Suasana penuh emosi menyelubungi sesi wawancara drama bersiri 'Lockdown' yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom apabila pelakon Balkisyh Semundur Khan,34, tidak dapat menahan sebak sewaktu berkongsi pengalamannya menjayakan watak Sue dalam karya terbitan U2 Media Sdn Bhd itu.
Mana tidaknya, pada saat dia mengambil keputusan untuk berundur dari dunia lakonan, tiba-tiba hadir tawaran menjayakan drama arahan Mohd Fazli Yahya dan skrip oleh Erma Fatima itu.
“Sebelum PKP, saya ada pengalaman hidup yang ngeri untuk diselesaikan. Masa sama, saya ada buat beberapa kesalahan sehingga tiada siapa mahu ambil saya berlakon.
“Mungkin mereka ada sebab tertentu. Saya sendiri tidak faham tetapi barangkali ada perselisihan faham dengan syarikat produksi.

“Saya akui semua kesalahan saya itu. Bagi saya perkara itu kecil tetapi mungkin tidak bagi mereka. Dan, ia pastinya beri kesan besar kepada kerjaya seni saya.
“Apa pun, ketika itu saya belum bersedia untuk kembali berlakon. Sampai satu tahap, saya reda jika tiada lagi rezeki dalam industri seni," katanya kepada Getaran.
Demi kelangsungan hidup, Balkisyh cuba mencari rezeki dengan menjual produk, berniaga makanan di tepi jalan sehinggalah menjual air balang di Singapura.
“Saya sentiasa berusaha mencari peluang peniagaan dan gembira dengan kehidupan saya. Bagaimanapun, apabila PKP dilaksanakan saya tidak boleh berniaga lagi. Duit tidak masuk.
“Hidup sangat mencabar ketika itu. Namun, kuasa Allah mengubah segala-galanya. Tanpa diduga saya dapat tawaran berlakon dan projek pertama adalah 'Lockdown'.
“Tidak tahu bagaimana mahu gambarkan perasaan saya ketika itu. Saya terfikir adakah Allah mahu saya kembali berlakon semula? Sedangkan pada waktu itu saya sudah tiada hati untuk kembali ke dalam industri kerana terlalu sedih dengan apa yang dilalui sebelum ini," katanya.
Sambung Balkisyh, apabila menerima tawaran itu dirinya seolah-oleh memperolehi semula semangat yang hilang.
“Saya dapat semula kegembiraan apabila berlakon. Saya bersyukur dapat bekerja dengan Abg Pali (Mohd Fazli Yahya) dan Kak Erma yang cukup saya hormati.
“Saya berpeluang bekerja dengan rakan-rakan seperjuangan yang sudah lama tidak berjumpa dan sentiasa saya lihat lakonan mereka di skrin TV. Malah saya dapat bergandingan dengan pelakon senior hebat, Jalil Hamid.
“Bukan itu sahaja, saya juga dapat tawaran membintangi drama lain," katanya.

Menurut Balkisyh lagi, dia percaya senario suram pandemik ini adalah tempoh bertenang yang Allah titipkan kepada dirinya dan mungkin juga oran lain.
“Senario ini mendidik kita supaya berfikir semula. Apa sahaja perkara yang dilalui, kita tidak boleh terlalu mengikut perasaan.
“Kita mesti fikir orang sekeliling, bukan hanya fikir tentang diri kita semata-mata. Pendek kata, PKP menyedarkan saya untuk kembali ke pangkal jalan," katanya tanpa berselindung.
Segala apa yang dilalui termasuklah peristiwa pahit perceraiannya, sedikit-sebanyak membantu dirinya menjiwai watak Sue, wanita malang yang berdepa pelbagai dugaan apabila COVID-19 melanda.
“Ikutkan Sue hanyalah watak tambahan tetapi kak Erma kembangkan karakter ini dan saya melakonnya dengan sepenuh hati.
“Watak ini menyaksikan transisi daripada wanita yang ceria kepada menyedihkan. Untuk detik yang bahagia nampak biasa sahaja tetapi apabila dalam kesedihan, memang saya rabak habis.
“Saya curahkan segala-galanya dari saat dia kematian suami kemudian dihalau ibu mentua, dirogol, terpaksa tinggal di rumah setinggan dan hidup susah sehinggalah tidak mampu belikan anak susu.
“Saya rasa sesiapa sahaja yang melalui pengalaman sebegini akan dapat merasai apa yang cuba ditonjolkan dalam drama ini," katanya yang berlinang air mata.

Lockdown dibintangi 26 pelakon papan atas termasuklah Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan dan Liza Abdullah.
Ia memaparkan realiti kehidupan dan kisah suka duka rakyat Malaysia yang terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu sepanjang pelaksanaan tempoh PKP. Sebanyak lapan kisah berbeza dipersembahkan menerusi 10 episod yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Lockdown bersiaran di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis bermula semalam. Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro Go dan platform On Demand. - Getaran, 27 Julai 2021.