Berita Terkini

14 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Langkah Kanan Nadhir Nasar & Nabil Aqil

Untuk edisi TARA minggu ini, kami berbual lebih dalam tentang mimpi-mimpi besar, semangat juga persahabatan antara Nadhir Nasar dan Nabil Aqil.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Nov 2021 9:10AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ketika memikirkan siapakah calon yang bakal menghiasi wajah TARA edisi ini, penulis tidak menunggu lama untuk mencadangkan nama kedua-dua bintang muda ini.

Kami rupanya menyedari ada sebuah kelompangan dalam koleksi temu ramah TARA setakat ini iaitu suara dan cerita pendatang baru dunia seni.

Kami percaya, jika kita rajin menggali, pasti ada sisi lain yang boleh ditemui dalam diri pelakon muda asalkan mereka sudi berbagi. 

Ternyata, hasrat kami disambut hangat oleh Nadhir Nasar dan Nabil Aqil. Kedua-dua sahabat karib ini nampaknya teruja dipertemukan dalam satu sesi fotografi di Ramza Studio, Shah Alam.

Kami gusar pada awalnya menjalankan sesi penggambaran ini pada waktu pagi kerana difahamkan kedua-dua pelakon ini pulang jam dua pagi pada hari sebelumnya.

Nadhir mencari senggang waktu dalam kesibukannya menjalani penggambaran drama terbaharu, manakala Nabil memandu pulang dari lokasi penggambarannya di Port Dickson hanya untuk TARA.

Pada hari yang dijanjikan, Nadhir dan Nabil muncul di muka pintu dengan senyuman. 

Lahir daripada program pencarian bakat Hero Remaja, kedua-dua pelakon ini tidak main-main ingin menjadi anak seni apabila terus mencatatkan kejayaan dan prestasi lakonan yang membanggakan. 

Dikatakan masih pucuk dalam dunia lakonan, namun mereka membuktikan kemampuan menempatkan posisi dalam khalayak apabila masing-masing merupakan antara calon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Nadhir tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular manakala Nabil merupakan antara calon pemenang bagi kategori Gandingan Serasi Filem Popular.

 

Bukan tentang duit dan nama

Nampak ceria dan rajin tersenyum, siapa sangka pemilik nama Ahmad Nadhir Ahmad Nasar ini rupanya pernah bergelut dengan masalah berkomunikasi memandangkan dirinya seorang lelaki pendiam.

Ada banyak yang ingin diceritakan Nadhir, tapi kata-katanya sering terbatas. Ketika itulah Nadhir mula merasakan dengan berlakon, dia dapat bercerita melalui visual.

“Dengan melakonkan pelbagai jenis watak, secara tidak langsung saya bagai mengenal sisi lain diri saya sendiri. Saya bukan seorang yang pemarah. Namun ketika saya diminta melakonkan watak yang sebegitu, rupanya saya boleh menjiwainya.

“Lakonan membawa saya larut di dalam watak. Kita umpama masuk ke pintu minda yang sebelum ini tidak pernah diteroka,” katanya yang membesar di Michigan, Amerika Syarikat sehingga umur 5 tahun.

Berbeza pula dengan Nabil, jejaka yang memang ramah dan mudah didekati ini tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pelakon kerana asalnya dia bercita-cita menjadi seorang cef atau tukang masak.

Namun siapa sangka, rezeki dalam bidang lakonan ternyata tertulis untuk Nabil Aqil dan dia perlahan-lahan jatuh cinta dengan seni lakon layar.

“Ada satu perasaan tentang dunia lakonan yang sukar saja jelaskan. Ia perasaan gembira ibarat saya  terbang di awang-awangan. Saya seperti sudah melakukan sesuatu yang bermakna dan memberi sinar dalam hidup.

“Jujur saya katakan, pada awalnya memang saya agak ragu dan takut. Namun setelah menimba ilmu daripada orang-orang berbakat di sekeliling, saya lebih yakin,” ceritanya.

 

Mimpi besar Nadhir & Nabil

Ingin menjadi seorang tukang cerita melalui karya adalah impian Nadhir sejak berumur 6 tahun lagi. Ia sangat jelas dan nyata. Bagi mencapai impian besar tersebut, Nadhir percaya ada beberapa proses yang perlu dilaluinya sebagai anak seni. 

Memulakan percaturan dalam bidang peragaan agar boleh membiasakan diri di hadapan kamera, Nadhir kemudian berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Tidak mudah untuk bergelar seorang pelakon. Nadhir mendedahkan dia pernah ditolak sebanyak 15 kali oleh pelbagai syarikat produksi kerana mereka belum yakin dengan kemampuan lakonan seorang Nadhir Nasar.

Tidak mudah mengalah, Nadhir meneruskan tekad dan memberikan yang terbaik dalam kerjanya. Dia mula menerima pelbagai tawaran berlakon termasuklah berperanan sebagai watak utama. 

“Saya ada menerima tawaran berlakon sebagai watak utama tapi saya tolak kerana merasakan belum bersedia dan perlu lebih banyak belajar. Setakat ini, saya lebih selesa memegang watak antagonis atau pelakon pembantu. 

“Saya percaya rezeki tak pernah salah alamat. Jika cepat sangat naik, nanti cepat pula jatuh,” tambahnya.

Lima tahun akan datang, Nadhir mensasarkan untuk terjun ke bidang pengarahan. 

“Saya percaya generasi saya berpotensi besar membawa industri lebih kehadapan. Saya fikir kita kurang membawa budaya dan identiti kita kehadapan seperti seni kuda kepang dan wayang kulit. Masyarakat luar tidak tahu mengenai keunikan kita ini. 

“Selain itu, karya-karya tentang semangat kenegaraan juga kurang diketengahkan. Itulah antara perkara yang kita boleh bawa dalam karya,” ceritanya. 

Nabil juga tidak selalu ingin berada dalam zon yang selesa. Dia ingin mencabar diri dengan melakonkan filem dengan watak yang lebih berat seperti cerita bergenre crime detective.

“Saya memandang tinggi lakonan aktor antarabangsa seperti Keanu Reeves yang begitu arif memahami karakternya setiap filemnya. Bukan itu sahaja, peribadinya juga sangat rendah diri. 

“Menjadi pelakon bermaksud saya memegang amanah untuk menghidupkan sesuatu watak.

“Saya banyak belajar dengan merujuk kepada gaya dan penyampaian watak anime yang sangat berkarisma bila melontarkan sesuatu dialog. Ini termasuklah bahasa badan yang ditunjukkan mereka,” tambahnya yang gemar melukis anime dan potret.

 

Mendaki tangga populariti

Populariti Nadhir melonjak selepas drama bersiri ‘Projek Anchor’. Lakonan cemerlangnya dalam drama ‘I-Tanggang’ juga menjadi perhatian.

Apalagi mereka hidup di zaman media sosial yang sedikit sebanyak membantu perkembangan karier.

Jika tidak, masakan ada peminat yang sanggup menunggu Nadhir di hadapan rumah ketika dia hendak keluar joging. 

“Saya anggap ini rencah kalau mahu menjadi artis. Bila fikir semula, sebenarnya saya memang pernah minta benda ini (supaya ada peminat), rupanya semesta mengabulkan permintaan saya,” katanya sambil ketawa kecil.

Walaupun media sosial membolehkan pengguna berkongsi apa sahaja tentang diri mereka namun Nadhir merasakan untuk kekal relevan, dirinya perlu menjadi eksklusif.

“Dengan menjadi diri sendiri, kita sebenarnya sedang menjadi eksklusif. Apa yang saya perasan, dalam dunia media sosial, kita selalu berpura-pura. Kita suka sesuatu hanya kerana semua orang suka. 

“Sama juga dengan menjadi seni berlakon. Kita menjadi eksklusif jika bekerja dari hati. Kalau semata-mata kerana wang, kita akan kaut semua tawaran namun hasil lakonan kita tidak seberapa,”katanya. 

Nabil yang kini hangat lewat drama ‘The Hotel’ juga tidak ketinggalan pernah ditolak oleh syarikat produksi beberapa kali. 

“Saya anggap sahaja mungkin Tuhan akan beri ganjaran dan rezeki yang jauh lebih besar daripada itu.

“Seperkara lagi, cuba berlapang dada dan jangan terlalu beri tekanan kepada diri sendiri kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak keraguan kepada diri sendiri.

“Jangan pernah terpedaya atau terpengaruh dengan kata-kata buruk orang lain walaupun mereka orang terdekat kita. Kita sendiri lebih tahu potensi kita,” tambahnya.

 

Tekad dua sahabat

Lahir dalam program pencarian bakat yang sama, ternyata kedua-dua sahabat ini bangga melihat masing-masing tumbuh dengan cara tersendiri. Persahabatan mereka sangat rapat dan sering dilabel duo kerana selalu digandingkan bersama-sama di pentas peragaan.

“Persahabatan adalah satu benda yang sangat indah buat saya dan tidak boleh dibeli. Bagi saya keikhlasan hati dan kasih sayang akan melahirkan keabadian dalam persahabatan itu. Jadi saya memang betul betul menghargai setiap persahabatan,” cerita Nabil. 

Nadhir juga merasakan kehadiran mereka berdua pasti akan menambah seri industri seni yang sedia ada.

“Seronok melihat saya dan Nabil naik sama-sama. Saya percaya setiap generasi mempunyai misi dan visi masing-masing. Memandangkan kami terdedah dengan perkembangan filem digital, kami seharusnya boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik.

“Beberapa tahun akan datang, akan lahir generasi yang lain dan mereka mungkin mempunyai cara berbeza,” katanya. 

Seronok mendengarkan cerita dan idea generasi baru oleh Nadhir dan Nabil. Kami di TARA mengucapkan semoga berjaya untuk perjalanan seni kedua-dua bintang muda ini! - Getaran, 6 November 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Nadhir Nasar & Nabil Aqil

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Pengarang Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Penyelaras & Teks : Wafa Aula & Sara Mack Lubis

Suntingan Teks:  Ili Farhana

Penata Gaya : Zaymi

Arahan Seni: Sara Mack Lubis

Pakaian dan Kasut : Kitwoo, Neonate Clothings, DBLA, Dr Martens

Solekan & Dandanan : Elmanda Zuhairi

Jurugambar : Mohd Azim Rahman

Juruvideo & Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Ramza Studio

Isu Pada

Langkah Kanan Nadhir Nasar & Nabil Aqil

06 Nov 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan