Berita Terkini

10 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Masyarakat Perlu Bersedia Hadapi Cuaca Lebih Ekstrem - Pakar

Isu pemanasan global yang memberi kesan kepada perubahan iklim dunia kembali meraih perhatian dan semakin hangat diperkatakan susulan tragedi besar dan bencana yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia dengan yang terkini kejadian kepala air di Yan, Kedah.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 04 Sep 2021 8:58AM

Gambar Hiasan dari Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tragedi kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas yang meragut enam nyawa, berlaku akibat kadar purata hujan di kawasan tersebut terlalu tinggi dan menurut pakar, tidak mustahil insiden serupa akan berlaku lebih kerap di negara ini.

Digambarkan oleh penduduk setempat sebagai 'tsunami kecil', fenomena kepala air itu yang didakwa sesetengah pihak sebagai akibat aktiviti pembalakan, juga diyakini pakar ada kaitan dengan pemanasan global yang menyumbang kepada perubahan iklim yang kini berlaku di seluruh dunia.    

Ketidaktentuan sistem iklim dan cuaca dunia hari ini  jelas mempengaruhi pola suhu, hujan, kelembapan sehingga mencetuskan bencana alam yang semakin kerap dan ekstrem.

Kadar intensiti hujan yang tinggi  bukan sahaja  berlaku di Malaysia tetapi turut direkodkan di negara-negara lain dan menyebabkan banjir besar serta tanah runtuh, antaranya di wilayah Henan, China, selatan Jerman, Belgium, Switzerland, Luxembourg, Belanda, Austria serta Turki yang mengorbankan ratusan nyawa serta kemusnahan harta benda pada Julai dan Ogos tahun ini.

Selain itu, gelombang haba melampau dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius di beberapa negara mencetuskan bencana kebakaran hutan membabitkan keluasan jutaan hektar, antaranya di Amerika Syarikat, Kanada, Greece dan Turki.

Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim ke-6 yang dikeluarkan oleh Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Ogos, pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) telah meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah Celsius berbanding pada zaman praperindustrian Eropah.

Malah, IPCC turut menjangkakan suhu dunia meningkat 1.5 darjah Celsius atau lebih dalam tempoh 20 tahun akan datang dan antara kesannya ialah cuaca lebih ekstrem yang menyebabkan peningkatan gelombang haba, musim panas lebih panjang dan musim sejuk lebih singkat.

Kesan perubahan iklim ini berbeza mengikut wilayah, misalnya ada kawasan akan mengalami peningkatan kadar purata hujan yang tinggi sekali gus menyebabkan banjir, sementara wilayah lain pula mengalami kemarau yang teruk.

Selain itu, pemanasan global akan menyaksikan peningkatan paras laut yang berterusan setiap tahun dan akibatnya kejadian hakisan lebih teruk selain menjejaskan menjejaskan ekosistem marin.

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

 

CUACA LEBIH EKSTREM

Pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata kekerapan kejadian cuaca ekstrem dijangka terus  meningkat di dunia, khususnya ribut petir dan taufan.

“Ini kerana apabila atmosfera panas, ia boleh menyimpan lebih banyak wap air atau haba pendam, dan bila banyak wap air maka lebih banyaklah lagi haba pendam dan ini akan merangsang (meningkatkan lagi) kuasa ribut petir yang dijana,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata disebabkan negara ini terletak di kawasan tropika lembap, cuacanya amat dipengaruhi oleh kejadian ribut petir dan peningkatan suhu atmosfera menyebabkan lebih banyak wap air disimpan, sekali gus meningkatkan kuasa ribut petir yang seterusnya merangsang hujan lebih lebat dan angin yang lebih kuat.

“Berasaskan logik ini, cuaca ekstrem khasnya hujan yang dulu mempunyai ‘return period’ (Kala Kembali Purata) satu hingga 50 tahun mungkin akan berlaku lebih kerap antara satu hingga 20 tahun,” jelas beliau.

(Kala Kembali Purata (KKP) merujuk kepada selang masa untuk kejadian tersebut berulang).

Inilah yang berlaku dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan baru-baru ini yang dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air  Datuk Seri Zaini Ujang sebagai berpunca daripada taburan hujan luar biasa dengan keamatan tinggi di sekitar Gunung Jerai, iaitu 91 milimeter (mm) untuk tempoh satu jam serta KKP melebihi 70 tahun.

Azizan seterusnya mengesyorkan beberapa langkah bagi mengurangkan impak perubahan cuaca ekstrem tersebut terhadap kehidupan manusia, antaranya pelaksanaan strategi untuk mitigasi banjir.

“Aspek perancangan pembangunan perlu mengambil kira perancangan saliran seperti kelebaran dan kedalaman parit di kawasan bandar untuk menampung jumlah hujan yang dijangka lebih lebat pada masa hadapan.

“Begitu juga perancangan bangunan awam yang dijangka hayatnya 50 tahun ke atas, (perancangan) mestilah mengambil kira perubahan iklim seperti kenaikan paras air laut atau paras air banjir maksimum yang dijangka, supaya bangunan dapat direka bentuk bagi mengelak daripada rosak atau terjejas bila cuaca ekstrem seperti banjir melanda,” katanya.

Banjir di New York. Gambar Fail Reuters
Banjir di New York. Gambar Fail Reuters

 

KESAN PENINGKATAN PARAS AIR LAUT

Azizan yang merupakan Pengarah Pusat Kebangaan Penyelidikan Antartika, Universiti Malaya, menjelaskan peningkatan paras air laut akan memberi kesan besar kepada kehidupan manusia terutama mereka yang tinggal berhampiran zon pantai.

Sekiranya air laut naik dan melimpah,  akan berlaku masalah penerobosan air garam atau saltwater intrusion yang akan menjejaskan kehidupan manusia, terutama aktiviti petanian di kawasan berdekatan.

Mengambil contoh Yan yang terletak berhampiran pantai, beliau berkata pertanian di kawasan itu akan terkesan dengan fenomena tersebut, terutama kegiatan penanaman padi berikutan tanihnya (lapisan tanah yang subur di bawah lapisan paling atas) menjadi lebih masin.

Sehubungan itu katanya, jabatan berkenaan perlu melakukan inovasi secara berterusan agar benih padi yang ditanam kawasan berdekatan pantai lebih berdaya tahan terhadap tanah yang yang lebih masin.

“Sumber air juga perlu dipelbagai, contohnya dengan  mengambil air minuman daripada air bawah tanah seperti akuifer air mineral sekarang untuk menampung air sungai. Banyak perancangan yang boleh dibuat untuk membina  daya tahan sistem sosioekonomi negara dan masyarakat terhadap perubahan iklim,” katanya.

Tegas beliau, pendekatan kerajaan yang selama ini hanya menumpukan kepada daratan bumi juga harus diubah dengan turut melihat peranan ekosistem pesisir dan laut, khususnya dalam bajet karbon Malaysia, kerana ekosistem itu berperanan besar sebagai penyumbang kepada ekonomi dan sekuriti makanan.

Katanya sebagai sebuah negara maritim dengan keluasan laut yang berganda besar berbanding daratan, Malaysia harus mengambil kira isu karbon biru atau penyerapan karbon dioksida  oleh lautan di sekeliling negara untuk disenaraikan dalam kuota pelepasan karbon dioksida Malaysia.

 “Peningkatan suhu laut dan juga pengasidan akan memberi kesan kepada produktiviti primer laut, khususnya kepada perikanan dan juga terumbu karang.

“Kita patut memulakan pencerapan sea state (keadaan permukaan laut) kawasan negara untuk mendapat base line (garis dasar) keadaan Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Andaman.

“Tapi bagaimana ingin mencerap perubahan kalau tidak ada makluman base line? Banyak cabaran yang timbul berkait dengan kekurangan pencerapan laut, khasnya laut dalam kita,” katanya

Mengulas tentang laporan IPCC tentang perubahan iklim kesan cuaca lebih panas antara 1.5 dan 2 darjah Celsius pula,  Azizan  berpendapat julat suhu itu tidak menukar status quo tamadun manusia atau mengubah ekosistem dengan banyak.

Namun, jika pelepasan GHG melebihi ketumpatan 400 ppm (bahagian per juta) ke 800 ppm yang akan meningkatkan suhu global kepada 4.0 darjah Celsius atau lebih, keadaan itu akan menukar sepenuhnya ekosistem dan sosioekonomi ke suatu keadaan baharu yang belum lagi dilalui tamadun manusia dan seterusnya  menjadi krisis iklim, jelasnya.

Selagi bukan krisis iklim,  Azizan optimis masyarakat umum mampu menangani bencana yang berlaku apabila mereka semakin biasa dan peka dengan fenomena berkenaan.

Sebagai contoh masyarakat di pantai timur Semenanjung yang sudah terbiasa dengan banjir tahunan pada penghujung tahun.

“Namun isu akan timbul apabila banjir tersebut di luar jangkaan pengalaman masyarakat tempatan seperti banjir besar 2014.

“Jadi perancangan mesti dibuat untuk mendidik masyarakat umumnya agar lebih berdaya tahan dengan perubahan iklim yang berlaku,” katanya.

Menurutnya,  saintis sependapat bahawa sasaran pemanasan yang kurang menjejaskan ialah pada julat 1.5 dan 2.0 darjah Celsius dan ini adalah sasaran pengurangan pelepasan GHG dunia. Namun, sasaran itu masih belum tercapai dan inilah yang sebenarnya krisis iklim yang sedang dihadapi manusia.

Azizan berkata kemajuan teknologi khususnya dalam planetary geoengineering boleh mengurangkan suhu global, namun krisis iklim tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya dunia memerlukan paradigma baharu untuk bersama-sama mendukung planet ini dengan menjaga kelestarian alam sekitar bumi.

(Geongineering merujuk kepada intervensi berskala besar terhadap sistem semula jadi bumi bagi menangani perubahan iklim)

 

MANTAPKAN SISTEM AMARAN HUJAN

Pandangan itu turut dipersetujui pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman yang berpendapat aktiviti manusia menjadi penyumbang utama peningkatan kepekatan GHG yang akan mempengaruhi suhu bumi.

Ini berlaku apabila haba yang masuk ke dalam sistem iklim lebih tinggi berbanding yang dilepaskan ke angkasa dan di Malaysia kesannya boleh dilihat menerusi ketidaktentuan sistem iklim dan cuaca, jelas beliau.

Antaranya, curahan hujan tidak lagi tetap mengikut musim malah kadangkala ekstrem sehingga menyebabkan peningkatan kekerapan bencana banjir dan tanah runtuh seperti yang berlaku di Yan, Kedah.

Haliza berkata kadar hujan tidak menentu dengan jumlah yang sukar dijangka akan mengganggu corak kegiatan ekonomi seperti sektor pertanian yang seterusnya mempengaruhi pendapatan petani dan kemandirian mereka yang akhirnya memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Bagaimanapun ada langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan impak ketidaktentuan cuaca seperti mengukuhkan lagi sistem amaran awal bencana dan melakukan pemetaan kawasan yang berpotensi mengalami bencana, katanya.

“Sistem amaran hujan telah mencukupi cuma perlu dimantapkan, khususnya sistem penyampaiannya kepada pihak berkepentingan lain yang ‘bermasalah’.

“Tambahan pula, di negara khatulistiwa seperti Malaysia, berlaku apa yang kita panggil cuaca awan perolakan. Adakalanya kita baru hendak mengesan, nak keluarkan amaran, tetapi cuacanya sudah tamat. Adakalanya kita tidak sempat hendak keluarkan amaran. Ini antara kesukaran dalam meramal faktor cuaca seperti hujan bagi kawasan yang kecil seperti di Yan, Kedah,” katanya.

Justeru, semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana harus memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan.

Beliau juga menegaskan kepentingan pihak berkenaan mengambil iktibar daripada bencana Yan yang sebenarnya hampir menyamai kejadian Pos Dipang.

Selain itu, Haliza turut mencadangkan agar usaha mengurangkan pelepasan GHG di Malaysia diperkemaskan lagi, antaranya menambah bilangan bandar rendah karbon dan menambah baik sistem pengangkutan awam.

“Selain itu, perlu mewajibkan semua syarikat dalam setiap sektor ekonomi mengemukakan dan membuat pengiraan serta melaporkan kadar pelepasan GHG setiap tahun agar kita boleh mengenal pasti sektor yang perlu diberi tumpuan,” katanya.

Menerusi Perjanjian Paris, Malaysia berikrar meningkatkan pengurangan pelepasan GHG kepada 45 peratus menjelang 2030, berbanding 40 peratus sebelum ini.

Dalam pada itu, pelepasan karbon global dianggarkan sekitar 36 bilion tan setahun dan dijangka meningkat secara beransur-ansur di semua negara, selepas berakhirnya pandemik. - Bernama

Artikel tiga bahagian ini mengupas tentang isu tersebut dan kesannya kepada Malaysia, khususnya dari segi sosioekonomi.

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 5 hari yang lalu

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

2

Luar Negara 4 minggu yang lalu

Dunia Alu-Alukan Penerimaan Resolusi Gencatan Senjata Di Gaza

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Malaysia Kecam Serangan Israel Terhadap Pusat Agihan Makanan PBB Di Rafah

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

China Sokong Keanggotaan Penuh Palestin Dalam Majlis Keselamatan PBB

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan