BEIJING - Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menzahirkan penghargaan kepada China selaku tuan rumah berikutan layanan mesra dan memuji persiapan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.
Ketika berucap ketika Sesi ke-139 IOC pada Khamis, beliau menyatakan bahawa segenap lapisan masyarakat di China mengalu-alukan kedatangan Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan pelbagai cara.
“Terdapat lebih sejuta individu memohon menjadi sukarelawan, ribuan sekolah menyediakan pendidikan sukan ais dan salji serta mempromosi nilai Olimpik, malah kanak-kanak di tadika turut bermain ski telah menjadi tular dalam media sosial,” kata Bach.
Menurutnya, Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 bukan sahaja membuka lembaran baharu bagi sukan musim sejuk sejagat, tetapi turut membawa manfaat kepada rakyat China khususnya dari aspek kesihatan fizikal dan mental.
“China melakar sejarah selepas mencapai sasaran mendorong 300 juta rakyatnya menyertai sukan ais dan salji.
“Mungkin angka ini tidak dapat dibayangkan oleh mereka yang tidak mengetahui tentang keadaan di China, namun IOC mempercayai keazaman, kecekapan dan dinamik yang dimiliki China dalam merealisasikan sasaran tersebut,” kata Bach.
Bach juga memberitahu bahawa penganjuran temasya kali ini akan memberi kelebihan besar apabila nilai industri sukan ais dan salji di China diunjur mencatat US$155 bilion (RM 647.28 bilion) menjelang 2025.
Dengan perasmian temasya itu pada malam ini, ia secara tidak langsung menjadikan Beijing sebagai bandar pertama di dunia yang menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik Musim Panas (2008) dan Sukan Olimpik Musim Sejuk (2022). - Bernama

