SILVERSTONE - Lewis Hamilton dituduh sebagai “berbahaya dan kurang rasa hormat” dalam mencerahkan kembali usaha untuk mempertahankan kejuaraan Formula Satu (F1) selepas memenangi GP Britain semalam.
Perlumbaan semalam menyaksikan insiden perlanggaran di pusingan pertama yang melibatkan Hamilton dan peneraju kejuaraan dunia Max Verstappen, di mana pelumba Belanda itu mengadu dirinya ‘dikeluarkan’ dari perlumbaan.
Hamilton kemudian membalas yang beliau tidak akan membiarkan dirinya ‘dibuli’.
Seramai lebih daripada 140,000 penonton yang hadir bersorak memberi sokongan kepada Hamilton yang cuba memintas Verstappen di selekoh Corpse pada pusingan pertama.
Verstappen tidak mahu menyerah dan kedua kereta bersentuha tayar dan jentera Red Bull peneraju kejuaraan dunia itu terbabas sebelum melanggar penghalang tayar. Jentera Hamilton cuma mengalami kerosakan rim patah.
“Lega saya dalam keadaan okey.
“Dikeluarkan dari perlumbaan dengan cara begini sangat mengecewakan,” kata Verstappen yang menghantar ciapan daripada hospital.
Ketua pasukan Red Bull, Cristian Horner, mengecam Hamilton yang memenangi perlumbaan di Silverstone buat kali kelapan.
“Saya berharap yang Hamilton gembira dengan apa yang dia lakukan.
“Ini adalah kemenangan yang tidak bermakna.
“Selekoh Corpse adalah antara yang terpantas di dunia.
“Dia tidak boleh meninggalkan tayarnya sebegitu di bahagian dalam. Itu taktik kotor,” katanya.
Hamilton berkata selepas perlumbaan tamat yang dia berasa sangat marah dengan insiden itu dan menyalahkan Verstappen.
“Saya berasa yang beliau tidak perlu bertindak dengan seagresif itu.
“Saya tidak akan mundur daripada sesiapa pun.
“Saya tidak akan dibuli sehingga menjadi kurang agresif. Kami perlukan mata.
“Dia meninggalkan ruang dan saya mengambil kesempatan itu,” kata juara dunia tujuh kali itu. - AFP

