IPOH - Mahkamah Majistret di sini menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar Tingkatan 5 pada Disember lalu bagi menunggu dokumen penting disiapkan.
Media tempatan melaporkan, Majistret, S Punitha, sebelum itu membenarkan permohonan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Afzainizam ketika membuat permohonan, meminta mahkamah memberikan tempoh kira-kira satu setengah bulan bagi melengkapkan dokumen berkenaan bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa mendengar perbicaraan kes berkenaan.
Permohonan menunda tarikh itu juga dipersetujui oleh peguam Kacky Loi Yap Loong yang mewakili pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak.
Sementara itu, portal Berita Harian melaporkan, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid ketika ditemui selepas prosiding, memaklumkan bahawa penetapan tarikh itu berkata, set dokumen yang perlu disiapkan pihak pendakwaan itu adalah mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah berhubung pembekalan dokumen kepada pembelaan.
Beliau yang hadir bersama-sama seorang lagi peguam pemerhati, Datuk Zamri Idrus, berkata mengikut peruntukan Seksyen 51A, berkas dokumen itu seharusnya mengandungi, antara lain, semua keterangan, video, dan perkara yang berkaitan sebagai bukti dalam kes yang ingin dibawa.
"Jadi, sebelum hendak buktikan kes, pendakwaan akan serahkan satu salinan dokumen yang akan dipakainya itu kepada pihak pembelaan, selain peguam pemerhati pun akan minta satu set dokumen berkenaan," katanya.
Mohd Nazri, 45, hadir di mahkamah dengan mengenakan jaket berpenutup kepala (hoodie) warna gelap serta memakai pelitup muka dengan kawalan anggota polis.
Prosiding pagi ini turut dihadiri keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 48.
Pada 18 Disember lalu, Mohd Nazri dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Kinta, di sini, antara jam 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan. – Getaran, 7 Februari 2024

