Berita Terkini

5 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Sanggup Sewa Rumah Simpan Barang Vintaj!

Tok Ayah Hisam menjadikan hobi mengumpul barangan lama sebagai perniagaan antik dan vintaj yang masih bertahan selama 23 tahun.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Nov 2021 7:46PM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Selangkah memasuki kedai vintaj dan barangan antik ini, perasaan seperti berada di era yang berbeza. Lagu ‘Semakin Rindu Semakin Sayang’ dendangan Uji Rashid melatari segenap Kedai Vintaj DoluDolu di The Gudang ini.

Terletak di dalam pekarangan Kantin@SetorGombak, kedai langka yang satu ini sarat dengan koleksi vintaj, retro dan antik. Seluruh ruang dipenuhi dengan barangan-barangan lama, yang mungkin akan membuat anda terkenang masa lampau.

Seperti berada di ruang masa dahulukala, sedia terpesona melihat barangan-barangan menggamit nostalgia ini, tersusun rapi seperti di dalam rumah-rumah atuk dan nenek kita dahulu. Perabot, permainan, pelita, alat solek klasik, pinggan mangkuk dan sekian banyak lagi. 

Oh! Nostalgianya…

Semuanya milik pengumpul dan pengusaha barangan antik, Ahmad Hisam Baharudin (51). Lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Ayah, kedai antik ini merupakan hasil daripada hobinya sendiri.

Hobinya itu mengumpul barangan lama sejak tahun 1998 sampai ke hari ini. 

Menariknya, bekas kru penerbitan ini tidak pernah terfikir pun untuk membuka kedai antiknya sendiri. Dia mengakui minat dan hobinya mengumpul barangan antik itulah yang mendorongnya untuk terjun ke bidang perniagaan. 

Ikuti temu bual eksklusif kami bersama Tok Ayah Hisam, tentang hobinya ini dan masa hadapan barangan antik dan vintaj:

Tok Ayah Hisam
Tok Ayah Hisam

1 – Bagaimana bermula? Apakah yang membuatkan Tok Ayah mula mengumpul barangan antik dan vintaj?

Bermula hanya sebagai hobi. 

Saya mula kumpul barangan Coca-Cola terlebih dahulu kerana jenama ini banyak merchandise. Jadi banyak yang boleh dikumpulkan. Dengan warna merahnya, benar-benar menarik perhatian. 

Kemudian, barulah mula mengumpul barangan antik lain seperti tepak sireh, seterika tembaga, bedak talkum, poster, filem, kaset, piring hitam, rokok, mancis dan sebagainya. 

Dari yang tempatan, hinggalah barangan antik dari China, Mexico, Jepun, antaranya. Lama-kelamaan, dari hobi ia menjadi minat.

Dan asalnya saya pernah bekerja untuk penerbitan di TV3 dari tahun 1991 hingga 1998. Kemudian, saya berhijrah ke Astro dari tahun 2000 hingga 2010. 

Kami melakukan penggambaran di merata-rata tempat, dalam dan luar negara. Jadi di kesempatan itu, saya berpeluang membeli barang-barang antik dan vintaj sepanjang perjalanan.

2-  Selain sebagai hobi, Tok Ayah juga menjualnya, kenapa?

Sepanjang karier saya itu tadi, saya mengumpul banyak barangan antik dan vintaj. Sampaikan ia ‘beranak pinak’ sehingga saya terpaksa menyewa sebuah rumah, khas untuk menyimpannya!

Saya kumpul segala jenis barangan antik seperti tembaga, majalah, radio, kamera, papan tanda dan sebagainya. Rancak. Semakin lama, semakin minat. Ia hobi yang memberi suatu kepuasan.

Namun oleh kerana terlalu banyak, saya fikir barangan ini ada yang boleh saya dapatkan kembali. Saya pun mengambil keputusan untuk menjual sebahagian daripadanya.

Yang mana saya jual, saya yakin masih ada di pasaran. Saya boleh dapatkannya kembali, tetapi saya tidak mampu mengembalikan nilai sentimentalnya. Itu lumrah. 

Barang masih sama, tetapi harga tak akan sama. Jika saya beli semasa 1997, katakanlah dalam RM100, sekarang barang yang sama itu sudah mencecah RM500, misalnya. 

Ada juga yang boleh saya dapatkan kembali dalam bentuk barangan antik lain. Ia akan sentiasa bertukar-tukar. Ia seperti permainan. Namanya juga hobi, bukan? Ia memberi keterujaan.

Sambil-sambil hobi, sambil-sambil jana pendapatan. Dari hobi, sekarang menjadi perniagaan. 

3 – Bagaimana caranya menjaga barangan-barangan lama ini agar tidak rosak?

Waktu operasi kedai saya bermula jam 6 petang. Jam 4 petang saya sudah sampai untuk mengemas. Saya lap dan bersihkan satu per satu. Pastikan ia sentiasa bersih. 

Memang kita akan melihat barangan lama ini lusuh, tetapi bila kita jaga, kita lap dan kita gilap dengan penuh kasih sayang, maka ia kelihatan berseri-seri seperti baru.

Bukan apa, selain menjaga kebersihan dan penampilannya, ia juga sebagai daya penarik untuk pelanggan menjamu mata. Kalau kita tak jaga, kita seolah-olah merendahkan martabatnya. 

Coca-Cola Coolbox
Coca-Cola Coolbox

4 – Item paling mahal dan sukar didapatkan di dalam koleksi?

Coca-Cola Coolbox buatan US pada tahun 1974.

Kalau nak berkata tentang harga? Harganya berdasarkan nilai sentimental. Tiada harga siling dalam pasaran antik dan vintaj. Kalau kamu tanya, berapa harganya jika saya mahu jual? Saya buka dalam tujuh ke sepuluh ribu, tetapi saya tidak akan jual.

Kalau saya mahukan wang, saya boleh sahaja jual. Ada ramai pengumpul yang mahu membeli, tetapi bagi saya, biarlah pelanggan dapat menjamu mata melihat barangan vintaj yang sukar dan tidak akan didapati lagi di pasaran ini. 

Tok Ayah Hisam bersama gramaphone kesayangannya
Tok Ayah Hisam bersama gramaphone kesayangannya

5 – Koleksi paling Tok Ayah sayangi?

Gramaphone.

Ia peninggalan arwah datuk saya. Diturunkan turun-temurun kepada ayah, sekarang kepada saya. Memang kalau tanya, saya tidak akan menjualnya. 

Sekali-sekala dengan niat membantu kawan-kawan, saya sewakannya untuk dijadikan props penggambaran. Banyak video muzik, drama dan filem menggunakan gramaphone saya ini. 

Kasut Bata buatan Malaya
Kasut Bata buatan Malaya

6 – Bagaimana Tok Ayah melihat hala tuju barangan antik dan vintaj ini di kalangan masyarakat, khususnya anak muda?

Saya melihat generasi muda sudah mula memperlihatkan minat mereka di dalam bidang ini. 

Perlu diketahui, pelanggan saya terdiri daripada tiga jenis golongan iaitu pengumpul (collector), penjual-semula (reseller) dan pembeli (customer) biasa daripada kalangan belia.

Ketiga-tiga golongan ini mempunyai misi yang berbeza di setiap pembelian mereka. Jika penjual-semula, niatnya ingin menjual semula, sementara pengumpul dan pembeli membeli untuk kepuasan peribadi.

Antara pengumpul dengan pembeli juga ada beza. Pengumpul mengumpul untuk hobi, sedangkan pembeli kadang-kadang hanya membeli untuk tujuan dekorasi.

Makanya, di kedai antik saya ini juga saya menjual reproduction atau barangan buatan semula. Ia lebih murah dan mampu milik untuk golongan pembeli ini. 

Pada akhirnya, barangan antik dan vintaj ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Kalau kena dengan ‘mas kahwin’ nya, saya kira sesiapa pun sanggup beli. - Getaran, 21 November 2021

Kedai Vintaj DoluDolu

Instagram: @jaluttokayah

Semua gambar: Sairien Nafis

Isu Pada

Gemilang Seni Iman Troye

20 Nov 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Restoran Nasi Kandar Terbakar, Lelaki Melecur 80 Peratus

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Penerbangan Ke Batam Mampu Rancakkan Sektor Pelancongan Malaysia - Indonesia

3

Muzik 3 bulan yang lalu

The Rose, Kumpulan K-indie Singgah Di Malaysia Sempena Konsert Dawn To Dusk  

4

Semasa 6 bulan yang lalu

Bunuh Peniaga Buah, 13 Warga Asing Ditahan

Sorotan

1

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

2

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

3

OIC Kutuk Pembunuhan Beramai-ramai Berterusan Israel Di Semenanjung Gaza

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut