja.

Dalam masa yang sama, Nina mendedahkan biarpun dia kini sibuk dengan rangka promosi bersama Iman Publication, namun dia sebenarnya sudah mula mula mengumpul material untuk siri kedua yang dijadualkan berada di pasaran pada tahun hadapan.

“Sejak pertengahan Februari lalu memang saya sibuk dengan rangka promosi. Mereka banyak buat perkongsian online menerusi Facebook dan Instagram untuk saya bercerita kepada peminat tentang keistimewaan naskhah ini. Bagi saya, buku ini adalah untuk memberi inspirasi kepada semua orang, terutama kepada mereka yang masih 50-50 (teragak-agak) untuk berubah ke jalan Allah.”

“Cuma perlu ingat, saya bukan ustazah, jadi pengisiannya lebih santai dan ia adalah perkara-perkara asas tentang Islam.”

“Saya sudah berada di situ dahulu dan saya mahu pembaca tahu, the process of hijrah, is a non-stop process. Cuma perlu ingat, saya bukan ustazah, jadi pengisiannya lebih santai dan ia adalah perkara-perkara asas tentang Islam. InsyaAllah, tahun 2022, siri kedua akan menyusul kerana saya sudah pun mengumpul material. Siri ketiga dijadualkan pada 2023,” ulas Nina.

‘Qalby’ inspirasi daripada kelas tafsir

Jika hati sudah cinta, pasti ada sahaja yang ingin dilakukan untuk menyuburkan semarak cinta. Inilah yang dilakukan oleh Mizz Nina.

Diam tak diam, dia telah menghasilkan ‘Qalby’ aplikasi mudah alih yang menyediakan kandungan yang dipercayai dan terkini tentang ajaran Islam yang boleh dijadikan rujukan pada bila-bila masa. Semenjak diperkenalkan pada November 2020, muat turun untuk aplikasi ini telah mencecah lebih 300,000 ribu.

“Idea untuk ‘Qalby’ ini sebenarnya sudah lama sejak 2018, tapi 2019 baru betul-betul bangunkan secara serius. Ia terinspirasi daripada kelas-kelas tafsir yang pernah saya hadiri. Banyak ilmu yang saya dapat, banyak nota yang saya buat. Jadi saya terfikir nak buat apa dengan semua nota-nota ini?"

"Memang saya ada buat sesi perkongsian, tapi ia tak cukup. Jadi, daripada simpan sahaja, baik saya buat satu applikasi yang bersumberkan Al-Quran dan sunnah untuk dikongsi kepada semua."

"Selain tu, kami juga bekerjasama dengan beberapa institusi agama untuk memastikan kandungan aplikasi ini sah dan boleh dipercayai,” ujar Nina yang tidak pernah jemu berdakwah dengan caranya yang tersendiri.

Sebelum mengakhiri bicara, Mizz Nina sempat mengulas tentang kehidupan peribadinya. Maklumlah, tahun ini genap 10 tahun dia mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta. Adakah punya rencana untuk mendapatkan zuriat? 

“Soalan ini memang tidak dapat dielakkan apabila kita sudah lama berkahwin. Saya percaya Allah punya perancangan adalah yang terbaik. Saya bahagia dan bersyukur dengan apa yang saya miliki ini."

"Tentang anak, jika ada rezeki untuk saya dan suami, Alhamdulillah.  Semuanya sudah tertulis. Bukannya kami tidak berusaha, tetapi belum punya rezeki,” ujar Mizz Nina yang pernah melakukan IVF sebanyak tiga kali.

Getaran mendoakan hanya yang terbaik buat Mizz Nina dan keluarga di dunia dan akhirat, insya-Allah. - Getaran, 6 Mac 2021

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Mizz Nina

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Ili Farhana & Shah Shamshiri

Teks : Rahayu MN

Penyunting : Ili Farhana

Penata Gaya & Arahan Seni : Nurul Azwa (Gune)

Busana : Koleksi Peribadi Mizz Nina

Solekan: Saidatul Nisa

Jurugambar : Syeda Imran

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Ibu Pejabat Qalby

Tudung : HANYA Alis Limited Edition Scarf

Isu Pada

Mizz Nina

06 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini