Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Coretan Sarjana Dari Kota Istanbul : Bahagian 4

Orang Barat amat mengagungkan makanan Turki, tetapi adakah ia menepati cita rasa Ashiqin Ariffin? Jom baca coretannya minggu ini tentang seleksi juadah di sana.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Aug 2021 10:08AM

'Turkish delight' Gambar: Meruyert, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Apa yang terlintas di minda bila sebut tentang makanan Turki? Sudah pastinya kita akan teringatkan makanan dan manisan terkenal seperti kebab, Turkish delight dan baklava.

Sebenarnya, makanan Turki sangat pelbagai dan setiap bandar mempunyai perisa tersendiri. 

Saya juga begitu, sebelum ke Turki saya hanya mengenali coklat Turkish delight keluaran Cadbury yang hanya boleh didapati di kedai bebas cukai di Pulau Langkawi dan menggambarkan yang semua manisan di Turki sesedap coklat Cadbury. 

Teh hitam kegemaran orang Turki yang turut menjadi kegemaran penulis
Teh hitam kegemaran orang Turki yang turut menjadi kegemaran penulis

Untuk pengetahuan anda semua, makanan Turki adalah jati diri masyarakat Turki di sini dan mereka sangat bangga dengan makanan mereka.

Jika anda berkesempatan ke Turki dan bertanya mereka apakah makanan paling sedap di muka bumi ini? Tanpa sedetik lebih pun, mereka akan menjawab makanan Turki. 

Banyak perbezaan antara makanan Turki dengan makanan Malaysia. Jika makanan ruji kita adalah beras, makanan ruji masyarakat Turki pula roti.

Roti adalah komponen penting pada setiap waktu makan tidak kiralah sarapan pagi, makan tengah hari mahupun makan malam.

Beras adalah sebahagian daripada makanan mereka namun cara nasi itu dimasak sangat berbeza dan ia disediakan dalam kuantiti yang sedikit berbanding di Malaysia. 

Sejujurnya saya tidak menggemari cara mereka memasak nasi di sini kerana ianya dimasak dengan minyak.

Setiap bandar di Turki mempunyai rasa makanan tersendiri. Maka saya hanya akan bercerita mengenai pengalaman menyesuaikan diri dengan makanan yang terdapat di Istanbul dan juga bagaimana pelajar Malaysia seperti saya menyesuaikan diri dengan makanan baru. 

Kepak ayam versi Turki, disediakan bersama salad campuran dan bulgur
Kepak ayam versi Turki, disediakan bersama salad campuran dan bulgur

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan makanan Turki terdiri daripada daging, sayur-sayuran dan bahan kekacang.

Berdasarkan pembacaan saya sebelum ke Turki, orang Barat amat mengagungkan makanan Turki, justeru saya telah menetapkan jangkaan yang agak tinggi sebelum mencuba makanan yang disediakan.

Saya amat terkejut kerana kebanyakan makanan yang disediakan tawar, seolah-olah kurang perasa. Lama-kelamaan saya faham mengapa orang Turki tidak meletakkan banyak perasa tambahan di dalam makanan mereka.

Ia kerana, mereka suka dan sangat menghargai perasa semula jadi yang datang daripada daging dan sayur-sayuran yang mereka masak. 

Meja yang dipenuhi dengan makanan untuk sarapan pagi di Turki
Meja yang dipenuhi dengan makanan untuk sarapan pagi di Turki

Sarapan di sini pula bukan seperti di tanah air, penuh semeja dengan nasi lemak dan kuih-muih. Di sini, meja masih penuh tetapi dengan makanan sihat.

Saya buntu melihat meja penuh dengan sajian sayur-sayuran yang dimakan ibarat ulam di Malaysia, keju pelbagai bentuk dan juga bermacam jenis jem.

Di Malaysia, saya sangat cerewet terutamanya bab sayur-sayuran dalam pemakanan saya. Saya tidak suka rasa tomato di Malaysia kerana selalunya ia sangat masam. 

Tidak di Turki, buah tomato di sini manis dan sedap untuk dimakan dan saya masih memilih tetapi tidak lagi menolak jika terdapat buah tomato di atas meja.  

Semangkuk buah ceri yang penulis beli dari pasar tani bersebelahan dengan rumahnya
Semangkuk buah ceri yang penulis beli dari pasar tani bersebelahan dengan rumahnya

Ini antara perkara yang saya perasan setelah berkunjung ke pelbagai negara selain Turki dan Malaysia. Buah-buahan dan sayur-sayuran di Turki penuh dengan perisa dan sangat sedap bergantung kepada musim.

Musim panas seperti sekarang, kedai-kedai dan pasar pagi penuh dengan buah ceri, aprikot, strawberi, pic dan juga buah tin. Sayur-sayuran juga begitu, musim panas ini adalah musim jagung dan kacang pis.

Saya baru sahaja membeli buah ceri dari pasar tani di tepi rumah dengan harga 5TL untuk satu kilogram. Untuk anggaran dengan duit Malaysia, 5TL bersamaan kira-kira RM2.50.

Situasi normal ketika sarapan di Turki, pastri yang berinti daging di bahagian kiri yang dipanggil 'borek' dan 'kaymak' yang berwarna putih diletakkan di atas jem buah beri biru serta roti dan madu
Situasi normal ketika sarapan di Turki, pastri yang berinti daging di bahagian kiri yang dipanggil 'borek' dan 'kaymak' yang berwarna putih diletakkan di atas jem buah beri biru serta roti dan madu

Selain daripada sayur-sayuran pada waktu sarapan, saya juga amat menggemari aneka jem yang dibuat daripada pelbagai jenis buah-buahan serta krim pekat.

Inilah sajian kesukaan saya pada waktu pagi. Krim pekat atau dalam bahasa Turki di panggil 'kaymak' ini diperkenalkan kepada saya melalui guru bahasa Turki pada tahun pertama.

Beliau telah mendemonstrasi cara makan roti dan kaymak serta dicicah dengan madu atau jem buah-buahan. Memang sedap, penuh lemak manis. 

'Kaymak' dan madu. Gambar: Tasteatlas.com
'Kaymak' dan madu. Gambar: Tasteatlas.com

Saya diberitahu bahawa kaymak diperbuat daripada susu lembu, kambing atau kerbau yang segar dan dididihkan di atas api perlahan sehingga 10 jam.

Susu yang tersejat itu akan menjadi krim dan terapung di atas permukaan yang dididih. Maka, krim itulah yang disimpan untuk dijadikan kaymak.

Jika duduk di asrama, saya selalu akan memilih untuk makan telur dadar atau telur mata dengan keju Turki kerana ia cepat dan sedap. 

Antara makanan yang disediakan di kantin asrama di Istanbul dan sudah semestinya ada teh hitam
Antara makanan yang disediakan di kantin asrama di Istanbul dan sudah semestinya ada teh hitam
Daging yang dipanggang sambil dipusingkan. Gambar: Maruyert, Pexels
Daging yang dipanggang sambil dipusingkan. Gambar: Maruyert, Pexels

Kita beralih pula ke menu makan tengah hari. Selalunya, makanan tengah hari pelajar di sini tidak mengira kaum mahupun bangsa adalah doner. Ia makanan Timur Tengah yang rakyat Malaysia selalu panggil kebab iaitu roti yang diletakkan daging serta sayuran lain.

Di Turki, kebab bermaksud daging yang dipanggang atas pemanggang api dan disediakan di atas pinggan dengan salad campuran, nasi atau bulgur.

Apabila saya bawa ahli keluarga atau tetamu dari Malaysia untuk menjamu selera di sini saya akan pastikan yang mereka tahu bahawa kebab bukan seperti kebab di Malaysia.

Kebab daging dimasak dengan buah ceri yang hanya didapati pada musim panas, turut disediakan dengan roti leper yang dipanggil 'lavaş'
Kebab daging dimasak dengan buah ceri yang hanya didapati pada musim panas, turut disediakan dengan roti leper yang dipanggil 'lavaş'

Doner bermaksud dipusingkan dalam bahasa Turki, kerana daging yang diletakkan secara bertingkat di batang besi itu dipusingkan supaya ia dapat dimasak secara sekata.

Beza antara kebab di Malaysia dan doner ialah, doner di sini menggunakan roti keras atau dipanggil yarım ekmek. Setiap kedai mempunyai cara berbeza-beza, ada yang meletakkan terung goreng, kentang, lobak merah dan ada yang meletakkan cili. 

Ada juga yang meletakkan sos tersendiri, tak kurang juga hanya meletakkan sos tomato di dalam roti yang dipenuhi hirisan daging ayam. Terdapat juga durum, iaitu daging ayam atau daging yang dibalut dengan roti leper.

Di sini, bukan seperti di negara-negara Asia Tenggara. Sos cili tidak wujud di negara Barat termasuk di Turki, jadi terserahlah kepada setiap individu kerana kebanyakan pelajar daripada Asia Tenggara mahukan makanan pedas.

Ada rakan saya sanggup bawa botol sos cili apabila keluar dari rumah malah ada juga yang bawa paket sos cili seperti di McDonald’s dalam beg masing-masing.

Secara peribadi saya sangat suka membeli doner dan dibawa balik ke bilik asrama mahupun rumah dan dituangkan sos cili Thailand. Selalunya doner sangat murah.

Pada 2015 doner boleh dibeli dengan harga 5TL dan kini disebabkan inflasi harganya naik sedikit menjadi 7TL dan masih di bawah 10TL. 

Lauk 'kuru fasulye' yang kurang digemari orang Asia. Gambar: hurriyet.com.tr
Lauk 'kuru fasulye' yang kurang digemari orang Asia. Gambar: hurriyet.com.tr

Ada juga makanan Turki yang tidak digemari ramai pelajar luar terutamanya dari Malaysia. Saya jarang dengar pelajar Malaysia suka lauk ini.

Namanya kuru fasulye yang membawa maksud kacang putih kering. Ketika berada di asrama persendirian pada tahun pertama, pihak asrama akan menampal menu untuk seminggu dan jika ada kuru fasulye pada hari itu, saya dan rakan sebilik tanpa berlengah masa akan makan di luar.

Kuru fasulye boleh dimakan sama ada dengan roti atau pun nasi berminyak dan terdiri daripada kacang putih kering, pes tomato, bawang serta serpihan daging. Kebiasaannya, kalau di asrama pelajar, hanya ada satu serpihan daging untuk setiap pinggan. 

Antara makanan Uyghur yang disukai oleh pelajar Malaysia di sini
Antara makanan Uyghur yang disukai oleh pelajar Malaysia di sini

Selain makanan Turki, pelajar Asia Tenggara termasuk saya amat menggemari makanan kaum Uyghur. Ia seakan sama dengan makanan Asia Tenggara.

Saya sudah mencuba makanan Uyghur di Malaysia dan boleh dikatakan makanan Uyghur di sini lebih sedap.

Memandangkan kedudukan Turki dekat dengan Timur Tengah, makanan daripada negara-negara itu juga boleh didapati dengan mudah seperti makanan Syria. 

Ayam goreng yang ada di restoran Syria di Turki
Ayam goreng yang ada di restoran Syria di Turki

Oleh kerana kehadiran pelarian Syria ramai di sini, mereka buka perniagaan makanan dan ternyata ayam goreng dimasak cara orang Syria sangat sedap!

Makanan Arab yang sering kita makan di Malaysia adalah dari Yaman, tetapi di sini makanan Arab daripada semua pelosok Timur Tengah boleh didapati dengan mudah dan semuanya sangat menarik. 

'Trilece' perisa karamel di kedai manisan terkenal, Hafiz Mustafa
'Trilece' perisa karamel di kedai manisan terkenal, Hafiz Mustafa

Untuk pencuci mulut pula, jika pada awalnya saya sangat menggemari Turkish delight atau lokum dalam bahasa Turki, kini tidak lagi kerana ada banyak lagi pilihan lain yang lebih sedap.

Saya amat menyukai trilece, kek berperisa karamel dan direndam di dalam susu sejat yang sejuk.

Selain itu, saya juga menggemari kunefe, baklava (anda perlu mencuba baklava perisa coklat!), katmer yang seakan-akan roti canai yang dipenuhi dengan kacang pistachio, lokma dan pelbagai lagi.

Tidak hairanlah, Turki digelar sebagai syurga makanan bagi orang Barat namun sebagai orang yang berasal dari Asia Tenggara yang sudah biasa dengan makanan penuh rasa dan pelbagai jenis, makanan Malaysia atau makanan rantau Asia Tenggara tetap di hati. 

Pada pendapat saya, makanan jalanan Malaysia ataupun negara Asia Tenggara tiada tolok bandingnya dengan negara luar.

Jadi sekali-sekala jika terlampau rindu makanan Malaysia, saya akan singgah ke restoran Malaysia untuk menikmati nasi goreng dengan telur mata sambil menghirup teh ais.

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini, sehingga kita jumpa pada bahagian seterusnya. - Getaran, 22 Ogos 2021

Semua gambar: Ashiqin Ariffin, kecuali tertera

Isu Pada

Kisah Dongeng Nyata Che Puan Juliana Evans

21 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

TARA 9 bulan yang lalu

Selepas 2 Tahun Ditutup, Menara Maiden, Istanbul Kini Mengalu-Alukan Kedatangan Pengunjung

2

Semasa 11 bulan yang lalu

Lapangan Terbang Malaysia Catat 6.7 Juta Pergerakan Penumpang Pada Mac 2023 - MAHB

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Malaysia, Negara Islam Digesa Panggil Kedutaan Sweden, Perlu Bantah Tindakan Islamofobia

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Sweden Perlu Ambil Tindakan Segera Pada Paludan, Laksana Langkah Drastik Tangani Islamofobia

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok