LONDON - Manchester City mengalahkan juara Eropah Chelsea 1-0, manakala Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan dalam kekalahan mengejutkan Manchester United kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.
Liverpool pula gagal mengambil kesempatan, selepas dua kali mensia-siakan kelebihan dalam keputusan seri 3-3 dengan Brentford.
Gol babak kedua Gabriel Jesus memastikan tiga mata buat pasukan kendalian Pep Guardiola, yang dapat membalas dendam selepas kalah tiga kali berturut-turut kepada Chelsea musim lepas, termasuk dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Porto.
Guardiola minggu ini berkata yang pasukannya ketandusan “senjata” seperti Romelu Lukaku atau Cristiano Ronaldo di United untuk memberi penyudah di dalam kotak penalti.
Tetapi Jesus memastikan dirinya menjadi faktor yang membezakan City dengan Chelsea.
Penyerang Brazil itu menjaringkan golnya di minit ke-53, selepas rembatannya terkena Jorginho dan menyebabkan Edouard Mendy tersalah langkah.
Villa tiba di Old Trafford dengan rekod buruk dengan satu kemenangan dalam 45 perlawanan menentang United, termasuk 33 kekalahan.
Pasukan tuan rumah - yang membariskan Ronaldo, Fernandes, Paul Pogba dan Mason Greenwood - membuat 28 percubaan tetapi Villa juga gagal menyempurnakan peluang mereka tersendiri.
Perlawanan tampak seperti akan menghala kepada keputusan seri tanpa jaringan, tetapi di minit ke-88 pertahanan tengah Villa Kortney Hause menanduk masuk bola ke gawang United daripada sepakan penjuru Douglas Luiz.
Tetapi beberapa minit kemudian bola terkena tangannya dalam kotak penalti dan United dikurniakan sepakan penalti yang disia-siakan oleh Fernandes.
Rembatan deras pemain tengah dari Portugal itu melewati palang gol, hanya kali kedua dia gagal menyempurnakan sepakan penalti daripada 23 percubaan untuk United.
Dalam perlawanan awal pagi tadi, Liverpool, yang hanya dibolosi sekali dalam lima perlawanan pembukaan liga musim ini, membiarkan tiga gol dijaringkan oleh Brentford.
Mohamed Salah menjaringkan gol ke-100nya dalam 151 perlawanan liga untuk Liverpool di minit ke-54 selepas Diogo Jota menyamakan kedudukan daripada gol pembukaan Ethan Pinnock di babak pertama.
Brentford kemudian menyamakan kedudukan melalui gol jaringan Vitaly Janelt sebelum rembatan deras Curtis Jones memberikan kelebihan kembali ke Liverpool.
Pasukan tuan rumah tidak mahu mengalah dan pemain gantian Yoane Wissa menjaringkan gol ketiga dengan perlawanan berbaki tiga minit lagi. - AFP
Keputusan lain:
Leicester City 2 Burnley 2
Everton 2 Norwich 0
Leeds United 1 West Ham 2
Watford 1 Newcastle 1
