Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Seberapa Jauh Anda Sanggup Berkorban Demi Yang Tersayang?

Demi cinta, Gordon Ling sanggup mendermakan buah pinggang demi isteri tersayang.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Sep 2021 12:14PM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penyakit Ginjal Kronik (PGK) kekal menjadi masalah kesihatan utama di negara kita dengan lebih 40,000 pesakit mengalami kegagalan buah pinggang yang kronik. 

Penyumbang utama kepada penyakit ini adalah tekanan darah tinggi dan diabetes. Malangnya, jumlah pemindahan buah pinggang iaitu rawatan terbaik untuk penyakit ini masih lagi rendah. 

Oleh itu, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia melancarkan inisiatif ‘Program CODE : Life'  yang menyokong dan membantu pesakit buah pinggang, keluarga dan masyarakat untuk memahami tentang konsep pendermaan organ dan kepentingannya dengan lebih lanjut. 

Mari kita singkapi kisah menarik dan membekas seorang penderma organ, Gordon Ling yang berkongsi tentang kisah perkahwinannya yang mencabar. Isterinya disahkan menghidapi PGK ketika dia sedang hamil. Gordon nekad membuat keputusan yang bakal mengubah kehidupan mereka selama-lamanya. 

Gordon yang berusia 34 tahun semasa itu memilih untuk menderma buah pinggangnya kepada sang isteri. Sebuah hadiah yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Gordon tidak berfikir dua kali dalam membuat keputusan ini kerana cintanya yang mendalam terhadap isteri. 

Tentulah terdapat kerisauan dan bantahan daripada keluarga dan sanak saudara terdekat, tetapi minda Gordon sudah sedia untuk membuat pengorbanan. Harapannya satu, untuk memberi kehidupan kedua untuk isterinya yang bersusah payah melahirkan anak perempuan mereka. 

“Bantahan terbesar sebenarnya datang daripada isteri saya. Dia risau tentang keselamatan saya yang sanggup berkorban demi memberi sebahagian diri saya kepadanya. Terutamanya bagaimana reaksi badan saya setelah saya menderma buah pinggang tersebut,” kata Gordon. 

Gordon Ling, penderma buah pinggang
Gordon Ling, penderma buah pinggang

Pengarah filem dokumentari ini turut menjelaskan bukan hanya dia seorang sahaja yang berkeinginan untuk menderma, malah ibu mertua dan adik ipar perempuannya juga turut menawarkan untuk menderma buah pinggang mereka. 

Namun setelah berbincang, Gordon merupakan calon yang paling sesuai untuk menderma buah pinggangnya memandangkan usia ibu mertuanya yang sudah tua dan demi masa hadapan adik iparnya untuk berkeluarga kelak. 

“Setiap keluarga mempunyai masalah dan situasi tersendiri. Sebagai penderma, saya mahu menasihati mereka yang ingin menderma untuk tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan. 

“Namun, jika permasalahan kamu adalah masalah kesihatan selepas menderma, tidak perlu risau kerana terlalu banyak ujian yang bakal dijalankan oleh doktor sebelum kamu benar-benar layak untuk menderma kerana tidak semua orang boleh hidup dengan satu buah pinggang sahaja. 

“Jika kamu terdetik dalam keraguan untuk menderma organ kepada mereka yang tersayang, jawapan saya ialah seribu kali ya. Dermalah kerana ia bakal mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik. Mereka tidak perlu menjalani proses dialisis yang menyakitkan lagi,” ujarnya. 

Perkara paling menyentuh hati ialah ketika Gordon dapat melihat isterinya berenang bersama bayi perempuan mereka buat kali pertama setelah menjalani pembedahan pemindahan organ tersebut. 

Ia impian yang menjadi kenyataan apabila isteri mampu memeluk bayi perempuan mereka di dalam kolam renang, setelah disarankan oleh doktor untuk tidak berenang sebelumnya. 

“Perkara-perkara kecil inilah yang menjadi pembakar semangat saya. Perjalanan pembedahan dan pendermaan buah pinggang saya sangat berbaloi setelah melihat isteri dan anak perempuan saya gembira di dalam kolam renang, buat pertama kali setelah sekian lama,” katanya.

Gordon Ling bersama keluarganya. Gambar Fail Bernama
Gordon Ling bersama keluarganya. Gambar Fail Bernama

Bersama, Gordon dan isterinya sedia menjalani liku-liku kehidupan yang menjerihkan ini sehingga mereka kuat menempuhi pahit-manis kehidupan. Mereka berjaya menjalani pengalaman mengandung yang sangat mencabar ini sebagai sepasang suami isteri. 

Selepas itu, fokus mereka hanya tertumpu untuk membesarkan anak perempuan mereka. Setelah dia berusia empat tahun, barulah Gordon dan isteri menjalani rawatan pemindahan buah pinggang yang intensif.

“Terlalu banyak ujian, sampaikan saya tidak ingat semuanya. Mereka mengadakan ujian dari segenap tubuh saya. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Saya masih ingat doktor pernah menyuntik sejenis radiasi untuk melihat bagaimana tubuh saya memberi reaksi,” kata Gordon. 

Bagi Gordon, segala ujian itu tidaklah serumit ujian yang dijalankan untuk isterinya. Terlalu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menjalankan ujian bagi penerima organ seperti bagaimana penerimaan tubuh terhadap organ asing serta perkara-perkara kritikal yang lain. 

Istimewanya, buah pinggang Gordon sesuai dengan tubuh isteri. Ia jarang berlaku. Ujian pertama percubaan menunjukkan hanya 85% penerimaan dengan 25% penolakan. Namun setelah menjalani biopsi, keputusannya menunjukkan 0% penolakan.

Menjelang hari pembedahan, Gordon merasa teruja bercampur gementar kerana di dalam fikirannya hanyalah fasal kehidupan yang bakal dijalani isterinya selepas pembedahan nanti. 

“Mungkin kedengaran seperti drama Korea, jururawat sentiasa menempatkan kami secara bersebelahan dalam apa-apa jua keadaan. 

“Saya masih ingat semasa hari pembedahan, saya selesai terlebih dahulu tetapi doktor dan jururawat mengusung saya ke wad pembedahan isteri sejurus saya terjaga di wad pemulihan.

“Setelah pembedahan isteri saya selesai, mereka menolak katil saya ke sebelah isteri untuk menemaninya. Secara tidak sedar saya memegang tangan isteri di katil. 

“Kemudian, saya terdengar bunyi ‘awwww’ daripada jururawat-jururawat yang masih lagi berada di dalam bilik pembedahan,” tawanya menutup wawancara. – Getaran, 5 September 2021

Gambar: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan Gambar Fail Bernama

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Rencana 1 bulan yang lalu

Kerap Sakit Kepala, Sesak Nafas Petanda Buah Pinggang Rosak Tahap Kritikal

2

Semasa 7 bulan yang lalu

Nisbah Satu Penderma Organ Kepada Sejuta Populasi Bakal Dicapai Dalam Masa Terdekat

3

Semasa 1 tahun yang lalu

KKM Galak Penyertaan GP, Doktor Kontrak Jayakan Pemanjangan Waktu Operasi Klinik Kesihatan

4

Selebriti 1 tahun yang lalu

“Buah Pinggang Stabil, Tapi Kena Jaga Makan Minum” – Along Eyzendy

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini