Berita Terkini

8 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Tony Eusoff Dan Zizi Kirana Terus Mara Ke Hadapan

Istimewa sempena Hari Malaysia yang bakal tiba, kami tampilkan dua orang bintang kelahiran Malaysia Timur dari dua generasi berbeza. TARA mendekati pelakon penuh karisma Tony Eusoff dan juga penyanyi kecil molek yang sangat berbakat, Zizi Kirana.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 11 Sep 2021 9:08AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Beberapa hari sahaja lagi, kita semua akan menyambut Hari Malaysia. Hari di mana nama negara Malaysia diwartakan di mata dunia dengan penyertaan dua buah negeri di Malaysia Timur iaitu Negeri di Bawah Bayu, Sabah dan juga Bumi Kenyalang Sarawak.

Ternyata, ramai bintang berbakat besar yang lahir dari dua buah negeri ini dan minggu ini kami tampilkan dua orang anak seni kelahiran Malaysia Timur dari generasi yang berbeza . 

Dua-duanya berbakat dan punya pengalaman masing-masing. Kedua-duanya juga pernah terpalit kontroversi dalam dunia hiburan. Namun, mereka tidak pernah menoleh ke belakang dan terus mara ke hadapan, seperti aspirasi negara kita yang tercinta.

Ikuti bual bicara kami bersama si jejaka yang bergelar pelakon penuh karisma, Tony Eusoff serta si cantik jelita yang pintar menyanyi Zizi Kirana.

 

Tony Eusoff Bintang Berjiwa Malaysia

Sukar bagi pelakon Tony Eusoff untuk menjelaskan tentang asal usul keturunannya dengan lebih mendalam kerana dia memiliki terlalu banyak darah campur. 

Apa yang ketara adalah Ibunya adalah campuran Cina Bidayuh, manakala di sebelah bapanya pula memiliki darah Scotland. 

Maka, anak jati Sarawak yang memiliki nama asal, Anthony Joseph Hermas Rajiman ini lebih gemar melabel dirinya dalam kategori ‘keliru’. 

Satu terma yang kini popular digunakan di kalangan generasi Malaysia yang dilahirkan dengan beberapa darah kacukan. 

“Tapi, itulah yang indahnya tentang Malaysia dan bagi saya cara untuk menunjukkan semangat patriotisme terhadap negara yang tercinta ini adalah dengan meraikan kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di Malaysia. 

“Sebab itulah saya tidak begitu gemar dengan penggunaan bangsa Malaysia. Sebab yang membuatkan Malaysia ini cukup unik apabila negara ini memiliki berbagai jenis kaum dan etnik serta budaya masing-masing. Begitu juga yang dilahirkan dengan darah campur.

“Dan, amat penting juga untuk kita mempelajari dan memahami tentang budaya kaum dan etnik yang terdapat di Malaysia supaya kita mudah untuk berasimilasi dan pada masa yang sama ia boleh menambahkan lagi pengetahuan kita tentang hal-hal tentang ilmu dan konsep budaya.

“Dari situlah baru kita mampu untuk menghormati sesama kita serta memastikan kita akan dapat terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya. 

Pelakon yang juga seorang peragawan dan pengacara ini juga adalah antara selebriti yang mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC.

“Saya menjadi sukarelawan pada asalnya bukanlah disebabkan kerana saya mahu berbakti kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya, saya melakukannya untuk membantu diri saya terlebih dahulu. 

“Saya perlu tenangkan jiwa kerana saya sudah merasa semakin depresi dan tidak siuman apabila hanya terperap di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

“Namun, pada waktu sama saya cuba membantu diri saya, saya juga turut membantu masyarakat untuk memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar,” katanya yang pernah membintangi filem Di Ambang Misteri, Cinta, Akhirat, Sepi, Susuk, Pecah, Cuak, Sindiket, Dendam Pontianak dan Daulat

Sebagai sukarelawan, tugasnya adalah menjadi penyambut tetamu dan memastikan mereka mengikuti proses mendapatkan vaksin itu dengan betul. 

“Saya bertugas dari jam 9 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari. Dan hampir setiap hari, saya melakukan rutin yang sama. 

“Antara cabaran yang perlu saya hadapi adalah apabila terpaksa membantu dan memberi penjelasan kepada pekerja asing yang cuba mendapatkan suntikan vaksin sebab kebanyakanya mereka tidak faham Bahasa Malaysia. 

“Jadi, saya akan cari seorang daripada mereka yang boleh bertutur dalam bahasa mereka dan meminta orang ini untuk menyampaikan mesej kepada rakan-rakan lain. 

“Satu lagi cabaran ialah untuk berhadapan dengan masyarakat kita yang masih lagi tidak memahami prosedur pengambilan vaksin ini dan sering kali bertanyakan soalan yang sama.  Juga meminta mereka mengikut giliran menerusi laluan yang telah ditetapkan. 

“Mujurlah suara saya ini besar. Jadi dengan suara yang tegas saya cuba pastikan mereka ini mengikuti prosedur pengambilan vaksin ini secara sistematik dan lancar. Sebagai sukarelawan, adakalanya kita perlu menggunakan kaedah yang tertentu untuk menangani situasi dan keadaan yang tidak dijangka,” katanya yang mengakui dirinya masih dikenali walaupun menggunakan pelitup muka. 

Tugas sebagai sukarelawan PPV selama sebulan juga menyebabkan Tony kehilangan berat badan. 

“Apa tidaknya, setiap hari saya harus berjalan, makan pulak tidak menentu. Dan, dua minggu sebelum pusat PPV KLCC ditutup, berduyun-duyun pulak orang datang untuk dapatkan vaksin. Sampai adakalanya kita terpaksa balik hingga 8 malam. 

“Bayangkan, pada hari biasa, saya berjalan sebanyak 13,000 langkah tapi pada dua minggu tersebut jumlah langkah saya adalah 30,000 lebih,” katanya yang bakal menyambung semula aktiviti penggambaran drama 13 episod, 'Dukun Dira' selepas Selangor dan Kuala Lumpur kini berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara. 

Dalam perkembangan lain, Tony juga sudah menjadi penerbit dan memiliki syarikat produksi yang ditubuhkan bersama kawannya dan bakal menerbitkan program 13 episod, 'Tony Lapar' untuk TV Sarawak (TVS). 

“Secara realiti, saya memang tidak pandai  memasak. Jadi, di dalam program ini, saya akan cuba memasak dan setiap episod, saya akan ditemani rakan-rakan selebriti,” katanya. 

Syarikat produksinya juga bakal menerbitkan program bual bicara 'Dunia Insan Kreatif Musim 2' atas permintaan daripada TVS selepas berpuas hati dengan kualiti dan kandungan yang dipersembahan dalam musim pertama. 

“'Dunia Insan Kreatif' adalah sebuah program yang mempamerkan bakat-bakat masyarakat kita dalam apa jua medium seni. Kita akan mengundang dua insan seni dan mempamerkan bakat mereka dalam setiap episod,” katanya lagi mengakhiri wawancara.

 

Zizi Kirana Yang Tidak Pernah Berputus Asa 

Berbual dengan Zizi Kirana ternyata menyenangkan apabila dia ternyata rajin tersenyum dan mudah ketawa walaupun pertemuan kami hanya dilakukan dalam talian atas faktor lokasi dan masa. 

Loghat Sabahnya yang pekat itu membuatkan kami memulakan perbualan dengan bercerita tentang zaman kanak-kanak seorang Zizi Kirana yang membesar di sebuah tempat yang diteduhi dengan pergunungan dan tenangnya biru laut.

Sedikit sebanyak, ia menimbulkan bibit kerinduan anak jati Semporna itu kepada kampung halamannya.

Sejak pandemik melanda, Zizi tidak berkesempatan untuk pulang. Maka, Zizi tiada pilihan lain selain menggunakan teknologi yang ada untuk berhubung dengan keluarga bagi meredakan kerinduannya.

Namun begitu, penyanyi yang memegang trofi Persembahan Terbaik semasa Anugerah Juara Lagu 35 itu merasakan terdapat kelompongan yang tidak cukup diisi jika berkomunikasi menerusi layar kecil. Apakan daya, inilah cabaran yang harus dihadapi kita semua sebagai anak rantau.

Pejam celik, rupa-rupanya pemilik nama Nur Fazelah Mad Tahil ini sudah 12 tahun berkecimpung dalam industri. Banyak episod jatuh dan bangun sudah ditempuhinya. Tetapi, bagai ada sesuatu yang berlainan pada Zizi beberapa bulan kebelakangan ini.

Tahun 2021, Zizi bagai hadir dengan sebuah aura baru yang membuatkan para peminat tertanya-tanya apakah sebenarnya gejolak perasaan dalam dirinya sehingga membuatkannya tampil berbeza berbanding sebelum ini.

Terkenal dengan lagu rancak dan pop, Zizi tiba-tiba menghadiahkan sebuah lagu berentak perlahan dengan lirik yang begitu mencengkam bertajuk 'Tentu' awal tahun ini. Ia sebuah rintihan yang menceritakan betapa celarunya jiwa seseorang di sebalik senyuman yang ditopengkan. 

Bukan itu sahaja, dia juga dilihat kerap memuat naik bacaan selawat bersama beberapa selebriti nasyid tanah air.

Terbaharu, selalunya Zizi memang akan mengenakan tudung sepanjang Ramadan bagi menghormati kemuliaan bulan suci itu. Namun tahun ini, buat pertama kalinya, Zizi tidak pernah menanggalkan tudungnya selepas itu.

Kali ini, kami membelah isi hati paling dalam dan mencengkam seorang Zizi Kirana di sebalik ketawa yang ditunjukkannya. Penyanyi ‘Eh’ itu akhirnya berkongsi cerita bahawa pandemik yang melanda dunia sebenarnya menghadirkan sebuah perasaan baharu kepadanya.

Jika selama ini, Zizi selalu terkejar-kejar dan sibuk menguruskan banyak perkara. Pandemik yang menghadkan banyak perkara ternyata membuatkan Zizi banyak berbual dengan diri sendiri. Waktu seolah-olah bergerak perlahan dan Zizi mempunyai banyak masa untuk berfikir lebih dalam tentang makna sebuah kehidupan.

“Pandemik ini mengajar saya untuk bercakap dengan diri sendiri. Banyaklah persoalan yang bermain dalam fikiran saya seperti apakah yang jadi kepada saya dan dunia selepas ini? Adakah saya sudah memberi yang secukupnya kepada keluarga?

“Ada satu tahap di mana saya merasakan bahawa Tuhan sudah beri segalanya, lebih daripada apa yang pernah saya harapkan. Kadangkala, saya tertanya-tanya apalah yang telah saya lakukan sehingga Dia memberi begitu banyak nikmat kepada saya,” ceritanya.

Pandemik ini bukanlah masa yang indah bagi Zizi kerana dalam tempoh ini, Zizi diuji dengan kekosongan dan pemergian orang-orang terdekatnya.

Zizi tidak menolak bahawa ia menjadi antara sebab dia mula terfikir untuk menyarungkan hijab. Namun begitu, ia bukanlah satu-satu alasan untuknya mengenakan tudung.

“Sebelum ini saya memang cuba pakai tudung di bulan Ramadan. Tapi saya biarkan perubahan ini berlaku secara semula jadi tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Perasaan itu hadir dalam sekelip mata sahaja tanpa saya tahu apa dan kenapa. Saya rasa perasaan ini sangat peribadi antara saya dan Allah sahaja yang tahu.

“Sebab itulah saya tak pernah buat apa-apa kenyataan saya sudah bertudung atau berhijrah sebelum ini,” katanya yang sering menghadiri kelas mengaji dan bertaranum bersama-sama Ustaz Fakhrul UNIC setiap minggu.

Selalunya apabila mana-mana selebriti sudah mengenakan imej bertudung, pasti akan dikaitkan dengan bakal melangkah ke alam perkahwinan.

Zizi bagaimanapun menidakkan perkara itu sebelum  ketawa menceritakan terdapat juga individu yang ingin berkenalan dengannya bagi mengenal hati budi. Sayangnya, Zizi tidak membuka pintu hati untuknya.

Bercerita tentang perancangan masa hadapan, Zizi bakal kembali tampil dengan sebuah lagu baru berentak pop dan rancak untuk mengembalikan semula semangat dalam perjuangan mengharungi pandemik ini.

Penyanyi itu bersyukur imej baharunya itu tidak pernah menyekat pintu rezeki malah semakin dilapangkan urusan.

Menyedari ramai yang terkesan dengan keadaan dunia hari ini, Zizi berharap agar semua pembaca sentiasa kuat dan tabah menghadapi detik-detik sukar ini.

“Lakukanlah apa-apa aktiviti yang buat kita lupa betapa tertekannya kita semasa pandemik ini. Semoga kita semua selalu percaya, kuat, sabar dan serahkan apa yang terjadi kepada Tuhan.

“Benar, kita tak boleh bergantung terlalu banyak kepada manusia, tetapi carilah sistem sokongan yang bagus seperti kawan-kawan yang baik. Walaupun tak ramai kawan, tapi biarlah mereka menjadi yang selalu sokong dan mendoakan kita,” katanya menutup temu ramah. - Getaran, 11 September 2021

 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Tony Eusoff & Zizi Kirana

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Elyna Ali & Wafa Aula

Suntingan Teks: Ili Farhana & Shah Shamshiri

Penata Gaya : Arie Sampornak (Tony Eusoff) & Farahdinana (Zizi Kirana)

Busana  : NR Exclusive (Tony Eusoff) , Khoon Hooi & Bimsquare.co (Baju & Tudung Zizi Kirana)

Aksesori : Milik Penata Gaya

Solekan & Dandanan : Chandra Shegar (Tony Eusoff) & Saidatulnisa (Zizi Kirana)

Jurugambar : Azim Rahman

Bantuan Arahan Seni : Sara Mack Lubis & Amalina Kamal

Juruvideo : Syeda Imran

Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar

Isu Pada

Tony Eusoff Dan Zizi Kirana Terus Mara Ke Hadapan

11 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan