Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Coretan Sarjana Dari Kota Istanbul : Bahagian 5

Minggu ini, Ashiqin Ariffin memperkenalkan kepada kita sedikit sejarah Turki dan cara masyarakat di sana meraikan beberapa perayaan, termasuklah majlis perkahwinan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Sep 2021 4:13PM

Hagia Sophia di Turki

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Republik Turki sememangnya kaya dengan sejarah dan budaya yang tersendiri lebih-lebih lagi dengan kedudukan geografi yang sangat strategik yang berada di tengah-tengah antara negara Timur Tengah dan juga Eropah.

Ia juga merupakan antara negara yang bersempadan dengan laut Mediterranean yang sudah tentunya mempunyai cara dan gaya hidup tersendiri.

Masjid Biru
Masjid Biru

Selain daripada aspek kedudukan geografi,  susur galur sejarah negara ini adalah sangat panjang. Jika anda telusurinya, anda akan faham mengapa negara ini sangat istimewa dari segala aspek dan anda juga akan faham bagaimana sejarah lampau membentuk pemikiran dan identiti masyarakat Turki.

Kiz Kulesi
Kiz Kulesi

Maka tidak terkejutlah jika Napoleon Bonaparte, jeneral tentera Perancis yang telah menakluk banyak negara di Eropah dan Timur Tengah pernah berkata, “Jika dunia ini merupakan sebuah negeri, Istanbul adalah ibu kotanya.”

Setelah saya tinggal di sini, saya faham mengapa Napolean mengeluarkan kenyataan berikut. Bagi saya perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan Istanbul, hanya ada satu iaitu ‘unik’. 

Pertama sekali anda perlu faham bahawa Turki merupakan negara sekular menurut perlembagaan yang telah dipasakkan oleh dalam bidang perundangan negara oleh pengasas dan presiden pertama republik ini iaitu, Mustafa Kemal Ataturk. Tahukah anda, perkataan 'Ataturk' itu sendiri bermaksud bapa Turki. 

Ataturk sangat disanjungi di negara ini dan jangan anda terkejut meskipun beliau sudah menghela nafas akhir pada 83 tahun lepas, setiap kedai, premis dan bangunan yang anda melangkah masuk anda akan dapat melihat bingkai gambar beliau elok tergantung di dinding.

Ibarat kita menggantungkan gambar Yang di-Pertuan Agong di bangunan-bangunan rasmi Malaysia. Orang di sini sangat menyanjungi Ataturk, sehinggakan kita tidak boleh langsung bercakap benda yang tidak elok mengenai beliau.  

Semuanya aneh pada mulanya bagi saya. Mereka sangat mengagungkan Ataturk sehingga pelekat kereta di jalan raya merupakan tanda tangan Ataturk, tatu di badan mereka dalam bentuk nama Ataturk.

Teman bilik yang berbangsa Turki terang-terangan menyatakan bahawa beliau sayangkan Ataturk dan sering bertanya kepada saya jika saya sayangkan Ataturk juga.

Sepanjang hayat saya, tidak pernah lagi orang bertanyakan soalan sedemikian dengan saya dan saya tidak pernah lagi mengagungkan mana mana pemimpin di Malaysia sedalam itu. 

Hal ini mengingatkan saya perihal pelawat atau pelancong dari Malaysia yang datang ke sini dan sering mengutarakan soalan tanpa membuat sebarang pembacaan mengenai republik ini dan mereka percaya yang jasad Ataturk tidak diterima bumi.

Bagi saya ini adalah tanda kurang pembacaan dan hanya bergantung kepada bahan picisan bagi maklumat bersejarah seperti ini. 

Kembali kepada Ataturk, meskipun perlembagaan negara Turki adalah sekular dari segi prinsip dan undang-undangnya yang jelas menyatakan bahawa agama perlu diasingkan dengan pentadbiran kerajaan, kesan daripada empayar kerajaan Uthmaniyyah dan peradaban Islam masih boleh dilihat. 

Agama dan negara tidak boleh digabungkan tetapi hal ini berubah-ubah dalam sejarah Turki mengikut jenis pemerintahan kerajaan dalam satu satu masa.

Justeru, jika anda melihat keratan rentas masyarakat Turki, ia secara amnya boleh dibahagikan kepada dua, iaitu masyarakat Turki yang mengamalkan dan mengikut ajaran Islam dan lagi satu adalah masyarakat Turki sekular. 

Hal ini juga boleh dilihat dalam perayaan dan cuti umum dalam kalendar rasmi negara ini. Jika di tanah air, kita meraikan semua perayaan kaum etnik terbesar di Malaysia, namun di sini mereka hanya menyambut perayaan kalendar Islam seperti Hari Raya Aidilfitri yang dipanggil ‘Ramazan Bayram’ dan juga Hari Raya Korban yang dipanggil ‘Kurban Bayram.’ 

Sewaktu kedua-dua perayaan ini disambut, mereka akan mendapat cuti rasmi selama seminggu bagi setiap perayaan.

Selain daripada Ramazan Bayram dan Kurban Bayram, selebihnya adalah sambutan Hari Lahir Ataturk, Hari Kebangsaan, Hari Belia, Hari Kanak-kanak, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baharu. Kebiasaannya sambutan hari untuk perayaan berikut hanya untuk sehari sahaja. 

Lampu yang sentiasa diletakkan sewaktu bulan Ramadan yang bermaksud “Janganlah kita membuang masa”
Lampu yang sentiasa diletakkan sewaktu bulan Ramadan yang bermaksud “Janganlah kita membuang masa”

Menyingkap mengenai sambutan Ramazan Bayram, di sini ianya sangat berbeza berbanding sambutan di Malaysia. Di Istanbul, mereka hanya bersiap seperti biasa dan mungkin kelihatan sedikit lain daripada hari lain namun tidak seperti di Malaysia, di sini mereka tidak memakai pakaian tradisional pada hari raya. 

Manisan dan coklat pelbagai bentuk dan warna yang dijual di kedai sewaktu sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban
Manisan dan coklat pelbagai bentuk dan warna yang dijual di kedai sewaktu sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban

Menjelang seminggu sebelum hari raya, pasar raya di sini akan membuat promosi coklat dan manisan untuk diberikan kepada anak-anak kecil sewaktu musim perayaan.

Tiada makanan yang spesifik yang dibuat sewaktu menyambut perayaan ini namun seperti rakyat Malaysia yang menyambut sambutan hari raya, sesebuah keluarga akan melawat keluarga yang lain. 

Sambutan Ramadan di luar Blue Mosque
Sambutan Ramadan di luar Blue Mosque

Sejujurnya sambutan hari raya di sini tidak semeriah di Malaysia. Di Malaysia banyak benda dijadikan bahan komersial untuk dijual dan ia sebahagian daripada strategi pemasaran namun elemen-elemen inilah yang membuat sesuatu perayaan lebih meriah.

Pada pendapat saya, di Turki, sambutan bulan Ramadan itu sendiri lebih meriah kerana masyarakat Turki ini sangat pemurah. 

Majlis perbandaran akan menjamu penduduk di sesebuah kawasan dengan makanan Turki dan sesiapa sahaja boleh datang dan duduk serta menjamu selera bersama dengan jiran tetangga yang lain pada waktu berbuka puasa.

Kawasan masjid sewaktu bulan Ramadan sangat meriah dan penuh dengan kanak-kanak bermain di kawasan luar dan dalam masjid. 

Sama seperti Ramazan Bayram, sambutan Kurban Bayram atau Hari Raya Haji adalah seakan-akan sama.

Cuma mereka tidak mengagihkan bahagian daging yang telah dilapah setelah disembelih kerana mereka sangat sistematik dalam bab mengagihkan daging kepada orang yang benar benar susah.

Coklat dan manisan masih lagi menjadi buah tangan yang diberi oleh orang yang lebih tua kepada kanak-kanak kecil. 

Pasangan kekasih menikmati udara segar di tebing Selat Bosphorus
Pasangan kekasih menikmati udara segar di tebing Selat Bosphorus

Bercakap mengenai sambutan dan perayaan, saya teringat mengenai sambutan perkahwinan di sini. Sambutan perkahwinan di sini juga sangat meriah.

Namun apa yang paling saya ingat adalah proses membawa kepada sambutan perkahwinan itu sendiri. Jadi, di Malaysia kita mempunyai beberapa tahap yang perlu kita lalui bersama keluarga masing-masing sebelum disatukan, begitu juga di sini. 

Saya paling tertarik dengan tradisi bertunang di sini. Seperti di Malaysia, keluarga pihak lelaki akan berkunjung beramai-ramai ke rumah pihak perempuan dan mereka akan berbincang mengenai hal perkahwinan dan kebiasaannya ada kek untuk dipotong yang dijadikan simbol sebagai tanda ikatan pertunangan. 

Gambar: Samer Daboul, Pexels
Gambar: Samer Daboul, Pexels

Paling menarik sekali, pihak perempuan akan menyediakan secangkir kopi kepada bakal pengantin lelaki, dan di dalam kopi itu tidak diletakkan gula, tetapi garam untuk memasinkan kopi tersebut.

Pada waktu inilah, semua mata terletak ke muka bakal mempelai, dengan tujuan untuk menguji sejauh mana lelaki itu sanggup pergi demi mendapatkan kekasih hati. 

Pada hari perkahwinan itu sendiri, jika anda dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan di Turki, tidak perlu kusut memikirkan hadiah untuk pengantin.

Tidak seperti kebiasaan rakyat Malaysia yang menghadiahkan barang rumah untuk pengantin, di sini mereka jarang menghadiahkan peralatan rumah, tetapi mereka selalu akan membelikan wang emas atau memberikan wang kepada pengantin. 

Gambar: Lbbonline.com
Gambar: Lbbonline.com

Paling unik mengenai hal ini adalah, setiap orang akan diberikan kesempatan untuk pergi mengucapkan tahniah kepada pengantin dan pada waktu yang sama melekatkan pin wang syiling emas itu pada baju pengantin perempuan.

Kebiasaannya, mereka akan memakai selempang khas untuk dipinkan wang yang diberikan tetamu. 

Pada majlis resepsi perkahwinan, seperti majlis perkahwinan di negara jiran di Timur Tengah, masyarakat Turki juga sangat suka menari. Namun di sini, mereka akan menari 'Halay' terutamanya mereka yang berasal daripada kawasan Laut Hitam.

Sejurus mendengar lagu 'Halay' mereka akan berdiri dalam bulatan dan memegang tangan antara satu sama lain dan terus menggerakkan badan dan juga melompat bersama-sama mengikut rentak muzik yang dimainkan.

Begitulah apabila berada di negara orang, setiap langkah di sini merupakan langkah perjalanan ilmu. Saya banyak belajar mengenai budaya lain terutamanya mengenai tradisi dan adat rasmi mereka.

Saya juga sedar, jika saya dapat mengetahui budaya masyarakat di sini, sedikit sebanyak saya sedang mempelajari budaya asas kaum di Timur Tengah kerana tidak banyak bezanya terutamanya bab sambutan perkahwinan.

Dari situ kita membina asas pengetahuan terus mempelajari benda baharu. - Getaran, 5 September 2021 

Semua gambar: Ashiqin Ariffin, kecuali tertera

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 hari yang lalu

Keluarga Pelajar Sabah Di Asia Barat Diminta Bertenang

2

Semasa 3 minggu yang lalu

Hilang Wang Punca Kes Pelajar Dipukul Hingga Maut

3

Pendidikan 2 bulan yang lalu

Kementerian Pendidikan Galakan Murid, Pelajar Lawat Tapak Warisan UNESCO

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Syahid Dibunuh Zionis, Pemergian Pelajar UUM Warganegara Palestin Kehilangan Besar 

Sorotan

1

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

2

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

3

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

4

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

5

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

6

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang