Berita Terkini

9 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Tak Akan Bosan Di Busan!

Teruskan menyimpan angan-angan untuk menjelajah dunia. Minggu ini kami cadangkan kota Busan di Korea Selatan sebagai destinasi pilihan, buat anda yang ingin mengembara selesai wabak COVID-19 nanti.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Feb 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Korea Selatan sememangnya menjadi destinasi pilihan ramai rakyat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Pengaruh budaya popular negara itu lewat media massa dalam bentuk filem, drama bersiri televisyen serta lagu-lagu K-Pop benar-benar menggoda rakyat di sekitar Asia Tenggara untuk mendekati negara tersebut.

Dan apakala berbicara tentang Korea Selatan, semestinya Seoul menjadi destinasi pilihan utama para pelancong kerana statusnya sebagai ibu negara. Namun ramai yang tidak sedar bahawa bandaraya Busan juga mempunyai tarikannya tersendiri dan terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Selaras dengan kedudukannya sebagai bandar kedua terbesar di Korea Selatan, Busan juga tidak jauh kemajuannya dari Seoul. Cuma ia menawarkan suasana yang lebih santai berbanding persekitaran ibu negara mereka yang sentiasa sibuk dan padat.

Terletak di bahagian paling tenggara semenanjung Korea, Busan memang terkenal dengan pantai-pantai yang indah dan sering menjadi tempat percutian rakyat tempatan selain pelawat antarabangsa.

Malah ramai juga pelancong dari Seoul yang berkunjung ke Busan dengan menaiki keretapi berkelajuan tinggi kerana ia hanya memakan masa sekitar dua jam setengah sahaja. Ini benar-benar memudahkan pengembara yang ingin melawat Seoul dan Busan.

Busan menarik di musim sejuk sekitar bulan November dan Disember. Ya, bulan Disember di Busan sejuk. Apatah lagi dengan lokasinya sebagai sebuah bandar yang terkenal dengan kawasan pantainya. Biarpun tiada bibit-bibit salji namun kesejukan luas melanda. 

Busan mempunyai sistem pengangkutan awam yang bagus. Ini memudahkan perjalanan untuk ke mana-mana sahaja di Busan kerana sistem keretapi bawah tanah atau metro mereka sangat cekap dan tepat waktunya. Malah anda boleh ke lapangan terbang dengan menaiki metro kerana harganya jauh lebih murah daripada menaiki teksi. 

Lokasi utama yang harus dikunjungi sudah tentulah kawasan pantai Haeundae. Sekali imbas pantai Haeundae sangat mirip dengan Surfers Paradise di Gold Coast, Australia. Ini terbukti dari infrastrukturnya serta kawasan tepian pantai yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang moden.

Selain menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah dan berenang, pusat Akuarium Busan juga terletak di pantai ini. Malah akuarium ini merupakan akuarium terbesar di Korea Selatan serta merupakan salah satu tarikan pelancongan paling popular di situ. Pelbagai hidupan laut dapat dilihat di akuarium yang menakjubkan ini.

Sebagai bandar pantai, Busan juga tersohor kerana mempunyai makanan laut yang segar dan menawarkan harga berpatutan. Beberapa minit sahaja dari kawasan pantai terdapat sebuah jalan serta lorong yang dipenuhi restoran dan kafe yang menjual makanan laut segar.

Sekali lagi, ini memudahkan pelancong Muslim untuk mencari makanan kerana kedai-kedai ini hanya menjual ikan dan makanan laut lain seperti ketam, udang dan seumpamanya. Sudah tentu yang menjadikannya lebih istimewa adalah cara masakan Korea yang berbeza.

Seperti restoran-restoran Korea di Malaysia, makanan laut mereka sering dididih dan direbus dalam sup sebelum dimakan bersesuaian dengan kehendak masing-masing. 

Andai ada yang ingin membeli makanan segar sendiri, bolehlah ke pasar Jagalchi di tengah kota Busan di mana pelanggan boleh membeli sendiri ikan dan makanan laut mentah kemudian disediakan dengan segera oleh tukang masak tempatan di gerai pilihan di dalam bangunan yang sama.

Buat pelancong Muslim yang mahu menunaikan solat Jumaat, Masjid Busan tersedia ada. Ia terletak tidak jauh dari stesen metro Dusil. Ramai juga rakyat Malaysia dan Indonesia yang mengunjungi masjid tersebut untuk menunaikan solat. Malah terdapat banyak papan tanda di dalam bahasa Malaysia juga di kawasan masjid. Berhampiran masjid juga ada beberapa restoran Turki yang menyajikan makanan halal. 

Bagi tujuan berbelanja pula cuba singgah ke beberapa tempat membeli-belah yang menarik. Pertama sekali jenguklah ke Nampo-Dong, sebuah kawasan yang dipenuhi ratusan kedai dan gerai yang menjual pelbagai barangan menarik. Ini termasuklah makanan, pakaian serta macam-macam benda lagi.

Di situ juga merupakan kawasan utama untuk sambutan Festival Filem Busan yang berlangsung setiap tahun.

Buat yang lebih muda dan suka berfesyen pula, jangan lupa singgah di daerah berbelanja dekat stesen metro Pusan University, kerana di sini suasananya berbeza dengan Nampo-Dong. Ia merupakan satu lokasi membeli-belah yang popular namun auranya yang lebih muda dan meriah, menjadikannya kawasan yang sangat ranggi dan diminati.

Ini sejajar dengan kedudukannya yang berdekatan dengan universiti. Jadi, terdapat ramai mahasiswa di kawasan tersebut yang berkerja di kedai-kedai dan butik serta membeli-belah pada waktu yang sama. Tambahan lagi terdapat satu kawasan yang hanya menjual pakaian lelaki sahaja. Dan lebih menarik lagi kesemua pakaian yang dijual mempunyai rekaan yang unik dan terkini.    

Untuk yang lebih menyukai pusat membeli-belah (shopping mall), anda harus ke Shinsegae yang terletak di kawasan Centum City yang juga dikenali sebagai BEXCO (Busan Exhibition and Convention).

Menurut Rekod Dunia Guinness, Shinsegae adalah gedung membeli-belah terbesar di dunia dan ia tersergam indah di kawasan khas yang menganjurkan konvensyen dan pameran-pameran terbesar Busan.

Gedung membeli-belah ini menjual ajnas barangan berjenama tinggi serta jenama-jenama popular lain untuk pilihan pengunjung dalam serta luar negara. Di depan bangunan ini terdapat sebuah sepanduk besar dengan pengiktirafan dari Guinness Book of World Records tentang kedudukan Shinsegae sebagai ‘the world’s largest department store’.

Di samping membeli-belah sempatkan juga untuk berkunjung ke Busan Museum of Modern Art untuk menghargai karya-karya seni moden dari para seniman seluruh dunia.  Selain itu untuk mengenali budaya tempatan dengan lebih lanjut Busan juga mempunyai banyak kuil dan muzium lain yang boleh dikunjungi.

Pendek kata, biarpun Busan tidak sepopular Seoul, bandaraya kedua Korea ini sebenarnya mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk pelancong yang ingin bercuti. Ia juga mampu menjadi salah satu destinasi percutian popular Asia satu hari nanti. Dengan ajnas keindahan alam semula jadi serta pelbagai tempat membeli-belah di sebuah kota yang serba moden, kami yakin anda tak akan bosan di Busan! - Getaran 28 Februari 2021

Semua gambar: Afdal Shahizad dan Shah Shamshiri

Isu Pada

Syahir Rosdi

27 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

JWP Gerakkan Usaha Promosi Produk Pelancongan Domestik - Dr Zaliha

2

Filem & TV 1 bulan yang lalu

7 Program Korea Selatan Mendebarkan Di Disney+ Hotstar 

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Acara Pelancongan Negeri Sembilan Perlu Beri Impak Maksimum - Aminuddin

4

Sukan 1 bulan yang lalu

Kemenangan Korea Selatan Ke Atas Australia Bukan Balas Dendam - Son

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok