SUBANG JAYA - Pembatalan lesen senjata api oleh pihak berkuasa untuk mengekang pemburu haram sememangnya memberi impak positif, namun penguatkuasaannya disifatkan terlalu semberono apabila turut melibatkan pihak yang tidak berkaitan.
Setiausaha Agung Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata, tindakan yang mencakupi larangan penggunaan senjata api jenis raifal itu bukan hanya menyusahkan pekebun, tetapi turut memberi masalah kepada atlet menembak.
Menurut beliau, ada kalangan atlet berkenaan terbabit dalam pertandingan peringkat tempatan atau antarabangsa, justeru adalah menyusahkan apabila lesen mereka sehingga kini tidak diluluskan.

“Situasi ini mencetuskan tanda tanya, apa rasional Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sedemikian.
“Ia mencetuskan pertikaian oleh atlet, apabila lesen memiliki senjata api masing-masing tidak diluluskan tanpa diketahui punca,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Getaran di Lapang Sasar Menembak Subang Jaya di sini.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan lesen senjata api oleh PDRM, bertujuan untuk menyekat aktiviti pemburu haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani baru-baru ini dipetik sebagai berkata, PDRM telah membatalkan 1,010 lesen pemilikan senjata api jenis raifal bagi tempoh tiga tahun bermula 2020, untuk mengekang aktiviti pemburuan haram.

Katanya, pembatalan itu dibuat berikutan raifal adalah senjata api yang paling kerap digunakan oleh pemburu haram berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jasni berkata, pihak berkuasa tidak boleh menyamakan raifal digunakan atlet dengan senjata dimiliki pemburu kerana fungsi, jenis dan keupayaan peralatan itu amat berbeza.
“Raifal digunakan atlet hanya sesuai digunakan di lapang sasar. Raifal angin (senapang angin) tidak boleh disamakan dengan M16 kerana ia tidak terlalu berbahaya. Sukan memanah lebih berbahaya kerana peralatannya boleh digunakan di mana-mana sahaja.
“Kalau dibawa pergi memburu, raifal angin tidak sesuai untuk menembak kerana ia adalah senjata ‘single shooting’. Silap-silap harimau terkam kita dulu sebelum sempat mengisi peluru,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah suatu tindakan tidak ‘cerdik’ apabila PDRM menyekat penggunaan raifal angin dalam kalangan atlet menembak.
“Kita belum pernah terima laporan atau dengar lagi ada ahli sukan menembak ditangkap disebabkan pergi memburu. Justeru, adalah tidak wajar untuk pihak berkuasa enggan meluluskan lesen bagi atlet kerana ia akan menyukarkan mereka untuk berlatih,” katanya.

Sehubungan itu, Jasni berkata, NSAM menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan terbabit ke atas golongan atlet, apatah lagi Malaysia memiliki ramai penembak berbakat yang berpotensi menyumbang pingat buat negara.
“Kita minta PDRM mengkaji semula perkara ini secara terperinci kerana setakat ini, ia adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan. Peluru digunakan oleh atlet hanyalah bersaiz 0.22 dan 0.177 dan tidak boleh mengancam nyawa walaupun diakui ia boleh mendatangkan bahaya.
“Di Malaysia sahaja raifal angin dikategorikan sebagai senjata api. Di sebahagian besar negara, raifal angin dianggap sebagai hobi,” katanya.
Tanbah Jasni, solusi terbaik boleh dikenal pasti jika pihak berkuasa melakukan perjumpaan bersama pemegang taruh agar situasi menang-menang dapat dicapai.
Beliau turut melahirkan kebimbangan negara akan kehilangan atlet berbakat besar sekiranya kerajaan masih berkeras untuk mengharamkan penggunaan senjata raifal angin di kalangan atlet sukan menembak.
“Dah kena sekat begini, bukan sukan menembak makin maju, malah ia semakin mundur. Ini akan menyukarkan kita untuk mencari bakat baharu. Ketika ini pun, kami mencari sendiri pelapis muda kerana tiada kokurikulum untuk aktiviti menembak diwujudkan di sekolah.
“Sehubungan itu, kita minta PDRM untuk meneliti semula perkara ini kerana ia melibatkan masa depan sukan menembak. Kita harapkan agar atlet dapat diberikan semula lesen senjata api dengan atas dasar sukan,” katanya.

Sementara itu, mantan atlet menembak, David Hor berkata, pengharaman lesen senjata api raifal di kalangan ahli sukan adalah tindakan tidak masuk akal.
Jelasnya, keputusan tersebut disifatkan tidak realistik dan pihak polis seharusnya lebih bijak dalam membezakan kegunaan senjata api untuk pemburu dan atlet sukan.
“Larangan menggunakan raifal angin ini adalah salah. Tidak boleh disebabkan perbuatan pemburu, semua sekali terkena tempiasnya termasuk ahli sukan.
“Kesilapan ini kena dijelaskan oleh pihak berkuasa. Jangan berdiam diri kerana ini turut melibatkan pemilik raifal bagi sukan menembak. Harus ada jawapan kukuh kenapa lesen kami tidak diluluskan oleh PDRM,” katanya.
Getaran sebelum ini melaporkan, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi penguat kuasa berkaitan merangka mekanisme atau mencari kaedah terbaik bagi menggantikan larangan penggunaan senjata api dalam kalangan pesawah, peladang dan pekebun.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Mohd Fuad Yaacob berkata, kerajaan perlu serius menyelesaikan isu tersebut, memandangkan pengusaha tanaman ketika ini terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat gangguan binatang buas.
Pendapat berbeza bagaimanapun disuarakan aktivis masyarakat, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi yang bersetuju dengan tindakan polis itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, khususnya perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, kerajaan tidak boleh mengharamkan penggunaan senjata api dalam kalangan pengusaha tanaman, susulan wujud keperluan mendesak untuk ia terus digunakan, khususnya di kawasan pedalaman serta pinggir hutan. - Getaran, 21 Mac 2023